05 January 2011

Perjumpaan PAS-UMNO: Apa yang telah dibincang? - Abas Azizan

Saya amat tertarik dengan berita perjumpaan antara pemimpin-pemimpin PAS, Nik Aziz dan Hadi Awang dengan pemimpin-pemimpin UMNO, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin yang di pengerusikan oleh YDP Agung, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 24 Disember, 2010.

Walaupun Nik Aziz enggan mendedahkan intipati perbincangan tersebut, ini tidak dapat menyekat rakyat jelata dari membuat sebarang spekulasi mengenainya.

Saya rasa tidak mustahil perjumpaan tersebut bertujuan untuk menyakinkan Nik Aziz tentang penglibatan Anwar Ibrahim dengan kegiatan homoseksual. Kebanyakan pemimpin-pemimpin PAS dan ABIM barangkali telah yakin dengan salah laku Anwar dan hanya Nik Aziz seorang sahaja dalam barisan pimpinan PAS yang masih belum dapat menerima hakikat ini.

Pada perjumpaan tersebut ada kemungkinan Nik Aziz telah ditunjukkan bukti-bukti teknikal seperti video, gambar-gambar, rakaman suara dan SMS serta e-mel yang telah dipintas. Ini, sekiranya wujud, akan mengesahkan penglibatan Anwar dalam kegiatan homoseksual. Adalah munasabah bukti-bukti tersebut tidak dapat disebarkan kepada orang ramai kerana ia akan mengaibkan orang Islam di negara ini.

Perjumpaan tersebut digunakan untuk menyediakan minda Nik Aziz dan penyokong-penyokong Anwar di dalam PAS supaya dapat menerima hakikat bahawa memang Anwar terlibat dengan kegiatan homoseksual dan tuduhan-tuduhan yang dihadapi beliau di mahkamah bukanlah fitnah.

Nik Aziz telah diminta untuk memujuk Anwar supaya mengundurkan diri dari arena politik tanah air dan menerima tawaran suaka daripada kerajaan Turki. Ini adalah penyelesaian yang terbaik kepada semua pihak kerana jika bukti-bukti teknikal ini disebarkan, orang Melayu beragama Islam yang akan hilang air muka.

Ini hanyalah spekulasi saya berdasarkan maklumat-maklumat yang saya terima daripada kawan-kawan yang berada di barisan pimpinan PAS dan UMNO. Sesungguhnya hanya Allah SWT sahaja yang lebih mengetahui.

Wallahuallam.


ABAS AZIZAN