27 November 2010

Berkata Benar Biarpun Pahit - Jangan Jadi Dayus Melindungi Ketidakadilan - S. Kottapan

Kepada Pemimpin-Pemimpin PKR dan saudara-saudari sahabat seperjuangan,

Kami anggota-anggota bawahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhimpun pada hari ini untuk melahirkan rasa kecewa dan sedih terhadap pimpinan PKR yang terus-menerus mempertahankan salahlaku Jawatankuasa Pilihan Raya (JPP) dan Sekretariat Ibu Pejabat Parti dalam mengendalikan pemilihan PKR baru-baru ini. Aduan dan laporan yang telah dibuat oleh anggota Parti langsung tidak dilayan oleh pimpinan, sekaligus menyerlahkan sikap sebenar pimpinan; bahawa anggota bawahan ini tidak penting untuk dijaga perasaan mereka apatah lagi untuk dihormati, bahawa setiap anggota juga mempunyai pemikiran rasional untuk menentukan apa yang benar dan apa yang salah.

Kesedihan dan kekecewaan ini semakin dirasai apabila anggota-anggota bertindak mengkritik, membuat aduan atau mempunyai perasaan tidak puas hati terhadap salah laku perjalanan pemilihan PKR yang gagal dikendalikan secara adil dan bersih. Ketidakpuashatian ini akan dianggap oleh Parti sebagai sesuatu yang menyusahkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan YB Azmin Ali. Menuntut keadilan, memperjuangkan kebenaran, menentang salahlaku atau mencadangkan penambahbaikan akan dianggap sebagai tindakan derhaka dan khianat. Semua anggota diminta untuk menjadi anggota yang mempunyai kesetiaan tidak berbelah bagi untuk disayangi Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan YB Azmin Ali walau dalam apa jua keadaan asalkan tidak menyusahkan Anwar Ibrahim dan Azmin Ali.

Adakah kerana kami anggota bawahan, kami tidak berhak mendapat layanan baik dari pemimpin atasan yang kini sudah berpangkat besar, semakin berharta, lagi berkuasa? Nasihat kami kepada pemimpin PKR: anggota juga mempunyai maruah diri yang mesti dihormati. Tanpa sokongan dari kami anggota bawahan, anda tidak akan diangkat menjadi pemimpin PKR.

Oleh itu, jika pemimpin Parti mengiktiraf pemilihan PKR sebagai sah dan melindungi salahlaku yang sudah berlaku ini nescaya akan menyerlahkan kedayusan pemimpin dalam memperjuangkan keadilan dan kebenaran yang dilaung-laungkan selama ini. Dengan ini, kami memberi ingatan kepada pimpinan parti: jikalau tidak mampu untuk memberi keadilan kepada anggota sendiri, bagaimana kita mahu meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kita mampu memberi keadilan kepada mereka.

REFORMASI! REFORMASI! REFORMASI!



S. KOTTAPAN