17 January 2011

Kempen PAS di Tenang: Satu Saranan - Wan Nasuha

Untuk tujuan tersebut, saya ingin mencadangkan kepada pucuk pimpinan PAS untuk melarang Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim daripada terlibat dengan kempen PAS di Tenang. Penglibatan beliau akan membawa persepsi negatif kepada para pemilih. Kredibiliti beliau sekarang amat diragukan oleh rakyat dan beliau kini merupakan satu liabiliti kepada usaha PAS untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
oleh Wan Nasuha Wan Hassan melalui e-mel



Puan Normala Sudirman,
Calon PAS untuk Pilihan Raya Kecil
DUN Tenang.
Saya ingin mengucapkan syabas kepada pucuk pimpinan PAS kerana telah memilih seorang muslimat, Puan Normala Sudirman, untuk bertanding sebagai calon Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri pada 30 Januari akan datang. Alhamdulillah, kepimpinan PAS telah memberi pengiktirafan sewajarnya kepada Dewan Muslimat.

Peluang Puan Normala untuk memenangi PRK ini amatlah cerah, Insya-Allah. Ini berdasarkan kepada kelayakan akademik beliau, perkhidmatan beliau sebagai guru di kawasan Labis dan perhubungan erat beliau dengan masyarakat tempatan, terutama dengan masyarakat bukan Melayu.

Johor merupakan kubu kuat BN tetapi pencalonan Puan Normala akan menggugat dominasi politik BN di Labis. Jika ramai orang meramalkan Puan Normala akan hanya dapat mengurangkan majoriti BN, pada hemah saya calon muslimat ini akan memenangi PRK tersebut, Insya-Allah. Kemenangan PAS di PRK tersebut akan memberi semangat baru kepada PAS untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 di Johor.

Justeru itu, saya ingin memberi peringatan kepada pemimpin, aktivis dan penyokong PAS untuk mengerakkan satu kempen pilihan raya yang berhemah dan berkesan. Barisan pemimpin PR yang turun untuk berkempen mestilah yang dapat diterima oleh semua golongan masyarakat dan tidak membawa mudarat kepada usaha-usaha PAS untuk menang.

Untuk tujuan tersebut, saya ingin mencadangkan kepada pucuk pimpinan PAS untuk melarang Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim daripada terlibat dengan kempen PAS di Tenang. Penglibatan beliau akan membawa persepsi negatif kepada para pemilih. Kredibiliti beliau sekarang amat diragukan oleh rakyat dan beliau kini merupakan satu liabiliti kepada usaha PAS untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Keputusan pimpinan PAS Johor meminta Anwar Ibrahim supaya tidak menghadiri majlis pengumuman pencalonan Puan Normala kelmarin adalah keputusan yang amat tepat, dan saya rasa saya tidak bersendirian dalam menyokong penuh keputusan ini.

Saya berharap pucuk pimpinan PAS akan memberi pertimbangan sewajarnya kepada cadangan di atas dan saya sudahi dengan doa agar calon PAS, Puan Normala Sudirman akan menang pada pilihan raya kecil ini.

Sekian. Wasallam.



WAN NASUHA BT. WAN HASSAN