Showing posts with label Abdul Aziz Anon. Show all posts
Showing posts with label Abdul Aziz Anon. Show all posts

27 January 2011

Tindakan Anwar Merendah-Rendahkan Saifuddin Dikesali - Abdul Aziz Anon

Tindakan Ketua Umum mengubah keputusan sewenang-wenangnya berdasarkan gerak hati beliau adalah dua kali lebih melampau. Beliau bukan sahaja merendahkan keputusan Setiausaha Agung parti, malahan beliau juga mempersendakan semua orang dengan mengeluarkan kenyataan secara sesuka hati kepada umum untuk mengubah keputusan yang telah dibuat.
oleh Abdul Aziz Anon melalui e-mel



Krisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergolak lagi. Ketika PAS sedang berjuang dan berperang di kubu terkuat Umno, PKR menyajikan isu-isu negatif kepada kepada umum. Ketika DAP kelihatan berjaya membawa sokongan orang Cina kepada Pakatan Rakyat (PR), PKR terus dilanda krisis buruk yang menjejaskan rentak kecemerlangan PR.

Banyak sekali teman-teman sudah mula menerbitkan kegusaran terhadap situasi PKR. Krisis demi krisis yang belum lagi berkesudahan sejak pemilihan Parti merakamkan sejarah insiden pergaduhan dan penipuan undi. Akibatnya, sungguh mahal harga yang perlu dibayar oleh semua anggota Parti dan pendokong Reformasi kesan dari sikap ambil mudah pemimpin parti dalam membuat keputusan dan menentukan halatuju terbaik perjuangan politik parti.

Saya terpanggil untuk memberi pandangan terhadap tindakan Setiausaha Agung parti, YB Saifuddin Nasution yang menghantar surat tunjuk sebab terhadap Mustaffa Kamil Ayub atas dakwaan telah melakukan kesalahan yang melanggar disiplin parti. Amat di luar jangkaan cara dan kandungan surat tersebut yang datangnya dari Saifuddin Nasution. Surat tersebut ditulis dengan nada yang sangat keras, berbaur ugutan dan penuh dendam kesumat.

Kita boleh memahami sebab YB Saifuddin dikritik hebat semasa pemilihan parti 3 bulan lalu. Imejnya sebagai tokoh politik muda yang dihormati rakan serta lawan kini tercalar teruk, malahan sekarang dituduh pula sebagai arkitek penting dalam projek memahkotakan Anwar dan Azmin menjadi dewa dan dewi baru PKR. Namun begitu kritikan yang beliau terima tidak boleh dijadikan alasan untuk beliau bertindak secara beremosi atas kuasa Setiausaha Agung. Amat tidak wajar Saifuddin yang sebelum ini mencampuri keputusan-keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) kini seolah-olah menggunakan Lembaga Disiplin parti untuk melunaskan dendam kesumat beliau terhadap mana-mana pihak yang mengkritik beliau sebagai Setiausaha Agung atas kelemahan JPP dan Ibu Pejabat PKR.

Kenyataan beliau seperti yang dilaporkan portal The Malaysian Insider bahawa beliau tidak ingat samada ada menandatangani surat tunjuk sebab terhadap Mustaffa Kamil kerana beratus-ratus surat telah beliau tandatangani adalah jelas kenyataan yang mempersendakan Mustaffa Kamil Ayub. Adalah tidak masuk akal isu perlanggaran disiplin oleh Sdr. Mustaffa Kamil, calon jawatan Timbalan Presiden, bekas Naib Presiden parti dan bekas Setiausaha Agung parti tidak berada dalam perhatian Setiausaha Agung PKR. Kalau benar memang beliau tidak ingat, ini jelas menunjukkan sikap ambil mudah atau sambil lewa beliau dalam menjalankan tugas Setiausaha Agung parti. Justeru, tidak peliklah kenyataan beliau dalam Kongres Tahunan Parti bahawa semua aduan pemilihan PKR akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu tetapi sehingga sekarang, selepas tiga bulan aduan-aduan tersebut masih belum lagi selesai.

Saya terpanggil untuk mengkritik Setiausaha Agung secara ikhlas kerana saya berpandangan banyak kenyataan serta tindakan sambil lewa YB Saifuddin Nasution membawa kepada kemarahan anggota parti dan memberi peluang kepada musuh untuk menyerang parti.

