Pada hari bersejarah September 1998 itu, ketika Anwar Ibrahim dihadapkan ke mahkamah dengan bermata lebam dan muka baru lepas kena hentam semasa dalam tahanan polis, saya merasakan reputasi Malaysia di persada dunia jatuh ke tahap yang teramat rendah. Amat memeranjatkan apabila perbuatan ini berlaku dalam tempat dan lingkungan mereka yang diberi kepercayaan menegakkan undang-undang, tetapi apabila ia melibatkan ketua polis negara, perasaan marah yang meluap-luap tidak dapat dibendung lagi.
Memang benar, pesalah telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dan dia telah menjalankan hukumannya tetapi selepas lembaran terakhir episod hitam ini diselak, timbul juga tanda-tanya mengenai keadaan persekitaran ketika itu dan tata pemikiran (mindset) para pemain dalam ‘wayang’ ini yang berakhir dengan episod ‘mata lebam’.
Ibukota Kuala Lumpur digemparkan dengan tunjuk perasaan besar-besaran yang dipanggil oleh Anwar. Lebih dari 100,000 orang hadir pada tengahari tersebut, suatu jumlah yang tidak pernah dilihat sebelum ini, untuk turut serta dalam sebuah perhimpunan yang diharamkan pihak polis. Pada petang hari yang sama, pihak polis tanpa ragu-ragu lagi terus menangkap Anwar. Rekod perbicaraan mengesahkan bahawa di keheningan malam hari bersejarah itu, Anwar ditutup matanya, digari tangannya dan ditibai bertubi-tubi oleh Ketua Polis Negara.
Begitu mudah sekali sikap profesional untuk memandang setiap pesalahlaku undang-undang dengan hina, bertukar menjadi niat jahat yang dikhususkan untuk seorang. Barangkali demonstrasi besar-besaran yang diadakan pada hari itu dilihat sebagai tindakan mencabar kuasa dan autoriti polis, maka si pesalah itu wajib menerima balasan secukup-cukupnya.
Gabungkan niat jahat tersebut dengan ketekunan berlebih-lebihan untuk memuaskan kehendak ‘tuan’, tidak kiralah samada ‘tuan’ itu merujuk kepada negara, menteri, atau ego sendiri, ditambah lagi dengan sifat keperibadian diri seperti menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan masalah, hasilnya satu kombinasi keadaan yang mengundang bencana.
Maka, terhasillah insiden ‘mata lebam’, bukan sahaja buat Anwar tetapi juga buat Malaysia.
Akan tetapi, jenayah sebesar itu tidak akan berlaku secara tiba-tiba dan tersendiri, dengan tiada sejarah lampau disebaliknya. Pendek kata, perbuatan jenayah yang besar lazimnya dilakukan oleh seorang penjenayah yang dahulunya pernah melakukan jenayah secara kecil-kecilan tanpa dikenakan hukuman. Kata kunci di sini ialah ‘tanpa dikenakan hukuman’. Itulah sebabnya setiap organisasi, masyarakat dan negara berusaha mengenalpasti pesalah dan penjenayah dikalangan mereka, lantas menjatuhkan hukuman yang setimpal ke atas pesalah dan penjenayah ini. Perbuatan sewenang-wenang mereka melanggar undang-undang mesti dihukum, setidak-tidaknya untuk memastikan mereka tidak terdorong untuk melakukan jenayah yang lebih besar, sehingga menyebabkan semua orang ‘bermata lebam’.
Kita sebagai masyarakat madani juga wajib mengutuk pihak-pihak yang membiarkan sahaja jenayah dan salahlaku dari berlaku, walau kecil sekelumitpun perbuatan terkutuk itu. Perasaan takut amat mudah dijadikan alasan untuk menghalang kita dari mengutuk perbuatan ini, tetapi malanglah kita sebagai masyarakat sekiranya kita membiarkan sahaja pemimpin yang kita percayai melakukan salahlaku dan jenayah.
