Dosa terbesar Mahathir ialah menafikan hak rakyat Malaysia untuk menikmati khidmat seorang pemimpin ‘anugerah Tuhan’ sebagai Perdana Menteri. Pada September 1998, Mahathir yang takut kehilangan kuasa telah melucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dari ‘anugerah Tuhan’ ini dan sekaligus menyingkirnya dari UMNO. Kerana tulah ini, Mahathir jatuh tersungkur lima tahun kemudian.
Abdullah Badawi yang mengganti Mahathir pun turut tersungkur kerana tidak memberi laluan kepada ‘anugerah Tuhan’. Kini orang ramai tertanya-tanya berapa lama Najib Razak dapat bertahan sabelum tersungkur akibat tulah kepada ‘anugerah Tuhan’.
Ciri-ciri pemimpin ‘anugerah Tuhan’ ini ialah “karisma, amanah, keberanian, kegigihan dalam perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat, mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga, kesediaan berkorban, memiliki kebijaksanaan (hikmah) dan ketahanan fizikal”. Justeru itu, jawatan Perdana Menteri ialah hak kelahiran ‘anugerah Tuhan’ ini.
Bayangkan jika ‘anugerah Tuhan’ menjadi Perdana Menteri, sudah tentu masalah-masalah negara saperti “kemiskinan rakyat yang masih berleluasa di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, masalah rasuah yang semakin membarah, keruntuhan moral (akhlak) dan pelbagai penyakit sosial yang semakin kronik, penyalahgunaan kuasa yang berwewenang, hutang negara yang semakin bertambah, track record kerendahan moral dan akhlak” dapat diselesaikan dengan mudah. Rakyat akan dipupuk menjadi masyarakat madani. Negara menjadi sebuah Utopia berkat mukjizat ‘anugerah Tuhan’ ini.
Keadilan dan ketulusan akan berleluasa, tidak timbul kisah pemecatan melalui surat palsu. Kebebasan media dinobatkan tanpa ganggu-gugat dari “Empat Budak Melayu”. Harmoni antara kaum akan membungar hasil usaha Biro Tata Negara. Suruhanjaya Pilihan Raya diperkemas supaya pemilihan dapat diadakan tanpa kepincangan, penyelewengan dan tuduhan berat sebelah. Pelaburan terus luar negara, terutama dari Timur Tengah, akan mendadak naik.
Pemimpin ini ialah anugerah Tuhan kepada semua rakyat Malaysia. Di mana keadilan jika setakat ini hanya Azizan, Sukma dan Saiful Bukhari sahaja yang dapat menikmati anu ‘anugerah Tuhan’ ini?
SHARIFUDDIN SAID