Bagi para pengundi, apa yang mereka tidak mahu berlaku adalah satu kerajaan baru di Putrajaya yang awal-awal lagi akan mula bergaduh sengit dan bertelingkah sesama sendiri tentang siapakah yang akan diamanahkan untuk memimpin mana satu kementerian. Sekiranya terdapat satu kabinet bayangan, itu sedikit sebanyak akan memberi satu jaminan kepada rakyat bahawa pertelingkahan sedemikian rupa tidak akan berlaku. Itulah kelebihannya sekiranya terdapat kabinet bayangan.
oleh Dr. Malcolm Puthucherry melalui e-mel
Akhirnya kebenaran terbongkar juga – untuk sesiapa yang sudi melihatnya.
Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pakatan Rakyat (PR) tidak memerlukan kabinet bayangan tidak lain dan tidak bukan adalah satu pengakuan bahawa gandingan tiga parti yang diketuainya adalah satu permuafakatan yang lemah, tidak utuh dan tidak mantap.
Beliau memberi alasan jawatankuasa parlimen PR yang ada sekarang berfungsi sebagai kabinet bayangan dan sudah memadai. Oleh demikian, ujar beliau, tidak perlu ada kabinet bayangan.
Jelas itu satu alasan yang amat lemah untuk menutup sebab sebenarnya. Tidak ada siapa yang tahu apakah jawatankuasa parlimen PR yang wujud dan siapakah ahli-ahlinya. Begitulah keadaannya dua tahun selepas jawatankuasa-jawatankuasa itu dibentuk dan itulah tandanya jawatankuasa tersebut tidak berfungsi dengan baik sebagai kabinet bayangan.
Apa yang enggan dinyatakan oleh Anwar kepada umum dan sebab sebenar kenapa tidak ada kabinet bayangan adalah PR tidak mempunyai keutuhan dan visi bersama yang diperlukan demi mencapai persetujuan tentang pembahagian kementerian-kementerian antara tiga parti tersebut. Mereka juga tiada keberanian atau keyakinan untuk mengumumkan secara terbuka apa-apa persetujuan tentang pembahagian kabinet bayangan.
Bagi para pengundi, apa yang mereka tidak mahu berlaku adalah satu kerajaan baru di Putrajaya yang awal-awal lagi akan mula bergaduh sengit dan bertelingkah sesama sendiri tentang siapakah yang akan diamanahkan untuk memimpin mana satu kementerian. Sekiranya terdapat satu kabinet bayangan, itu sedikit sebanyak akan memberi satu jaminan kepada rakyat bahawa pertelingkahan sedemikian rupa tidak akan berlaku. Itulah kelebihannya sekiranya terdapat kabinet bayangan.
Masalah besar yang dihadapi oleh PR adalah sekiranya langkah diambil sekarang untuk membentuk kabinet bayangan, pergaduhan besar sesama sendiri itu berkemungkinan tinggi akan meletus. Ini seterusnya akan memalapkan apa-apa peluang untuk dipilih sebagai kerajaan baru dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Jadi dilemanya adalah: tidak ada kabinet bayangan sekarang, pengundi tidak akan memberi undi sebab khuatir akan bergaduh kemudian nanti; tetapi jika dibuat kabinet bayangan sekarang, pergaduhan akan berlaku sekarang dan ini mungkin mengakibatkan pengundi tidak tertarik untuk memberi undi. Seperti lazimnya, Anwar menyelesaikan masalah dengan menyapukannya ke bawah tikar dan berharap orang lain tidak perasan. Begitulah cara beliau menangani isu ini.
Selepas menjanjikan beberapa perubahan yang akan mereka buat dalan satu jangka waktu yang tetap sekiranya menang pilihanraya umum, ketiga-tiga parti pembangkang tersebut gagal pula untuk menjangka satu soalan lanjut yang lojik ditanya oleh para pengundi. Siapakah di antara kamu yang akan memikul amanah untuk menjayakan mana satu perubahan yang dijanji? Itu satu soalan yang munasabah oleh kerana kejayaan langkah perubahan itu banyak bergantung kepada siapakah yang memikul tanggungjawab langsung untuk menjayakannya. Itulah sebabnya satu kabinet bayangan merupakan satu keperluan demi memberi keyakinan kepada janji-janji semasa berkempen. Para pemimpin parti pembangkang, bagaimanapun, seolah selesa membuat kerja separuh jalan.
Sudah sekian lama, PKR, PAS dan DAP menjaja kata janji, "Berikanlah kami hak membentuk kerajaan, akan kami selesaikan segalanya, semuanya akan menjadi OK". Laungan itu kian kurang meyakinkan dan kurang menarik. Ketiga-tiga parti tersebut nampak gayanya tidak berkemampuan untuk menawarkan sesuatu yang lebih dari itu, dan tidak berupaya untuk menjadi satu gabungan padu dan mantap yang bersedia untuk memerintah negara. Mungkin kelebihan yang boleh mereka tawarkan cuma satu: mereka bukan BN. Itu sahaja. Itu bukanlah satu situasi yang sangat menyelerakan bagi para pengundi.
Bagi Anwar pula, keberanian beliau dalam menonjolkan dirinya sebagai perdana menteri bayangan tidak pula ditandingi oleh keberanian yang serupa dalam apa-apa usaha rumit untuk membentuk kabinet bayangan. Keganjilan situasi di mana perdana menteri bayangan tidak didokongi oleh kabinet bayangan tidak pula merunsingkan beliau. Begitulah membaranya cita-cita peribadi seseorang itu. Janji beliau kepada negara sekarang ini kemungkinan tidak berubah banyak dari masa beliau di dalam UMNO dan menjawat Timbalan Perdana Menteri iaitu "Jadikan saya perdana menteri, akan saya selesaikan segalanya, semuanya akan menjadi OK".
DR MALCOLM PUTHUCHERRY
(Diterjemah dari artikel asal dalam Bahasa Inggeris)