Untuk berlaku adil kepada YB Saifuddin, tindakan Ketua Umum yang mengeluarkan kenyataan bahawa surat tunjuk sebab terhadap Mustaffa Kamil Ayub yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung atas saranan Lembaga Disiplin itu tidak efektif dan akan dibincangkan semula oleh Biro Politik juga wajar diambil perhatian. Tindakan Ketua Umum mengubah keputusan sewenang-wenangnya berdasarkan gerak hati beliau adalah dua kali lebih melampau. Beliau bukan sahaja merendahkan keputusan Setiausaha Agung parti, malahan beliau juga mempersendakan semua orang dengan mengeluarkan kenyataan secara sesuka hati kepada umum untuk mengubah keputusan yang telah dibuat.



ABDUL AZIZ ANON

05 December 2010

Menuntut Penjelasan Daripada YB Saifuddin Nasution Ismail - Abdul Aziz Anon

Belum sempat kering luka-duka pemilihan PKR selepas 6 bulan yang begitu menyakitkan, selepas kami akur menghormati parti dengan memejam mata kepada salahlaku pemilihan PKR, selepas melihat pimpinan mengiktiraf ketidakadilan menyelubungi pemilihan PKR, PKR diserang lagi. Satu demi satu isu melibatkan parti ditimbulkan. Kali ini bekas Setiausaha Agung, Dato’ Salehuddin Hashim mendakwa Ibu Pejabat parti telah menggunakan nama dan tandatangan beliau untuk mengeluarkan satu surat palsu yang dijadikan bukti untuk menghalang Jenapala dari bertanding jawatan timbalan presiden semasa pemilihan baru-baru ini.

Jika benar dakwaan Dato’ Salehuddin, maka parti akan sekali lagi berdepan dengan permasalahan. Imej parti akan bertambah buruk dan kredibiliti parti akan tercemar lagi.

Menggunakan tandatangan dan nama orang lain adalah salah, pecah amanah dan jenayah. Saya percaya Ibu Pejabat tidak seberani itu untuk memalsukan tandatangan dan nama orang lain, apatah lagi nama seorang Setiausaha Agung secara memandai-mandai. Tetapi sesudah melihat bagaimana Ibu Pejabat mengendalikan pemilihan PKR, saya mula ragu-ragu kebarangkalian wujudnya kebodohan yang memberanikan Ibu Pejabat Parti untuk bertindak sedemikian.

Minit mesyuarat Biro Politik pada 30 Ogos 2009 menunjukkan kes Jenapala masih lagi dibincangkan. Ini bermakna Jenapala masih lagi anggota parti. Surat pemecatan Jenapala pula bertarikh 2 Febuari 2009. Pimpinan parti hingga sekarang seolah terkelu lidah dan terus membisu, enggan memberi penjelasan barang secebis pun bagaimana percanggahan tarikh ini boleh timbul.

Secacat-cacat surat pecat yang pernah saya tengok, tiada yang secacat surat yang membuang Jenapala dari jadi ahli. Mesyuarat MPP mana satu yang memutuskan untuk dia dipecat pun tidak dinyatakan dalam surat itu! Itu sahaja sepatutnya sudah cukup asas untuk mencurigai kesahihan surat itu. Tidakkah surat itu dibelek dan diusulperiksa oleh YB Saifuddin sebelum dia mengetengahkan surat itu kepada pihak mahkamah sebagai sebahagian dari afidavit balas beliau?

Melihat dakwaan dengan fakta yang dikemukakan dan keengganan Parti untuk memberi hujah balas mengenai fakta-fakta tersebut, semuanya mengundang kegelisahan ramai ahli bawahan dan penyokong parti tentang apa sebenarnya yang berlaku.

Apakah benar Ibu Pejabat menggunakan nama dan tandatangan Dato’ Salehuddin untuk mengeluarkan surat palsu? Jika benar, siapakah yang bertanggungjawab?

Dakwaan dan salahlaku sebegini amat serius dan bukanlah perkara yang boleh diambil enteng. Apatah lagi PKR sebagai sebuah parti reformasi gerakan rakyat yang menjunjung nilai-nilai murni. Lebih malang lagi perkara-perkara sebegini mengundang pihak polis untuk bertandang di dalam Ibu Pejabat parti dan boleh mengheret parti ke mahkamah. Satu-persatu isu akan timbul dan sudah tentu akan menjejaskan kredibiliti parti serta menghakis keyakinan rakyat dan ahli-ahli.

