Dua hari lalu saya telah menulis tentang dilemma yang saya hadapi untuk memutuskan mana satu untuk diundi pada pilihanraya yang akan datang – BN atau PR?
Hari ini, dakwaan telah dibuat melalui sebuah portal berita internet tempatan bahawa kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh PR telah meluluskan tanpa tender satu kontrak bernilai berjuta ringgit kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai track record untuk membangunkan sekeping tanah di Petaling Jaya. Juga didakwa syarikat itu mempunyai hubungan rapat dengan YB Azmin Ali, ahli dewan undangan negeri Hulu Kelang yang juga timbalan presiden PKR dan beliau telah mendesak YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, menteri besar Selangor, untuk memberi kontrak itu kepada syarikat tersebut.
Ini adalah dakwaan-dakwaan yang amat serius. YAB Khalid and YB Azmin mempunyai kewajipan untuk memberi jawapan dan penjelasan dengan serta merta. Keikhlasan mereka untuk menegakkan integriti, kebertanggungjawaban dan ketelusan kerajaan negeri, PKR dan PR sekarang menjadi bahan persoalan.
Saya berharap kedua-duanya tidak akan membisu sebagaimana parti mereka telah membisu apabila ditimbulkan dakwaan oleh ahli-ahli parti mereka sendiri berkaitan kepincangan pemilihan parti. Berdiam diri sedemikian hanya akan menambahkan kejelakan terhadap PKR.
Saya juga berharap parti-parti rakan, PAS dan DAP, akan mendesak kerajaan negeri Selangor untuk menjawab dakwaan-dakwaan terbaru ini. Desakan sedemikian adalah wajar sekiranya benar PR adalah gabungan sama rata antara parti-parti rakan.
Tidak ada gunanya berjanji untuk reformasi itu dan reformasi ini dalam tempoh 100 hari jika dipilih membentuk kerajaan federal sekiranya suatu perkara yang seratus-peratus di bawah tanggungjawab kerajaan negeri, seperti isu ini, lembab dan keberatan untuk ditangani oleh PR.
Saya harap kerajaan negeri Selangor atau YAB Khalid atau YB Azmin akan memberi penjelasan sebelum Hari Krismas. Sekiranya tidak, maka saya beserta keluarga dan sahabat handai akan mengambil keputusan untuk tidak mengundi PR pada pilihanraya yang akan datang.
Para pengundi sedang menyaksi – dan menunggu.
JASPAL SINGH GILL