Ini mengingatkan saya kepada kes surat yang dikeluarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memecat keahlian salah seorang Timbalan Setiausaha Agungnya. Kita semua maklum surat itu didakwa sebagai palsu.
Andaikata surat tersebut palsu, adakah wujud persamaan keadaan (circumstantial parallels) antara kes surat palsu ini dan kes mata lebam 1998?
Pertama: parti kini berhadapan dengan pemilihan parti secara ‘satu ahli, satu undi’ untuk memilih pucuk pimpinan di peringkat bahagian dan pusat, suatu perkara yang belum pernah disaksikan sebelum ini. Pada 1998, negara menyaksikan suatu demonstrasi besar-besaran yang belum pernah disaksikan sebelum itu. Nampaknya ada persamaan.
Kedua: Bekas Timbalan Setiausaha Agung parti diragui terlibat dalam kegiatan menentang parti. Beliau melahirkan rasa tidak puas hati beliau dengan mengingkari arahan pimpinan parti untuk tidak mengambil bahagian dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden parti. Pada 1998, Anwar dipecat dari kerajaan dan partinya. Beliau melahirkan rasa tidak puas hati beliau dengan mengadakan tunjuk perasaan umum di seluruh pelusok negara. Nampaknya, ada persamaan juga.
Seterusnya, apakah tata pemikiran para pemain dalam ‘wayang’ PKR baru-baru ini? Mungkinkah sikap profesional untuk memandang setiap pesalahlaku undang-undang dengan hina, telah bertukar menjadi niat jahat yang dikhususkan untuk seorang? Itu sudah tentu, kerana orang itu sudah menjadi topik perbincangan dalam mesyuarat rasmi yang sedang mempertimbangkan tindakan disiplin keatasnya. Orang itu tidak segan-silu dengan pendirian beliau dahulu yang menentang parti, tetapi kini dengan selamba pula menawarkan diri untuk bertanding jawatan yang lebih tinggi dalam parti yang amat dibencinya.
Mungkinkah ada ketekunan berlebih-lebihan oleh mereka yang telah diberi kepercayaan untuk mengenakan tindakan terhadap orang ini, sepertimana adanya ketekunan berlebih-lebihan dari Ketua Polis yang menggunakan penumbuk tangannya sendiri pada 1998? Sekali lagi, nampak seperti ada persamaan juga. Tidak syak lagi, pimpinan parti rata-rata merasakan bekas Timbalan Setiausaha Agung itu telah membatalkan kelayakannya untuk bertanding berdasarkan pendirian dan perbuatannya yang lampau. Maka, wujudlah ketekunan berlebih-lebihan dalam pentadbiran pusat parti yang ingin mencari sebab untuk menamatkan riwayat politik bekas Timbalan Setiausaha Agung ini.
Akan tetapi, bagaimanakah pentadbiran pusat parti bercadang untuk menjayakan usaha ini? Minit mesyuarat bagi Majlis Pimpinan Pusat serta Biro Politik tidak mengandungi sebarang resolusi atau persetujuan untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap individu ini. Pecat dari Parti? Jauh sekalilah.
Semua ini berakhir dengan insiden ‘mata lebam’ versi PKR: salinan sepucuk surat bertarikh Febuari 2009 ‘dijumpai’ dalam fail simpanan Parti. Kandungan surat ini memecat bekas Timbalan Setiausaha Agung itu dari menjadi ahli parti dengan serta-merta.
Penandatangan surat tersebut, seorang bekas Setiausaha Agung sudahpun membuat laporan polis menyatakan surat tersebut adalah pemalsuan ‘potong dan tampal’, dan mungkin wujud penyalahgunaan tandatangan elektronik beliau yang ada dalam simpanan parti. Beliau mengesahkan melalui afidavit bahawa beliau tidak tahu langsung mengenai kewujudan surat tersebut dan kandungan surat tersebut tidak pernah mendapat persetujuannya.
