01 June 2011

Muktamar PAS Ketika Politik Bergolak - Abdul Aziz Anon

Sebagai parti orang Melayu dan Islam, sudah tentu muktamar ini amat signifikan bagi politik orang Melayu. Sejauh manakah kebersediaan PAS dalam Pakatan Rakyat? Ucapan dasar Presiden PAS hendaklah menjelaskan perkara tersebut. Adakah PAS mahu sekadar terus mengekori PKR dan DAP atau berani menawarkan peranan kepimpinan yang lebih besar dalam PR menjelang pilihanraya ke-13, yang boleh diadakan bila-bila masa dalam 24 bulan yang akan datang.
oleh Abdul Aziz Anon melalui e-mel



Muktamar Pas ke-57 akan membuka tirainya bersamaan dengan hari pembukaan Rejab 1432H. Bagi ahli mahupun penyokong PAS semuanya bertumpu ke Markaz Tarbiah PAS Taman Melewar untuk mendengar, berbahas, menerima amanat dan memilih pucuk pimpinan. Taman Melewar yang kembali menjadi tuan rumah persidangan kali ini seakan ada nostalgia yang ingin dibangkitkan dari perjuangan panjang PAS dalam sejarah politik tanahair. Mesti ada sesuatu yang istimewa kenapa Taman Melewar dipilih. Tentunya soalan ini akan terjawab pada 3-5 Jun 2011.

Kehangatan Muktamar PAS kali ini sudah pasti tertumpu kepada pemilihan pucuk pimpinan PAS dan ucapan dasar Presiden. Seperti lazimnya Presiden akan meletakkan semula landasan PAS untuk tempoh satu tahun yang akan datang atau lebih tepat sehingga PRU 13. Tidak dapat tidak, Dato’ Seri Presiden hendaklah memberi amanat yang jelas tentang halatuju semasa politik PAS sekaligus menjawab pelbagai keresahan rakyat terhadap isu-isu politik yang sedang melanda politik Malaysia akhir-akhir ini.

Sebagai parti orang Melayu dan Islam, sudah tentu muktamar ini amat signifikan bagi politik orang Melayu. Sejauh manakah kebersediaan PAS dalam Pakatan Rakyat? Ucapan dasar Presiden PAS hendaklah menjelaskan perkara tersebut. Adakah PAS mahu sekadar terus mengekori PKR dan DAP atau berani menawarkan peranan kepimpinan yang lebih besar dalam PR menjelang pilihanraya ke-13, yang boleh diadakan bila-bila masa dalam 24 bulan yang akan datang.

Penyokong PR kecewa kerana prestasi kepimpinan Ketua Umum PKR jatuh merudum, sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Kegagalan untuk mengambil aleh tampuk pemerintahan yang dilaungkan oleh beliau akan beres tibanya tanggal 16 September 2008, kejatuhan PR di Perak, 14 Adun/Ahli Parlimen keluar PR, perpecahan anggota PKR sejak pemilihan parti dan tentu paling sukar adalah isu moral di samping kes sodomi Saiful Bukhari yang sedang berjalan. Samada Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersalah atau tidak, biarlah mahkamah dan teknologi memutuskan tetapi persepsi negatif terhadap kepimpinan beliau telah menular.

Implikasi video seks yang didakwa membabitkan beliau mesti ditangani. Yang nyata, orang Melayu berpecah penerimaannya. Sebahagian percaya dan sebahagian lagi sebaliknya. Untuk Anwar keluar dari isu video seks ini sudah tentu menuntut masa panjang melainkan beliau benar-benar berjaya membuktikan secara objektif dan muktamad yang video itu palsu sama sekali.

24 bulan bukanlah tempoh panjang untuk membuat persiapan pilihanraya. Perlu diakui bahawa UMNO dan BN bukanlah tunggul kayu. Pilihanraya Sarawak baru-baru ini membuktikan bahawa masih banyak yang diperlukan oleh PR jika benar-benar mahu mengalahkan BN. PR mesti bergerak sebagai gabungan politik yang benar-benar mantap. Justeru, sebagai sebuah parti yang berusia 60 tahun berbekalkan rekod kesetiaan wakil-wakil rakyat dari PAS serta kebolehan mentadbir di Kelantan dan Kedah, maka tidakkah PAS berani untuk meminta ruang memimpin, dengan peranan yang lebih besar menjelang PRU 13? Sekaligus PAS membuktikan hubungan dengan PKR dan DAP bukan sebagai kuda tunggangan tetapi sekutu rapat yang diyakini oleh semua kaum.

Rakyat mual dengan dengan persekitaran politik yang sedia ada. Mereka mahu perubahan. Rakyat Malaysia tak kira bangsa dan agama menaruh harapan besar kepada PAS untuk mencana dan memimpin perubahan. PAS tidak harus menghampakan harapan rakyat dan wajib memimpin mereka ke arah perubahan.

Akhir kata, “Selamat Bersidang” kepada semua peserta muktamar.


ABDUL AZIZ ANON