Showing posts with label Nik Adha. Show all posts
Showing posts with label Nik Adha. Show all posts

23 May 2011

PAS dan Video Seks Anwar Ibrahim - Nik Adha

Isu video seks Anwar Ibrahim bukanlah satu musibah tetapi satu rahmat kepada PAS. Inilah peluang keemasan untuk PAS membuktikan ia benar-benar sebuah "hizbullah'. PAS sebenarnya kini berada dalam keadaan "menang-menang".
oleh Nik Adha Nik Kamil melalui e-mel



Perjuangan PAS sebagai sebuah "hizbullah" adalah berlandaskan hukum-hukum Allah swt. Sayugia, PAS menentang segala bentuk fitnah dan zina.

Pendedahan video seks Anwar Ibrahim boleh ditakrifkan sebagai fitnah zina. Jika video itu palsu, sebuah fitnah telah direkacipta untuk menganiayai Anwar Ibrahim. Jika video itu benar, Anwar Ibrahim telah melakukan zina. Hitam atau putih, tiada ruang untuk kelabu.

Isu video seks ini meletakkan PAS di persimpangan jalan. Isu ini sudah semestinya menguji keikhlasan PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan syariat Islam. Setakat ini pendirian pucuk pimpinan PAS masih kabur dan samar mengenai isu ini. Pada waktu sama tiada juga tindakan pro-aktif oleh pemimpin-pemimpin PAS untuk menentukan kesahihan video tersebut.

PAS sepatutnya atas inisiatif sendiri merujuk kepada pakar-pakar video untuk menentukan kesahihan video tersebut yang kini telah tersebar meluas. Begitu juga teknologi canggih seperti pengecaman-muka perlu digunakan untuk mengenalpasti pelaku dalam video itu.

Segala usaha-usaha ini bebas dari apa-apa yang dilakukan oleh pihak-pihak lain. Ianya semata-mata untuk membantu pemimpin-pemimpin PAS membuat keputusan yang tepat dan bijak. Sambil memohon kepada Allah swt untuk memberi petunjuk, segala kepakaran yang sedia ada perlu digunakan untuk memberi penentuan. Berserah kepada Allah swt tetapi unta masih perlu ditambat juga.

Sebaliknya, apa yang dilihat umum ialah pemimpin-pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan yang bercanggah-canggah. Mursyidul Am yakin Anwar tidak melakukan zina. Nik Aziz membuat kenyataan tanpa menonton video tersebut. Setiausaha Agung menyeru supaya menunggu keputusan siasatan polis. Mustapha Ali pula membuat kenyataan setelah dikatakan menonton video tersebut.

Pasukan polis yang menjadi rujukan Mustapha Ali adalah pasukan polis yang dilabel oleh PAS sebagai tidak adil dan tidak bebas.

Dalam masa yang sama, pemimpin-pemimpin PAS bersikap seolah-olah isu ini tidak wujud. Calon Timbalan Presiden, Mat Sabu pada satu sidang media telah menyatakan tidak akan melayan soalan-soalan mengenai video tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Halim Rahman pula menyatakan bahawa muktamar PAS 2011 tidak akan membincang isu video seks. Ada pemimpin-pemimpin PAS yang sanggup menjadi burung unta yang lebih selesa menimbus kepala dalam pasir.

Sama ada mendapat restu atau tidak dari pucuk pimpinan PAS, ahli-ahli PAS dan rakyat biasa tetap akan membincang isu video seks. Implikasi isu ini amat getir bukan hanya kepada keutuhan PAS sebagai sebuah "hizbullah" tetapi rakyat Malaysia turut, khususnya orang melayu, akan berpecah belah.

Yang membuat akar umbi PAS dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat amat gusar, lebih dari kandungan video tersebut, ialah tindak-tanduk Anwar setelah pendedahan dibuat. Banyak persoalan yang timbul:

  • Mengapa Anwar tidak mengumumkan identiti alibi-alibi beliau?
  • Mengapa penjelasan Anwar tentang ketidakhadirannya dalam ruang "Twitter" pada masa video dirakam amat mengelirukan?
  • Mengapa tidak ditunjukkan kepada umum jam Omega, jam yang dikatakan oleh Anwar dan Wan Azizah masih disimpan oleh Wan Azizah?
  • Mengapa tidak membuat sumpah laknat?
  • Mengapa tidak membuat ujian "polygraph"?
  • Mengapa tidak merujuk kepada pakar-pakar yang profesional dan bebas tentang kesahihan video tersebut?
  • Mengapa Anwar tidak menyaman malu individu-individu yang membuat pendedahan?
  • Mengapa Anwar gagal untuk mengesahkan persahabatan beliau dengan Eskay Abdullah?

Tindak-tanduk Anwar tidak mencerminkan kewibawaan beliau sebagai seorang pemimpin yang bijak menangani sebarang krisis.

Jika sah video tersebut palsu, PAS wajib mengembelingkan segala tenaga untuk menghukum pihak pemfitnah. Dataran Merdeka akan bertukar menjadi Dataran Tahrir. Tidak cukup bumi untuk pemfitnah melarikan diri. PAS secara "default" akan menjadi pemimpin kepada sebuah gerakan massa yang memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Jika sah video tersebut benar, PAS wajib menyisihkan seorang penzina. PAS akan dianggap sebagai satu parti politik yang berprinsip kerana sanggup mengenepikan kepentingan politik demi menegakkan hukum Allah swt. Sekaligus membuat parti-parti politik yang mengamalkan resam "matlamat menghalalkan cara" kelihatan kerdil bagai melukut di tepi gantang.

