23 November 2010

Membangunkan Semula Parti Kita - Khairul Pahang

Dalam dunia politik Malaysia sifirnya mudah. Samada rakyat mempergunakan orang politik atau orang politik memperkudakan rakyat. Samada kita sebagai rakyat mempergunakan Anwar Ibrahim untuk mencapai cita-cita perubahan atau Anwar Ibrahim mempergunakan kita untuk cita-cita beliau menjadi PM semata atau beliau memang ikhlas memimpin perubahan.

PKR telah berjaya mengakhiri sebuah pemilihan paling demokratik di Malaysia apabila membuka proses memilih pemimpin kepada semua anggota parti. Walauapa pun yang diperkutukkan, PKR harus diberi pujian atas usaha mengembangkan demokrasi. Pemilihan parti 2010 akan termaktub dalam lipatan sejarah politik tanah air sebagai usaha baik yang gagal. Kisah kegagalan ini harus kita terima dengan berlapang dada dan ikhlas. Jangan sekali-kali kita gusar dengan kemaluan kita.

Kata orang “sendiri buat sendiri tanggung”. Pemilihan parti jelas gagal menarik penyertaan 400.000 anggota parti. Puratanya peratus anggota yang keluar mengundi kurang dari 10%. Bermakna 90% anggota parti tidak endah untuk terlibat memilih kepimpinan. Setiausaha Agung harus menelan alasan yang beliau beri kepada kita semua bahawa faktor final Piala Malaysia dan 2 Pilihanraya kecil yang menjadi punca peratus keluar mengundi begitu teruk.

Menjawab kepada kemaluan ini pembesar-pembesar parti juga YB Ketua Umum, juga YB Senator Timbalan Presiden juga YB Setiausaha Agung juga Yang Belum Ketua AMK tetap mengatakan bahawa kita lebih baik dari UMNO sebab pemimpin kita dipilih oleh 20,000 anggota berbanding UMNO yang hanya sekitar 2000 perwakilan terlibat memilih pemimpin.

Kata orang “Jangan ditegak benang yang basah akibat nanti tertonjol kemaluan sendiri”. Latar proses pemilihan UMNO, PAS, DAP berbeza dengan latar pemilihan parti. UMNO anjur kejohanan futsal 5 sepasukan dan kita anjur kejohanan bola sepak padang 55 orang sepasukan. Acara kita gagal apabila hanya 7 orang yang menyertai pasukan yang asalnya diriuh-rendahkan 55 orang sepasukan. Selepas acara kita gagal janganlah kita beritahu orang kata kita lebih baik sebab kita main 7 orang sedangkan UMNO hanya main 5 orang.

Kata orang “pakai baju ikut saiz” “bertelur sebiji jangan riuh satu negeri”. Pembesar parti janganlah berterusan buat lawak-lawak seumpama ini. Apa saya nak jawab tatkala pulang ke kampung ibu-bapa saya bertanya, saudara-mara menyindir teman-teman PAS mengutuk kawan-kawan UMNO mengeji. Apa saya perlu jawab kalau 7 orang sahaja keluar undi MPP dan 3 orang keluar untuk memilih AMK di Pekan Pahang yang mempunyai 645 anggota.

Henti buat lawak, bina semula parti, biarlah kemaluan terdedah tetapi jangan sekali-kali nampak bodoh.



KHAIRUL PAHANG