Parti Keadilan Rakyat mengadakan pemilihan secara ‘satu ahli, satu undi’ bagi jawatan-jawatan untuk sesi 2010- 2013. Tempoh pemilihan ialah dari Ogos sehingga November 2010.
Pemilihan secara ‘satu ahli, satu undi’ ini membolehkan setiap ahli mengundi untuk memilih pemimpin mereka di peringkat Cabang dan Pusat. Walaupun parti berniat merakyatkan demokrasi, membendung gejala politik wang dan memberi ‘tunjuk-ajar’ kepada SPR bagaimana cara pilihan raya sepatutnya diadakan, hasrat parti gagal dicapai. Banyak masalah dihadapi semasa pemilihan, antaranya seperti yang ditunjukkan di sini.
Seramai 3 ahli merebut jawatan Timbalan Presiden (seorang menarik diri semasa tempoh pemilihan), 17 merebut jawatan Naib Presiden dan 132 merebut jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat.
Ahli yang ingin bertanding bagi jawatan dalam Cabang perlu mendapat pencalonan dari sekurang-kurangnya 2 ahli Cabang. Ahli yang ingin bertanding bagi jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat pula perlu mendapat pencalonan dari sekurang-kurangnya 2 Cabang.
Pemilihan secara ‘satu ahli, satu undi’ juga dibuat untuk jawatan-jawatan Cabang dan Pusat bagi sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita.
Pemilihan Parti dijalankan dalam dua peringkat pada dua hari yang berbeza, iaitu pemilihan Jawatankuasa Cabang dan pemilihan ahli-ahli Majlis Pimpinan Pusat. Mengikut tatacara pemilihan, pemilihan bagi Jawatankuasa Cabang hanya boleh dibuat selepas selesai Mesyuarat Agung Tahunan Cabang.