Saya merujuk kepada surat-surat dari Goh Soon Sin dan Abas Azizan berkenaan perjumpaan yang dinyatakan di atas.
Kedua-dua surat tersebut mengandungi beberapa tuduhan (Goh) dan spekulasi (Abas).
Saya ingin katakan di sini bahawa adalah tidak wajar untuk orang-orang bukan Melayu dan bukan Islam untuk mengungkit atau cuba menggambarkan apa-apa usaha untuk menyatukan suara politik orang Islam/Melayu sebagai satu perkembangan negatif. Saya perhatikan kerap topik itu diutarakan sebagai sesuatu yang boleh menggugat kedudukan orang bukan Islam. Itu amatlah tidak wajar dan satu pendirian yang tidak bersikap adil kepada orang Melayu/Islam amnya.
Pertama, politik tidak semestinya satu ‘zero-sum game’ yang mana kalau orang-orang Islam bersatu, maka secara automatisnya orang-orang bukan Islam akan rugi. Pandangan sedemikian, pada hemat saya, tiada asasnya. Permasalahan negara mungkin akan banyak selesai sekiranya orang Islam bersatu. Politik berlebihan (excessive politicking) di dalam arena politik negara mungkin dapat dikurangkan supaya masa dan tenaga semua pihak dapat ditumpukan kepada penaikan taraf sosio-ekonomi rakyat jelata tanpa mengira kaum atau ugama. Penambahan kestabilan negara juga pasti akan menguntungkan semua, tak kiralah orang Melayu atau Cina atau India atau Kadazan dan sebagainya.
Kedua, andainya benar orang bukan Islam menganggap penyatuan orang Islam sesuatu yang akan merugikan orang bukan Islam, maka ini bermakna segala tindak tanduk parti politik bukan Islam adalah bermatlamat untuk orang Islam terus berpecah belah. Mahukah MCA, DAP, Gerakan, MIC, SUPP dan lain-lainnya sekiranya orang Islam membuat kesimpulan sedemikian? Sekiranya tidak, ada baik sekiranya penyokong-penyokong mereka tidak cuba memberi stigma negatif kepada apa-apa prospek penyatuan orang Islam di negara ini.
Ketiga, parti-parti politik bukan Islam, baik dalam barisan pemerintah mahupun pembangkang, kerap mengambil pendirian yang seiring dan sejalan dalam isu-isu yang mereka fikirkan akan menguntungkan orang bukan Islam, secara terang-terang dan tanpa segan silu. Itu sesuatu yang mereka anggap wajar diterima oleh orang Islam. Oleh itu, sekiranya PAS dan UMNO pula duduk semeja secara terang-terang untuk berbincang isu-isu yang akan menguntungkan orang-orang Islam, parti-parti bukan Islam wajar menerimanya dengan fikiran terbuka dan tidak merasa tergugat dengan tindakan PAS dan UMNO itu.
Tuan Guru Nik Aziz telahpun mengesahkan perjumpaan tersebut berlangsung dan terang-terang telah dia telah katakan bahawa isi perbincangan adalah sesuatu yang rahsia yang beliau tidak mahu hebahkan. Kita harus hormati pendirian beliau.
Kita pun semua tahu Dato Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah mengadakan pertemuan sulit dengan Dato Seri Najib Tun Razak pada suatu masa dahulu tanpa diketahui PAS dan DAP. Tidak pula kedengaran suara-suara yang mendesak Anwar untuk menerangkan apakah isi perbincangan beliau dengan Najib dalam pertemuan sulit itu.
Sebagai seorang penyokong kuat PAS dari mula, harus saya nyatakan perasaan bimbang dan tidak puas hati di kalangan keahlian dan penyokong PAS terhadap halatuju Pakatan Rakyat (PR), kemelut dalaman PKR dan tuduhan liwat terhadap Dato Seri Anwar.
PAS telah banyak melenyapkan tuntutan-tuntutan tradisonalnya sejak menganggotai PR. Akan tetapi parti seperti DAP tidak sedikit pun mengurangkan pendiriannya sejak jadi ahli PR. Ia masih kuat memperjuangkan ‘Malaysian’s Malaysia’, pilihanraya kerajaan tempatan dan lain-lain perkara yang susah untuk PAS anggap sebagai mustahak. PAS pula tidak boleh langsung bersuara tentang ‘negara Islam’ ataupun usaha menegakkan undang-undang Islam sejak menjadi ahli PR. Pokoknya, pengorbanan oleh PAS tidak dibalas dengan pengorbanan yang setimpal oleh DAP di dalam Pakatan Rakyat.
Kemelut dalaman PKR tidak perlulah saya huraikan dengan berjela-jela. Secara rasminya, memang PAS menghormati dan tidak pernah menyentuh tentang apa yang berlaku di dalam PKR. Bagaimanapun, sebagai seorang pemerhati biasa, biarlah saya katakan pemilihan jawatan parti untuk PKR yang telah dijalankan tahun lepas memang diketahui umum sebagai kucar kacir dan penuh kepincangan. Hingga sekarang masih kuat kedengaran luahan rasa tidak puas hati dari dalam PKR sendiri. Pada saya, ini semua berpunca dari kegagalan kepimpinan PKR sendiri.
Terkini, di dalam isu pelantikan setiausaha kerajaan negeri Selangor, hanya presiden PAS yang telah mengeluarkan kenyataan rasmi pendirian PAS berkenaan isu tersebut. Ketua umum PKR dan presidennya mahupun timbalan presidennya, ketiga-tiganya hingga sekarang membisu enggan memberi kenyataan rasmi walaupun MB Selangor adalah dari parti mereka sendiri. Maka terkonteng-kontenglah bersendirian MB Selangor menangani isu itu. Dia pun kelihatan macam dah ‘surrender’ dalam isu ini. Adakah kepimpinan PKR takut dan gentar untuk mengambil risiko memurkakan pihak istana? Macam manakah ‘Ketuanan Rakyat’ boleh diperjuangkan sekiranya begitu sikap kepimpinan PKR?
Kegagalan kepimpinan PKR, pada saya, asal dan puncanya adalah tuduhan liwat yang terpaksa diharungi oleh Dato’ Seri Anwar. Kemungkinan besar tenaga intelek dan mental beliau terpaksa ditumpukan kepada kes liwat itu hingga tidak dapat diberi inputnya kepada isu-isu lain yang melanda PKR dan PR. Beliau sering diwar-warkan sebagai individu yang berjaya memantapkan talian parti-parti di dalam PR tetapi tidak pula pengaruh beliau digunakan untuk memujuk DAP supaya jangan terlalu lantang dengan tuntutan-tuntutan yang tidak dikongsi oleh orang Islam. Ini semua pada saya disebabkan oleh tuduhan liwat ke atas Dato’ Seri Anwar yang berlangsung sekarang.
Keresahan di dalam PAS ialah permasalahan di dalam PKR akan memberi impak negatif kepada PAS sebagai rakan juang di dalam PR. Di samping itu, orang PAS juga sering tertanya-tanya adakah adil atau munasabah pemimpin yang bermasalah dari parti yang banyak masalah dilantik menjadi perdana menteri sekiranya PR berjaya menubuhkan kerajaan.
Begitulah luahan hati saya buat renungan kita semua.
WAN NASUHA BT. WAN HASSAN