Peringatan saya kepada pemimpin parti bahawa di dalam Pakatan Rakyat, PKR adalah yang paling lemah. Lemah dari segenap aspek berbanding PAS dan DAP. Satu persatu cerita negatif PKR menjadi sensasi politik. Sudah tentu tempiasnya juga memberi kesan kepada PAS dan DAP. Sekiranya cerita buruk PKR timbul berterus-terusan, tentu ini akan mengundang kemarahan PAS dan DAP.

Oleh itu, Setiausaha Agung, Sdr YB Saifuddin Nasution hendaklah menjelaskan kepada semua ahli dan penyokong parti: apakah sebenarnya yang telah berlaku?



ABDUL AZIZ ANON

27 November 2010

Surat terbuka kepada YB Saifuddin dan Reformis - Abdul Aziz Anon

Hakikat tidak boleh diselindung lagi. Nampaknya memang ada pertembungan serius para bangsawan PKR dengan ahli-ahli akar umbi. Ahli mendesak, pemimpin bertahan dengan penafian. Ahli dakwa pemilihan PKR tipu, Pemimpin kata tidak, semuanya sempurna, hebat, adil lagi bersih; kita menempa sejarah, semua parti di Malaysia ini tidak segagah kita.

Saya mengutuk sikap dan mempersoalkan kewibawaan Setiausaha Agung, YB Saifuddin Nasution. Saya berpendirian YB Saifuddin adalah 'mangsa', daripada seorang pemimpin yang disegani kini menjadi pemimpin paling dibenci gara-gara pemilihan PKR. YB Saifuddin adalah mangsa kepada ketamakan aliran politik merajakan Azmin Ali dan mendewakan Anwar Ibrahim.

YB Saifuddin,

Ingin saya beritahu YB dan sahabat-sahabat perjuangan sekalian, huru-hara PKR ini adalah ciptaan pimpinan parti. Tidak ada penyakit tetapi cari penyakit. Dulu orang tidak tahu kita ada pekong, kurap dan kusta. Sekarang semua orang dah tahu. Ini kerana pemimpin tidak sedar diri - nak petik bintang tapi kail panjang sejengkal.

YB Saifuddin dan teman-teman reformasi sekalian.

Keadilan tidak ada pada Parti Keadilan.

Asas kepada undang-undang adalah keadilan dan keadilan mesti dilihat pelaksanaannya - Justice must be seen to have been done.

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tidak wajar menjadi badan penyiasat bagi segala aduan yang diterima kerana timbul percanggahan kepentingan (conflict of interest) memandangkan ada aduan yang mempersoalkan tata kerja JPP sendiri. Kita minta JPP menyiasat kesalahan yang JPP sendiri buat, mana mungkin JPP akan mengeluarkan kenyataan mengatakan “Selepas kami menyiasat diri kami sendiri, kami mendapati kami telah melakukan kesalahan”.

JPP dan juga Biro Politik dianggotai oleh calon-calon yang sedang bertanding dalam pemilihan, seperti Azmin Ali, Shamsul Iskandar, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua, Manikavasagam, Johari Abdul dan lain-lain. Mereka adalah orang yang sama yang dikaitkan dalam aduan dan mesti dikecualikan, akan tetapi Biro Politik berperanan sebagai penyiasat dan kadang-kadang hakim. Mana mungkin pimpinan Biro Politik Parti akan menyatakan “selepas kami menyiasat aduan terhadap salah laku kami, kami dapati kami memang salah dan patut dihukum”.

YB Saifuddin,

Saya tidak jelas apakah definisi 'bukti kukuh' bagi JPP dan Biro Politik? Laman web FreeMalaysiaToday memaparkan gambar yang jelas menunjukkan daftar pengundi tidak bersih dan banyak duplikasi. Laman yang sama memaparkan jelas gambar pengawas pemilihan sedang manipulasi undi. Gambar tersebut pula baru didedahkan semalam. Tidak sampai 24 jam selepas gambar tersebut disiarkan, YB Saifuddin dalam sidang media menafikan bahawa pengawas itu tidak mungkin buat salah. Mana YB Saifuddin tahu? Apa piawai prosedur penyiasatan? Apa mekanisma penyiasatan yang dibuat? Semuanya tidak jelas dan tidak dijelaskan. Tiba-tiba muncul Setiausaha Agung dengan keputusan yang sangat meragukan.