Kesemua bukti yang sedia ada menyokong kes bekas Timbalan Setiausaha Agung ini: minit mesyuarat parti pada Ogos 2009, iaitu 6 bulan selepas surat pemecatannya kononnya dikeluarkan menunjukkan beliau masih seorang ahli parti pada tarikh mesyuarat tersebut; perlembagaan parti tidak membenarkan Setiausaha Agung secara bersendiri memecat mana-mana ahli. Lebih menghairankan, surat pemecatan itu langsung tidak menyatakan bilakah pimpinan parti bermesyuarat membuat keputusan untuk memecat beliau. Seorang lagi bekas Timbalan Setiausaha Agung yang bertanggungjawab ke atas hal-hal disiplin menyatakan beliau tidak pernah mengarang surat tersebut, dan hal pemecatan tersebut tidak pernah dibawa untuk perhatian beliau.
Parti nampak bisu seribu bahasa dalam hal ini. Reaksi pimpinan parti setakat ini terhad kepada bersikap pura-pura tidak tahu asal-usul sebenar surat pemecatan itu dan menyerang mana-mana ahli yang ingin menjernihkan keadaan. Reaksi sebegini memberi tanggapan seolah-olah parti tidak sedar, atau sengaja tidak mengendahkan kesan insiden ini terhadap reputasi parti dan pemilihan ‘1 ahli 1 undi’ yang baru sahaja berakhir.
Adakah pihak parti berharap isu ini akan dikategorikan sebagai ‘kesalahan kecil’ yang dilakukan oleh kakitangannya yang tidak cekap? Jika parti berharap sedemikian, habislah kita. PKR ialah organisasi politik yang berhasrat mengambil alih pemerintahan negara. Apabila pesalah walau sekecil mana kesalahannya sekalipun dibiarkan bebas tanpa sebarang tindakan, pesalah ini lambat laun akan melakukan kesalahan dan jenayah yang lebih besar dan serius, terutamanya apabila mereka ini dibenarkan memegang lebih kuasa dan autoriti. Belum sempat mentadbir negara, PKR sudah ‘menghalalkan’ ahli dan kakitangannya melakukan kesalahan jenayah tanpa dikenakan tindakan. Saya gusar jenayah apa pula yang akan mereka lakukan apabila diberi kepercayaan memerintah negara kelak.
Reformis yang memperjuangkan demokrasi dapat mengenali persamaan dalam kes surat palsu dan kes mata lebam: penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa untuk melenyapkan suara-suara ‘sumbang’ yang membangkitan isu yang tidak sedap didengar. Pelenyapan dibuat dengan cepat secara tidak halal.
Adalah menjadi tanggungjawab Anwar, dahulunya mangsa ketekunan berlebih-lebihan dalam kes ‘mata lebam’, untuk memastikan insiden sebegini tidak berlaku dalam kepimpinannya. Sebaliknya, beliau menyuruh kuncu-kuncunya yang rata-ratanya berotak udang untuk menerangkan kepada umum bahawa pemecatan tersebut, secara politiknya adalah tindakan yang betul. Tetapi, itu bukan isunya. Isu sebenar ialah kebejatan prinsip ketelusan dalam pentadbiran sebuah parti reformis; kebejatan sama yang sering diungkit PKR untuk mengkritik kerajaan pemerintah.
Berita baiknya ialah kerajaan kini sedang membuka semula kes mata lebam 1998. Seorang pemberi maklumat yang telah bersara dari struktur kuasa pada masa itu telah membongkar salahlaku-salahlaku yang berlaku semasa penyiasatan. Sudah menjadi lumrah manusia untuk sentiasa berwaspada memastikan perkara-perkara yang mendapat perhatian khalayak awam dibuat secara tertib dan sah.
Adalah wajar bagi PKR mengendalikan isu surat palsu ini secara serius dengan memulakan penyiasatan dalaman secepat mungkin, sekiranya ia tidak mahu menerima mata lebam dari para pengundi dan rakan-rakannya dalam Pakatan kelak.
DR. MALCOLM PUTHUCHERRY
(diterjemahkan dari Bahasa Inggeris)