Isu video seks Anwar Ibrahim bukanlah satu musibah tetapi satu rahmat kepada PAS. Inilah peluang keemasan untuk PAS membuktikan ia benar-benar sebuah "hizbullah'. PAS sebenarnya kini berada dalam keadaan "menang-menang".


NIK ADHA NIK KAMIL

22 February 2011

Sokongan Orang Melayu Kepada PAS Menurun? - Nik Adha

Kesangsian terhadap persefahaman antara PAS dan DAP bukan faktor utama yang mendorong kemerosotan sokongan orang Melayu kepada PR. Ramai orang Melayu telah menerima realiti tentang perlunya kerjasama dengan DAP untuk menamatkan hegemoni UMNO/BN. Pengundi-pengundi Melayu terutama yang di atas pagar mula beralih dari menyokong PR kerana bosan dengan permasalahan demi permasalahan yang melanda PKR. Malah ramai penyokong-penyokong tegar PR mula mempersoalkan keberkesanan PKR dalam memimpin pakatan tersebut.
oleh Nik Adha Nik Kamil melalui e-mel



Berdasarkan kepada keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang, Manek Urai, Galas dan Tenang, banyak pihak telah membuat kesimpulan bahawa sokongan pengundi Melayu kepada PAS telah menurun. Faktor utama yang dikaitkan dengan kehilangan sokongan ini ialah ramai orang Melayu tidak senang dengan pakatan antara PAS dan DAP. PAS dilihat sebagai parti yang telah banyak berkorban demi pakatan tersebut.

Tanggapan ini telah merunsingkan PAS sehingga terpaksa menganjurkan sebuah konvensyen nasional pada Sabtu lepas di Shah Alam, untuk menangkis tanggapan tersebut. PAS seolah-olah menerima kenyataan bahawa sokongan orang Melayu telah menurun. Respon PAS kepada isu tersebut berkisar kepada manipulasi media arus perdana milik UMNO/BN. Media arus perdana dituduh sebagai pencacai untuk melemahkan persafahaman antara PAS dan DAP.

Benarkah sokongan orang Melayu kepada PAS telah menurun?

Daripada kajian terperinci keputusan-keputusan PRK kebelakangan ini dan jika dibandingkan dengan keputusan PRU-12 sebagai kayu ukuran, nyata sokongan orang Melayu kepada PAS tidak berubah. Yang ketara ialah sokongan orang Melayu kepada Pakatan Rakyat telah merudum. Pengundi-pengundi Melayu yang memilih PAS pada PRU-12 masih mengundi PAS pada PRK-PRK tersebut. Akan tetapi ramai pengundi Melayu, terutama pengundi 'atas pagar', yang telah mengundi PR pada PRU-12 telah memberi undi mereka kepada UMNO/BN lantas membawa kepada kekalahan calon-calon PAS di PRK-PRK tersebut.

Jadi, mengapa orang Melayu kian menolak PR?

Kesangsian terhadap persefahaman antara PAS dan DAP bukan faktor utama yang mendorong kemerosotan sokongan orang Melayu kepada PR. Ramai orang Melayu telah menerima realiti tentang perlunya kerjasama dengan DAP untuk menamatkan hegemoni UMNO/BN.

Pengundi-pengundi Melayu terutama yang di atas pagar mula beralih dari menyokong PR kerana bosan dengan permasalahan demi permasalahan yang melanda PKR. Malah ramai penyokong-penyokong tegar PR mula mempersoalkan keberkesanan PKR dalam memimpin pakatan tersebut.

Kredibiliti PKR kian terhakis. PKR dilihat seperti UMNO yang berbaju baru. Insiden seperti wakil-wakil rakyat PKR keluar parti, proses pemilihan parti yang pincang dan kes liwat Anwar Ibrahim telah menyebabkan PKR hilang fokus dalam meneruskan momentum tsunami 2008. Kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh PKR juga gagal menyerlah sebagai kerajaan yang berwibawa. Faktor-faktor ini telah membuat rakyat mempersoalkan Anwar yang telah banyak menabur janji tetapi tidak ditunaikan.

PAS, sebaliknya, telah bergiat lebih mantap dan berkesan sejak kejayaan besar pada PRU-12. Aktiviti-aktiviti politik seperti ceramah, forum, konvensyen dan perhimpunan bertambah sejak 2008. Perhimpunan Pemuda PAS di Kedah pada Sabtu lepas berjaya melibatkan 30,000 orang ahli. Kempen-kempen anjuran PAS seperti Kempen Anti Saman Ekor boleh dijadikan sebuah gerakan rakyat. PAS lebih prihatin dengan peranan media baru dan sedang menggembelingkan semua saluran-saluran di dunia siber seperti internet, facebook, twitter dan seumpamanya untuk kegiatan politik. Semua usaha-usaha ini telah meningkatkan sokongan orang Melayu kepada PAS. Hasilnya akan dapat dilihat pada PRU-13 akan datang.

Kejayaan PAS pada PRU-13, walau bagaimanapun, bergantung kepada rakan-rakan dalam PR. Faktor PKR yang telah hilang populariti harus diambilkira. PAS dan DAP terpaksa menggalas bebanan PKR yang bermasalah. Justeru, dalam usaha PR untuk menyaingi BN, PAS dan DAP mesti mengorak langkah untuk mewujudkan lanskap politik nasional yang berpaksikan Pakatan Rakyat yang benar-benar berwibawa.

Secara praktikalnya kita berterima kasih atas sumbangan Anwar dan PKR dalam mengemudi PR, tetapi sudah sampai masanya PAS mengambil alih kepimpinan dari PKR untuk memimpin PR dengan lebih berkesan. PKR harus menerima realiti dan secara berlapang dada untuk berundur demi kesinambungan perjuangan PR.



NIK ADHA NIK KAMIL