Jangan berpura-pura dengan kebenaran demi merajakan Azmin dan mendewakan Anwar.

Hari ini, sempena Kongres Keadilan yang ke-7, saya juga mempersoalkan kewibawaan YB Saifuddin sebagai Setiausaha Agung dalam menangani isu dakwaan bekas Setiausaha Agung sebelumnya, bahawa Sekretariat Ibu Pejabat mengeluarkan satu surat palsu dengan memalsukan tandatangan bekas Setiausaha Agung itu bagi tujuan mencipta bukti bagi menghalang S. Jenapala dari bertanding.

YB Saifuddin,

Sebagai Setiausaha Agung, kenyataan “saya tidak tahu, buka fail ada surat, jadi kira jalanlah...” yang diucapkan dalam sidang media semalam adalah satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab oleh saudara.

YB Saifuddin,

Dakwaan bekas Setiausaha Agung itu mengikut pendedahan MalaysiaToday sangat panjang lebar beserta fakta, affidavit dan bukti. Isu ini menggusarkan anggota dan jika benar dakwaan tersebut, pihak ibu pejabat memang sekali mengecewakan anggota dan tentu sekali mengaibkan parti.

Teman-teman Reformis yang dihormati,

Keadilan semacam hanya pada nama sahaja.



ABDUL AZIZ ANON

26 November 2010

Menuntut Keadilan akan dianggap perbuatan penderhaka - Abdul Aziz Anon

Mengkritik atau mempunyai perasaan tidak puas hati terhadap perjalanan pemilihan PKR, atau mendakwa JPP dan Sekretariat Ibu Pejabat Parti tidak adil dalam pengendalian pemilihan ‘1 ahli 1 undi’ dengan memberi bukti salahlaku JPP dan Sekretariat Ibu Pejabat, adalah sama hukumnya dengan mengkritik Anwar Ibrahim dan Azmin Ali. Oleh itu, sesiapa yang bertindak demikian akan dianggap pengkhianat.

Menuntut keadilan, memperjuangkan kebenaran dan mencadangkan penambahbaikan kepada organisasi parti akan dianggap durhaka. Mustaffa Kamil Ayub, Zaid Ibrahim, CheGu Bard, Jonson Chong, Dr Suraya, Animah Ferrar adalah antara kumpulan pemimpin yang dianggap pendurhaka atau pengkhianat parti.

Begitu juga dengan ahli parti. Kita diminta untuk menjadi ahli yang paling setia. Ahli yang disayangi Anwar Ibrahim dan Azmin Ali dengan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada kedua pemimpin itu walau dalam apa keadaan sekalipun, meskipun menutup sebelah (atau kedua-dua) mata, bertoleransi dengan salah laku, asalkan tidak menyusahkan Anwar Ibrahim dan Azmin Ali atau sebaliknya.

Apakah sudah menjadi satu kesalahan besar apabila ahli menuntut keadilan daripada Parti Keadilan?

Menuntut keadilan tidak lagi terpakai dalam parti. Ianya hanya terpakai kepada kerajaan UMNO/BN. Ramai ahli parti telah tampil mengemukakan bukti yang nyata lagi jelas mendakwa salah laku JPP dalam mengendalikan pemilihan PKR baru-baru ini tetapi langsung tidak mendapat layanan sewajarnya oleh pucuk pimpinan.

Saya sedih tetapi tetap menaruh harapan bahawa parti wajib digerakkan dengan menjunjung prinsip-prinsip keadilan dan kebenaran. Walaupun kadangkala ianya memberi gambaran negatif kepada parti, tetapi keadilan dan kebenaran akan sentiasa adil dan sentiasa benar dalam apa keadaan sekalipun. Dalam mempromosikan politik nilai sebagai budaya politik PKR, tindakan pimpinan parti akan sentiasa menjadi teladan kepada ahli-ahli biasa.

Ingatan saya kepada pimpinan parti bahawa setiap tindakan ada tindakbalasnya. Jangan terkejut jika ahli parti mula meninggalkan parti kerana hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan. Ini kerana pimpinan parti tidak mahu melayan ahli parti dengan menghormati hakikat bahawa setiap ahli mampu berfikir secara rasional dan mempunyai maklumat yang cukup (maklumlah zaman internet ini) untuk membezakan apa yang betul dan apa yang salah.

