1. Saya memanggil sidang media ini untuk menjawab beberapa perkara yang dibangkitkan oleh pegawai-pegawai PKR berhubung dengan laporan polis yang telah saya buat Jumaat lepas berkenaan pemalsuan surat yang dikeluarkan menggunakan nama dan tandatangan saya sebagai Setiausaha Agung PKR pada 2hb Februari 2009.
2. Surat tersebut telah digunakan di dalam afidavit daripada Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung PKR sekarang ini, sebagai bukti pemecatan keanggotaan parti S. Jenapala untuk menghalang beliau dari bertanding dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
3. Saya tidak ambil peduli sama ada S. Jenapala layak atau tidak untuk bertanding tetapi saya amat mengambil berat apabila nama dan jawatan yang saya pegang telah digunakan untuk tujuan mencipta bukti palsu bahawa seorang ahli telah dipecat oleh saya.
4. Memandangkan perkara ini telah dibawa ke perhatian pihak polis, saya serahkan kepada mereka untuk menyiasat. Saya sukacita mengambil maklum bahawa beberapa pegawai PKR telah menyatakan mereka akan bekerjasama penuh dengan polis, tidak seperti Tian Chua yang seakan melantik dirinya sebagai jurucakap pihak polis dengan mengatakan polis tidak berminat dengan butir-butir teknikal kes ini. Ingin saya ingatkan semua pihak bahawa butiran-butiran kecillah yang memberi gambaran besar, dan kegagalan untuk memberi perhatian yang sewajarnya kepada butiran-butiran telah mengakibatkan kawalan dan pengurusan pemilihan parti baru-baru ini amat lemah.
5. Surat yang kononnya dikeluarkan oleh saya itu adalah membatasi peruntukan perlembagaan parti (ultra vires). Tidak ada individu di dalam parti yang boleh secara bersendirian memecat keahlian seseorang. Presiden parti pun tidak ada kuasa sedemikian. Surat itu tidak menyatakan sama ada pemecatan tersebut telah dipertimbang dan diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (sekarang digelar Majlis Pimpinan Pusat atau MPP) dan saya, sebagai setiausaha agung, telah diarah untuk memaklumkan kepada ahli tersebut akan pemecatan beliau. Amalannya adalah MPT akan menyerahkan sesuatu kes disiplin kepada Jawatankuasa Disiplin untuk disiasat dan jawatankuasa tersebut seterusnya akan menyerahkan hasil siasatan dan saranannya. Semua itu akan termaktub di dalam minit mesyuarat MPT. Juga, minit MPT akan menunjukkan sama ada terdapatnya atau tidak arahan kepada saya untuk memecat, memandangkan ada dakwaan oleh pegawai-pegawai PKR bahawa saya telah tidak mengendahkan arahan untuk membuat pemecatan.
6. Tidak ada minit sedemikian bagi semua mesyuarat MPT untuk tahun 2009. Bagaimanapun, di dalam minit mesyuarat Biro Politik, iaitu biro yang mengurus perjalanan harian parti bagi pihak MPT, terdapat minit bertarikh 30hb Ogos 2009 yang menyatakan biro sedang mempertimbangkan tindakan disiplin ke atas S. Jenapala dengan menggantung keahlian beliau dan biro telah mengarahkan Jawatankuasa Disiplin untuk menyiasat sama ada benar dakwaan dia terbabit dalam aktiviti yang memudaratkan parti bagi tindakan disiplin yang sewajarnya diambil. Ini adalah prosedur operasi rasmi.
7. Yang menjadi persoalan besar adalah kenapa Biro Politik mempertimbangkan tindakan disiplin ke atas S. Jenapala tujuh bulan SELEPAS dia dikatakan telah dipecat oleh saya melalui surat yang bertarikh 2 Febuari 2009 itu? Sebenarnya S. Jenapala semasa itu masih lagi seorang ahli parti dan tidak pernah dipecat. Ini jelas kelihatan apabila beliau turut serta dalam beberapa majlis dan ceramah parti yang turut dihadiri oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.
8. Walau apa sekalipun, surat tersebut adalah ultra vires kepada perlembagaan parti dan tidak boleh dikuatkuasakan. Saya fikir S. Jenapala akan mengambil tindakan serta-merta terhadap surat tersebut jika benar beliau telah menerimanya.
9. Mana-mana setiausaha agung yang punyai maruah diri dan membuat kerjanya dengan teliti tentunya akan ‘terkejut’ jika dia ‘terjumpa surat dalam fail’.
10. Saya tidak menafikan surat tersebut mempunyai imej tandatangan digital saya yang digunakan untuk mencetak beribu-ribu surat pekeliling. Melalui surat-surat inilah saya berhubung dengan lebih daripada 200 cabang dalam parti. Maka surat pemecatan ini mungkin satu perbuatan ‘potong dan tampal’ (cut and paste), atau penyalahgunaan tandatangan digital saya yang terdapat dalam fail. Saya serahkan perkara ini untuk siasatan pihak polis.
11. Hakikatnya, saya tidak pernah mengeluarkan surat sedemikian ataupun meluluskan kandungannya, dan saya tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk mengeluarkan surat demikian bagi pihak saya.
12. Kebimbangan peribadi saya ialah penggunaan nama saya secara sengaja untuk melakukan penipuan. Tetapi kebimbangan yang lebih besar bagi saya, sebagai seorang aktivis dalam pergerakan reformasi ialah; sebuah parti yang kononnya parti reformis telah terjebak ke dalam perangkap penyalahgunaan sekretariat parti (sebuah badan dibawah kuasa penuhnya) untuk mendapat kuasa dengan seberapa segera dengan mencabul hak-hak ahli partinya sendiri. Sebagai sebuah parti yang kerap menuduh orang lain menyalahgunakan kuasa, ada baiknya PKR dan ahli-ahlinya menyumbang ke arah perjuangan reformasi dengan meneliti ketelusan pimpinannya sendiri.
13. Semua penyalahgunaan kuasa secara besar-besaran yang kita lihat hari ini tidak berlaku secara tiba-tiba. Ianya berputik dengan salahlaku-salahlaku kecil, seperti yang saya ketengahkan hari ini. Sekiranya tiada apa dilakukan, akhirnya alah bisa, tegar biasa.
DATO’ SALEHUDDIN HASHIM