27 May 2011

PAS Berupaya dan Bersedia Mentadbir Negara - Wan Nasuha

Seteru PAS kerap mengungkit-ngungkitkan kewujudan kumpulan 'erdogan' dan kumpulan 'ulama' di dalam parti itu. Idea mereka adalah itu menunjukkan PAS tidak bersatu. Mereka mengukuri PAS dengan mengguna kacamata sama yang mereka gunakan untuk menilai Umno. Mereka tersilap. Sebagai sebuah parti yang demokratik dan yang yakin atas asas ideologi perjuangannya, PAS tidak segan silu untuk mengaku terdapatnya perbezaan pendapat dan pandangan di kalangan ahli dan pemimpinnya berhubung isu-isu semasa. Apa yang mustahak perbezaan itu adalah berkaitan pendekatan dan penekanan, bukannya pergeseran disebabkan jawatan dan pembahagian habuan sebagaimana yang kerap disaksikan di dalam parti pemerintah.
oleh Wan Nasuha Wan Hassan melalui e-mel



PAS adalah sebuah parti politik yang berasaskan sokongan dan keahlian Melayu Islam. Setelah 60 tahun berada di arena politik Malaysia, parti itu kini sudah mencapai kematangan dan penerimaan di kalangan masyarakat majmuk Malaysia untuk menjadi parti pemerintah.

Persekitaran politik, ekonomi dan teknologi di luar dan dalam negara telah banyak berubah dan arus perubahan itu akan terus berlaku. Berkemungkinan besar akan jadi lagi cepat dan hebat. Banyak ketidakpastian menunggu di masa hadapan tetapi hanya satu perkara yang pasti, yakni dunia akan terus berubah dan negara kita akan tidak dapat lari dari dibawa arus perubahan.

Lawan PAS jelas tidak berupaya untuk mengubah dirinya dari dalam untuk menangani cabaran-cabaran baru kepada kekuasaannya. Saluran maklumat dan media baru jelas tidak dapat dikongkongi atau dikawal, melainkan parti pemerintah meluluskan peraturan dan undang-undang internet yang akan mengakibatkan negara ini dicap sebagai 'pariah' atau kera sumbang dalam arena bisnes, pelaburan dan hak asasi manusia. Segala tindak tanduk dan keputusan kerajaan perlu dipertahankan sentiasa dengan hujah-hujah yang munasabah dan masuk akal. Ini tidak terdaya dilakukan oleh lawan PAS.

PAS pula berupaya untuk berubah demi menangani dan menghadapi cabaran-cabaran baru, bersikap responsif kepada perubahan persekitaran tanpa mengorbankan prinsip perjuangan yang berteraskan Islam. Ini terbukti semasa kemelut penolakan kepimpinan Dato Asri Hj Muda tiga dekad lepas. PAS telah berjaya mengakhiri bab itu dengan membuat dirinya lebih mantap dan setia kepada prinsip perjuangan Islam.

Seteru PAS kerap mengungkit-ngungkitkan kewujudan kumpulan 'erdogan' dan kumpulan 'ulama' di dalam parti itu. Idea mereka adalah itu menunjukkan PAS tidak bersatu. Mereka mengukuri PAS dengan mengguna kacamata sama yang mereka gunakan untuk menilai Umno. Mereka tersilap. Sebagai sebuah parti yang demokratik dan yang yakin atas asas ideologi perjuangannya, PAS tidak segan silu untuk mengaku terdapatnya perbezaan pendapat dan pandangan di kalangan ahli dan pemimpinnya berhubung isu-isu semasa. Apa yang mustahak perbezaan itu adalah berkaitan pendekatan dan penekanan, bukannya pergeseran disebabkan jawatan dan pembahagian habuan sebagaimana yang kerap disaksikan di dalam parti pemerintah.

Sebenarnya, tidak terdapat kumpulan 'erdogan' atau kumpulan 'ulama' di dalam PAS. Dewan Syura' Ulama adalah badan parti yang dipertanggungjawabkan untuk menentukan bahawa segala dasar dan polisi PAS adalah bertepatan dengan lunas dan prinsip agama Islam. Ini sejajar dengan definisi ulama berdasarkan firman "Sesungguhnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (ULAMA). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." [Al-Faathir 35:28]. Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menyatakan ulama ialah orang berilmu. Tidak hanya mengkhususkan kepada agamawan sahaja. Ianya mencakupi ilmu yang lebih luas. [Harakah 19-21/9/2008]. Berpegang kepada definisi tersebut, jelas kepada kita bahawa tiada golongan erdogan atau kumpulan ulama di dalam jemaah PAS sebagaimana yang digambarkan oleh propaganda musuh.

PAS sebagaimana agama Islam adalah satu parti yang inklusif. Sesiapa sahaja boleh memeluk agama Islam dan sesiapa sahaja boleh menjadi ahli PAS. Dasar ini kian menarik ramai tenaga profesional, teknokrat dan akademik untuk menyertai PAS, terutamanya dari golongan muda dan berpelajaran. Golongan inilah yang akan membekalkan tenaga pentadbir dan pelaksanaan polisi. Mereka tertarik untuk menjadi ahli PAS kerana integriti dan ketaatan kepimpinan dan keahlian PAS terhadap prinsip perjuangan. Mereka sudah muak dan jelak dengan budaya bergiat dalam parti politik untuk mendapat kontrak, lesen dan permit. Ini adalah golongan anak muda yang ikhlas mahu berjuang untuk masyarakat dan Alhamdullillah, PAS adalah pilihan mereka.

Segala pengalaman yang diraih dalam memerintah Kelantan dan Kedah pastinya akan digunakan oleh PAS untuk melengkapkan dirinya untuk memerintah negara. Sememangnya parti pembangkang yang memerintah sebuah negeri sentiasa mendapat berbagai cabaran dan rintangan dari kerajaan persekutuan yang diperintah oleh parti lawan. Segala yang dipelajari akan menjadi asas untuk membentuk sebuah kerajaan pusat yang adil dan saksama.

Berdasarkan penerimaan dan sokongan kepadanya dari segenap masyarakat Malaysia, di desa dan di kota, sesungguhnya PAS sekarang berada di kedudukan di mana ia berupaya dan bersedia untuk mengganti pemerintahan yang ada sekarang untuk mentadbir negara tercinta.



WAN NASUHA BINTI WAN HASSAN