Kita marah sebab UMNO/BN sedang membonsaikan pemikiran rakyat. Akan tetapi apa bezanya dengan tindakan pimpinan parti yang juga bertindak seperti UMNO/BN mahu membonsaikan pemikiran ahli parti supaya menjadi ahli yang setia biarpun membuta tuli.

Jikalau kita tidak mampu untuk memberi keadilan kepada ahli sendiri, bagaimana kita mahu meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kita mampu memberi keadilan kepada mereka?



ABDUL AZIZ ANON

21 November 2010

Kertas Undi Bocor: JPP bertanggungjawab untuk segera beri penjelasan - Abdul Aziz Anon

Pemilihan PKR menutup tirainya hari ini. Pemilihan ini sewajarnya memberi banyak iktibar kepada parti, pemimpin dan anggota. Sebelum ini saya telahpun membuat desakan dan menyatakan bahawa pemilihan parti adalah tidak telus, mengandungi penipuan dan manipulasi undi. Pemilihan PKR penuh kecacatan, dan kecacatan ini jelas membayangkan kelemahan badan pengurusan dan pemantauan, dan kelemahan ini membuka ruang untuk berlakunya manipulasi dan penipuan.

Saya mendesak pihak JPP, Sekretariat atau pucuk pimpinan untuk menjelaskan kesahihan ‘posting’ yang disiarkan oleh blogger Haris Ibrahim melalui blog beliau pada 21 November hari ini. ‘Posting’ tersebut jelas menunjukkan kertas undi yang bakal digunakan pada hari ini bagi pemilihan di Cabang Gombak, Ampang, Selayang, Kuala Langat, Hulu Langat, Kuala Selangor, Pandan dan beberapa tempat lain lagi. Posting beliau jelas membuktikan kertas undi telah bocor.

Persoalannya ialah bagaimana Sdr Haris boleh menyiarkan kertas undi di blog beliau 2 jam sebelum pusat-pusat pengundian dibuka pada jam 10 pagi? Sdr Haris juga mendakwa beliau menerima e-mel memberitahu kertas undi pemilihan PKR telah bocor. (Perkara yang sama juga dilaporkan oleh laman web Free Malaysia Today.)

Oleh yang demikian, saya sekeras-kerasnya mendesak JPP menjalankan kewajipannya untuk memberi penjelasan mengenai perkara ini. Walaupun hari ini adalah hari terakhir pemilihan tetapi apa yang telah berlaku seolah-olah mengiyakan dakwaan para anggota di peringkat akar umbi; JPP dan Sekretariat memainkan 'peranan' dalam memanipulasi undi bagi memenangkan calon tertentu.

Saya merasa sedih dan teramat-amat kecewa dengan pimpinan parti khususnya Anwar Ibrahim dan Presiden yang mendiamkan diri dan membiarkan sahaja JPP serta Sekretariat Ibu Pejabat bertindak kotor dan mencemarkan prinsip-prinsip luhur perjuangan reformasi.



ABDUL AZIZ ANON

12 November 2010

Sahabat seperjuangan Mustaffa Kamil Ayub lahirkan rasa kesal - Abdul Aziz Anon

Sebenarnya memang sudah jangkaan saya bahawa Sdr. Mustaffa Kamil Ayub, calon Timbalan Presiden PKR, tidak akan menarik diri, tetapi sebaliknya hanya akan terus melakukan protes dari dalam amat tepat. Saya amat kesal dengan sandiwara politik beliau.

Saya merujuk kepada memorandum yang dihantar oleh Saudara Mus kepada Presiden parti dan Pengerusi JPP pada 9 November 2010:

“Kami mendesak supaya JPP mengisytiharkan pemberhentian Pemilihan 2010 dalam tempoh 48 jam dari masa penerimaan memorandum ini. Sekiranya tindakan pemberhentian Pemilihan tidak dilakukan dalam tempoh tersebut, kami akan mengambil tindakan yang lebih tegas demi mempertahankan prinsip keadilan.”


Apakah yang dimaksudkan dengan “tindakan tegas”? Apakah pula yang dimaksudkan dengan “bertanding dalam protes?” Sahabatku, pilihannya hanya samada kita merestui proses pemilihan dan mengambil bahagian, atau kita menolak proses pemilihan dan mengundur diri.

