Tujuan kami adalah untuk menunjuk perasaan dengan aman, teratur dan tidak menganggu ketenteraman awam atau sesiapa pun.
Sesungguhnya saya merasa amat kecewa dan sedih melihat cara PKR sekarang ini bertindak kepada mana-mana ahli yang menunjukkan pendirian atau pendapat yang tidak sehala atau selari dengan apa parti hendakkan.
Saya pernah mengambil bahagian dalam demonstrasi jalanan Reformasi tahun 1998-2002 yang membantah kezaliman rejim Mahathir ke atas Anwar Ibrahim dan mahu tak mahu saya terpaksa membuat perbandingan apa yang berlaku pada pagi 27 November 2010 dengan apa yang telah saya saksikan semasa demonstrasi Reformasi 1998-2002.
Parti yang telah lahir daripada semangat membantah dan menentang ketidakadilan sepatutnya memahami dan bertoleransi terhadap apa-apa demonstrasi aman bagi meluahkan perasaan tidak puas hati. Apatah lagi kami yang berdemonstrasi adalah ahli-ahli PKR sendiri, bukannya Umno atau MIC atau MCA atau mana-mana parti BN.
Ini tidak. PKR telah bertindak mirip seperti pihak polis atau FRU semasa demonstrasi jalananan 1998-2002.
Kain-kain sepanduk dan rentang hak kepunyaan kami telah dirampas oleh skuad sekuriti PKR, sama seperti apa yang polis buat 1998-2002 dahulu.
Kehadiran penunjuk perasaan walaupun aman dan teratur amat tidak disenangi oleh parti. Kami telah dihalau dan dimaki hamun.
Pihak media yang menjalankan tugas dan membuat liputan demonstrasi kami juga tidak disenangi oleh parti. Mereka telah diherdik dan diugut supaya memberhentikan liputan mereka.
Ada di kalangan kami telah dikasari sebaik sahaja tujuan kami berada berhampiran tempat kongres diketahui oleh parti.
Pendek kata, sekiranya PKR pada pagi 27 November tersebut mempunyai ‘water cannon’ atau gas pemedih mata atau FRU dibawah telunjuk mereka, saya pasti mereka tidak akan berlengah-lengah untuk menggunakan semua itu bagi menyuraikan demonstrasi kami.
Inilah PKR hari ini. Sebuah parti yang sepatutnya mempunyai idealisma untuk mempertahan dan mengamalkan kebebasan bersuara dan media sekarang jelas telah terlupa akan idealisma tersebut. Apakah punca kehilangan haluan ini? Kalau ikan menjadi busuk dari kepalanya, berani saya katakan PKR kini menjadi busuk berpunca dari kepimpinannya yang kini mabuk dan kemaruk untuk memegang tampuk pemerintahan negara sehingga terlupa matlamat asal parti iaitu untuk membawa Reformasi dan perubahan kepada negara demi nasib anak cucu kita semua.
Pada saya, PKR sekarang tidak ubah seperti BN/Umno sahaja. Tarikh 27 November 2010 adalah satu yang amat menyedihkan bagi saya.
MUNIANDY VENGAIAH