Showing posts with label Dr. Asri. Show all posts
Showing posts with label Dr. Asri. Show all posts

20 January 2011

Bacaan Selain Azan di Pembesar Suara Patut Dihentikan - Dr. Mohd Asri

Umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salahfaham banyak pihak.



Saya ingin mengulas sedikit tentang bacaan-bacaan - selain azan - yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai. Bacaan ini telah mengelirukan orang bukan muslim sehingga mereka menyangka ia azan. Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah ‘perjuangan mempertahankan Islam’. Saya ingin mengulas hal ini seperti berikut;

1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.

3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.

4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:

“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.

Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:

“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa.. tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid.. dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini.. boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin).

Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.

5. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?

6. Maka, dengan itu umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salahfaham banyak pihak.



PROF MADYA DR MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN

09 December 2010

Perlantikan Canselor UNISEL - Ridzuan Zakaria

Pada 20 November, Rosmah Mansor telah mengumumkan pengunduran diri dari jawatan Canselor Unisel. Sejak itu berbagai-bagai spekulasi telah timbul mengenai pengganti beliau.

Pada Kongres PKR baru-baru ini, Syed Husin Ali telah dicadangkan sebagai pengganti. Syed Husin, dalam kerasulannya, telah menolak cadangan tersebut. Sebaliknya, Syed Husin penuh dengan semangat anti-feudalisma, telah mencadangkan isteri boss, Wan Azizah Ismail. Mungkin Syed Husin menolak kerana segan-silu dilabel sebagai Canselor masuk pintu belakang seperti cara beliau menjadi Ahli Parlimen.

Tidak kira Syed Husin atau Wan Azizah, perlantikan antara dua tokoh ini akan menjejaskan nama baik Ketua Umum. Jika Syed Husin dilantik, dituduh kronisma; kalau Wan Azizah dipilih, dituduh nepostima.

Ketua Umum, sebagai pendukung wahid reformasi, harus berubah dari pradigma kolot UMNO/BN yang melantik ahli politik yang telah luput tarikhguna atau dari golongan bangsawan yang menganggur untuk menjadi Canselor universiti. Ketua Umum mestilah membuat perlantikan yang luar dari kotak.

Canselor Unisel yang baru wajib mampu membawa perubahan dan kecemerlangan kepada Unisel. Seorang ulama yang berintegriti. Seorang yang lazim dengan persekitaraan menara gading. Seorang dari akademia. Seorang yang tidak mempunyai ‘bagasi lebihan’ di arena politik tanah air tetapi dikenali umum.

Hanya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dapat menemui syarat-syarat tersebut.


RIDZUAN ZAKARIA
Seberang Jaya

06 November 2010

Surat terbuka kepada Dr Muhd Nur Manuty - Pandak Tukan

Menjawab kepada Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi, Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BiPPA), PKR bertarikh 4 November 2010:


1. Kritikan terhadap Anwar Ibrahim tidak semestinya ditafsirkan sebagai suatu serangan peribadi semata-mata. Anwar Ibrahim bukan insan maksum yang sepi dari segala kelemahan dan kekhilafan.

Kejujuran Dr. Asri membuat saranan untuk Anwar berundur dari politik hanya boleh dinilai oleh rakyat dan bukan oleh tuan punya badan atau kroni yang berkepentingan. Gesaan Dr. Asri ini timbul dari hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Anwar untuk membawa perubahan.

Anwar kini nampak ketara kepada rakyat sebagai sebahagian daripada status quo. Politik Baru mendesak kepada watak baru dan persekitaran baru. Keputusan pilihan raya kecil di Galas dan Batu Sapi sedikit sebanyak mencerminkan sentimen rakyat.


2. Tidak dapat dinafikan Anwar Ibrahim memainkan peranan besar dalam pembentukan Pakatan Rakyat. Tempat beliau dalam sejarah politik Malaysia terjamin. Tetapi untuk mencanangkan bahawa kejayaan Pakatan Rakyat di PRU 12 semata-mata kerana kewibawaan dan keupayaan Anwar adalah satu pendekatan yang amat cetek.

Pakatan Rakyat berjaya di PRU-12 kerana platformnya disambut oleh gelombang rakyat yang dahagakan reformasi. PAS dan DAP disatukan oleh kebencian bersama terhadap BN. Demi political expediency, PAS dan DAP melayan mimpi Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.


3. Keberkesanan kepimpinan bukan terletak kepada usia, karisma atau kepetahan berpidato. Politik ceramah sudah ketinggalan zaman. Keberkesanan kepimpinan terletak kepada tindakan politik. Apabila tindakan politik tidak seimbang, yang menonjol hanya retorik janggal. Apabila moral diragui; “karisma, amanah, keberanian, kegigihan dalam perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat, mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga, kesediaan berkorban, memiliki kebijaksanaan (hikmah) dan ketahanan fizikal” menjadi subjektif.


4. Keputusan Anwar Ibrahim untuk menyertai UMNO pada tahun 1982 masih lagi dipersoalkan oleh rakyat hingga ke hari ini. Anwar dilihat sebagai haiwan politik yang hanya ingin memperalatkan UMNO untuk menjadi Perdana Menteri. Dengan memandang ke belakang (hindsight), terbukti Anwar telah mengamalkan politik kotor semasa menjadi pemimpin UMNO. Penglibatan beliau dalam kes Realmild dan usaha beliau untuk menjadikan Biro Tata Negara sebagai jentera politik peribadi memperkukuhkan persepsi rakyat yang Anwar adalah sebahagian daripada status quo.

Hanya setelah dipecat daripada kabinet dan UMNO, Anwar memasyhurkan Deklarasi Permatang Pauh. Rakyat menyahut laungan reformasi bukan semata-mata untuk membela Anwar tetapi rakyat benar-benar dahagakan perubahan.

Sebagai mangsa kerakusan kuasa Mahathir, rakyat menaruh harapan tinggi kepada Anwar untuk berubah dan membawa kepada perubahan. Malangnya, budaya politik ala UMNO telah menebal di jiwa dan jasad Anwar Ibrahim.


5. Dr. Asri telah menjelaskan bahawa saranan untuk berundur dari politik ditujukan kepada semua pemimpin politik yang telah luput tarikhguna.

“Kemiskinan rakyat yang masih berleluasa di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, masalah rasuah yang semakin membarah, keruntuhan moral (akhlak) dan pelbagai penyakit sosial yang semakin kronik, penyalahgunaan kuasa yang berwewenang, hutang negara yang semakin bertambah, track rekod kerendahan moral dan akhlak” hanya boleh diselesaikan oleh Politik Baru dengan watak baru dan persekitaran baru; bukan oleh seorang pemimpin yang sedang bergelumang dengan isu-isu moral dan akhlak.


6. Seruan Dr. Asri ialah manifestasi sentimen rakyat yang menuntut perubahan. Jika kritikan Dr. Asri terhadap pemerintah disambut dengan sorak gemuruh, begitu juga, seruan Dr. Asri untuk mencanang lanskap politik baru harus diterima dengan dada yang lapang.


7. Anwar Ibrahim diminta berundur kerana beliau kini dianggap sebagai satu beban dan liabiliti kepada reformasi tulen. Anwar Ibrahim telah menjelma sebagai bagasi lebihan kepada kemaraan gerakan reformasi ke Putrajaya.



PANDAK TUKAN