Saya hanya dapat menafsirkan tindakan ini sebagai tidak lebih daripada sandiwara lakonan pentas politik dengan perkiraan bahawa rakyat adalah bodoh dan boleh ditipu sedemikian rupa.

Gesaan saya tempoh hari adalah meminta Sdr Mustaffa Kamil Ayub menarik diri demi menjaga integriti peribadi. Dengan apa yang dikatakan oleh beliau sebagai “tindakan tegas” tempohari, dan dengan apa yang dinyatakan beliau dalam sidang medianya hari ini, saya beranggapan bahawa Sdr Mus telah hilang peluang keemasan untuk bertindak meletakkan proses pemilihan parti kepada landasan yang betul. Mengapa harus terus berjoget jika alunan gendangnya sumbang? Mengapa harus terus menyanyi jika tidak seirama dan tidak senada?

Dalam memoradum beliau, Sdr. Mustaffa Kamil Ayub telah menyatakan terdapat banyak penyelewengan dan kepincangan dalam proses pemilihan parti dan beliau menuntut pemberhentian pemilihan parti dibuat atau JPP harus bersedia menghadapi tindakan yang lebih tegas.

Saya amat hairan dan sangat tidak jelas apakah yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan parti untuk memperbaiki keadaan sejak penyerahan memo pada 9 November sehingga menyebabkan Sdr. telah menukar pendirian?

Hanya satu rumusan yang adil untuk disimpulkan: saudara gelojoh pangkat dan kuasa. Saudara meletakkan kepentingan masa depan politik peribadi. ‘Ketakutan’ Saudara kepada Anwar Ibrahim dan Azmin melebihi kepentingan untuk mempertahankan prinsip dan nama baik parti. Membenarkan pemilihan parti diteruskan dan mengambil bahagian dalam pertandingan yang didakwa ada penyelewengan dan kepincangan adalah pelacuran prinsip politik. Saudara bukan lagi seorang pemimpin, dan Saudara sama sekali tidak layak menganggap diri Saudara sebagai seorang pemimpin.

Saya sedar Saudara telah ditawarkan jawatan Naib Presiden yang dilantik terus oleh Presiden jika kalah dalam pemilihan ini. Jika Saudara menarik diri maka akan terkubur karier politik dalam keADILan. Saya ulangi, ini adalah satu pelacuran prinsip politik. Dimanakah al-qudwah? Di mana al-amanah?

Saya ketawa dalam tangisan tatkala mengenangkan kehadiran Saudara pada sidang media Datuk Zaid Ibrahim pada hari Isnin lepas. Jelas Saudara hanya seorang haiwan politik yang, bak kata pepatah, pergi bagaikan panglima, balik bagaikan pondan.



ABDUL AZIZ ANON

09 November 2010

Manipulasi undi di Libaran & Sandakan; Sdr. Mustaffa Kamil digesa tarik diri - Abdul Aziz Anon

Sebagai sahabat seperjuangan Sdr. Mustaffa Kamil Ayub yang mengenali beliau secara dekat ketika bersama dalam gerakan belia, saya menggesa Sdr. Mustaffa Kamil untuk menjaga integriti peribadi beliau dengan menarik diri dari proses pemilihan PKR yang nyatanya berat sebelah dan dipenuhi manipulasi oleh pihak lain yang bertanding.

Tindakan Dato’ Zaid Ibrahim yang menarik diri adalah sesuatu yang tidak mengejutkan berikutan rentetan dakwaan beliau bahawa terdapat manipulasi undi yang memenangkan YB Azmin Ali. Kelemahan dan permasalahan berbangkit tentang pengurusan pemilihan PKR oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Sekretariat Ibu Pejabat PKR adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Pemilihan PKR sememangnya sungguh meragukan.

Apa yang berlaku di cabang Libaran dan Sandakan adalah bukti jelas proses pengundian yang tercemar di mana berlakunya manipulasi undi. Di cabang Libaran dengan seramai 1,501 ahli, sebanyak 898 ahli keluar mengundi dengan peratusan keluar mengundi 59.83%. Keputusannya, Azmin dapat 881 undi, Zaid 8 undi dan Sdr. Mus 6 undi. Sedangkan semasa pemilihan Jawatankuasa Cabang PKR Libaran hanya 99 ahli (6.60%) sahaja yang datang. Mana mungkin dalam tempoh kurang sebulan peningkatan keluar mengundi begitu mendadak.

