08 November 2010

Saranan Aktivis Reformasi kepada Ketua Umum - Aktivis Reformasi

Mungkin YB Datuk Seri telah lupa akan harapan kami tatkala gelombang perubahan tercetus pada 1998. Sokongan dan dokongan kami saban hari. Ada yang hilang pekerjaan. Ada yang tidur di luar mahkamah. Ada yang dipancut air asid. Ada yang pecah kepala akibat cota FRU. Ada yang ditangkap dan dipenjara. Ada yang dibogelkan.

Mungkin kesibukan berpolitik dan urusan di luar negara membuat YB Datuk Seri alpa akan harapan menggunung kami pada Pakatan Rakyat khususnya PKR. Pandangan-pandangan aktivis dan ahli-ahli parti kini dianggap remeh dan tidak penting lagi. Luahan ketidakpuasan hati aktivis dan ahli ditafsirkan sebagai pengkianatan.

Cara PKR ditadbir di negeri-negeri khususnya Selangor, cara pemilihan ahli-ahli majlis berkuasa tempatan, persepsi parti terhadap aktivis dan reformis serta perjalanan pemilihan PKR telah banyak mengkucar-kacirkan parti dan memberi kesan dan imej sangat negatif terhadap parti.

Aktivis Reformasi teramat kesal terhadap kenyataan YB Ketua Umum di Parlimen pada 8hb November 2010 bahawa pemilihan parti HANYA PERSAINGAN BIASA. Itu adalah pandangan yang sangat merbahaya dan boleh membawa rebah. Kekacauan dalaman parti yang berpotensi membawa keretakan yang paling besar pernah berlaku yang bukan lagi rahsia kepada umum serta gambaran imej buruk kepada parti adalah disebabkan oleh pemilihan parti yang sedang berjalan. Terlalu banyak persoalan yang tidak terjawab:

  • Bagaimana boleh pemilihan ini dikendalikan oleh badan sekretariat pemilihan yang lemah dan serba tidak mampu.
  • Bagaimana wang digunakan untuk memancing undi,
  • Bagaimana dana diperuntukan untuk menyewa bas membawa ‘pengundi-pengundi hantu’ untuk mengundi calon tertentu.
  • Bagaimana perbalahan dan pergaduhan berlaku di cabang-cabang.

Adakah ini yang dikatakan persaingan biasa dalam pemilihan parti?

Parti yang menjadi harapan rakyat, pohon rendang tempat berteduh, telah menafikan keadilan pada ahli dan pendokongnya sendiri. Inilah masanya untuk kita kembali pada objektif perjuangan, memperbaiki serta membetulkan kekurangan, kesilapan dan kelemahan yang ada dan tidak menuding jari kepada pihak lain.

YB Ketua Umum perlu sedar akan hakikat ini dan tidak harus menunggu lebih lama lagi, membiarkan parti terus hanyut. Lupakan masalah peribadi dan aktiviti di luar negara buat seketika. Jangan nanti PKR menjadi biawak hidup yang perlu ditanggung oleh Pakatan Rakyat.

Ubah sebelum parah, ubah demi maruah.

Salam reformasi.



AKTIVIS REFORMASI