Isu yang kedua, JPP hanya mencetak 50% kertas undi dari jumlah semua ahli dalam sesuatu cabang. Tetapi bagaimana pula di cabang Libaran, kertas undi dan jumlah yang keluar mengundi lebih besar dari jumlah kertas undi yang disediakan.

Perkara yang sama juga berlaku di cabang Sandakan dengan anggota parti seramai 1,047 orang. Sejumlah 456 orang keluar mengundi (43.55%), sedangkan pemilihan peringkat cabang yang sepatutnya lebih ramai dan lebih panas hanya 81 orang yang hadir. Mana mungkin peningkatan begitu mendadak dan menyaksikan Azmin mendapat 417 undi, Zaid 25 undi dan Sdr Mus 13 undi.

Dalam masa sama, 16 cabang di Sabah yang turut sama mengadakan pemilihan hanya mencatatkan peratusan keluar mengundi secara purata 8.09%. Hanya Libaran dan Sandakan yang begitu ketara perbezaannya.

Saya menggesa Sdr Mustaffa Kamil Ayub untuk turut menarik diri dari pertandingan Timbalan Presiden demi menjaga integriti peribadi beliau, serta untuk menghantar mesej yang jelas kepada JPP dan Sekretariat Ibu Pejabat. Kedua-dua badan tersebut mesti digantung dari menguruskan pemilihan ini, yang kini jelas diragui dan tidak telus. Puncuk pimpinan, khususnya Ketua Umum sewajarnya membuat tindakan bagi mengelak perpecahan yang lebih parah jika pemilihan PKR diteruskan.



ABDUL AZIZ ANON

06 November 2010

Kenyataan SU Politik Anwar terhadap PAS & DAP tidak wajar - Abdul Aziz Anon


Setiausaha Politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa tidak puashati beliau terhadap PAS dan DAP dalam membantu kempen pilihanraya yang melibatkan calon PKR bertanding pada pilihanraya Batu Sapi baru-baru ini.

Abdul Rahman Yusof yang juga bekas ahli Parlimen Kemaman di dalam akaun facebook beliau pada 5 November 2010 mengatakan bahawa jika PKR membantu kempen pilihanraya yang ditandingi PAS dan DAP, parti itu akan membiayai semua kegiatan kempen mereka walaupun kerusi itu ditandingi parti rakan dalam Pakatan Rakyat seperti di Sibu, Bukit Gantang, Kuala Terengganu, Bagan Pinang mahupun Galas.

Apabila PKR bertanding di Batu Sapi PKR dipaksa untuk membiayai jentera PAS dan DAP kerana parti PAS dan DAP langsung tidak memberi peruntukan kepada jentera mereka untuk membantu kempen pilihanraya yang ditandingi PKR.

Penulis merasakan sebagai Setiausaha Politik kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR yang juga Ketua Pakatan Rakyat, Abdul Rahman tidak perlulah mengeluarkan kenyataan seperti ini kerana boleh mengundang rasa kurang senang rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Hubungan baik Pakatan Rakyat mesti sama-sama kita pelihara untuk menawan Putrajaya pada Pilihanraya ke-13 nanti.



ABDUL AZIZ ANON

02 November 2010

Etika Kewartawanan dalam melaporkan Pemilihan PKR - Abdul Aziz Anon

Penulis berasa amat kesal dan hampa berikutan salah lapor oleh media yang menyiarkan keputusan Pemilihan Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Semalam media-media maya dan arus perdana telah melaporkan keputusan Pemilihan Pimpinan PKR yang menyebut bahawa Zaid Ibrahim telah mendahului Azmin Ali dalam undi Jawatan Timbalan Presiden PKR. Laporan itu ternyata SALAH kerana maklumat sebenar jelas menunjukkan bahawa Azmin Ali telah mendahului undi Zaid Ibrahim sebanyak 522 undi. Tidakan tersebut mengundang tanda tanya banyak pihak tentang agenda sebenar media-media di Malaysia dalam membuat laporan dan berita berkaitan Pakatan Rakyat khususnya PKR.

Tidakan pihak media melaporkan maklumat yang salah, jelas melanggar etika kewartawanan yang sewajibnya didokong. Tugas utama media adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai bagi mendapatkan maklumat yang benar. Penulis teramat kesal dengan insiden ini dan berharap perkara seperti ini tidak berulang lagi.



ABDUL AZIZ ANON