Showing posts with label Mustaffa Kamil Ayub. Show all posts
Showing posts with label Mustaffa Kamil Ayub. Show all posts

27 January 2011

Tindakan Anwar Merendah-Rendahkan Saifuddin Dikesali - Abdul Aziz Anon

Tindakan Ketua Umum mengubah keputusan sewenang-wenangnya berdasarkan gerak hati beliau adalah dua kali lebih melampau. Beliau bukan sahaja merendahkan keputusan Setiausaha Agung parti, malahan beliau juga mempersendakan semua orang dengan mengeluarkan kenyataan secara sesuka hati kepada umum untuk mengubah keputusan yang telah dibuat.
oleh Abdul Aziz Anon melalui e-mel



Krisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergolak lagi. Ketika PAS sedang berjuang dan berperang di kubu terkuat Umno, PKR menyajikan isu-isu negatif kepada kepada umum. Ketika DAP kelihatan berjaya membawa sokongan orang Cina kepada Pakatan Rakyat (PR), PKR terus dilanda krisis buruk yang menjejaskan rentak kecemerlangan PR.

Banyak sekali teman-teman sudah mula menerbitkan kegusaran terhadap situasi PKR. Krisis demi krisis yang belum lagi berkesudahan sejak pemilihan Parti merakamkan sejarah insiden pergaduhan dan penipuan undi. Akibatnya, sungguh mahal harga yang perlu dibayar oleh semua anggota Parti dan pendokong Reformasi kesan dari sikap ambil mudah pemimpin parti dalam membuat keputusan dan menentukan halatuju terbaik perjuangan politik parti.

Saya terpanggil untuk memberi pandangan terhadap tindakan Setiausaha Agung parti, YB Saifuddin Nasution yang menghantar surat tunjuk sebab terhadap Mustaffa Kamil Ayub atas dakwaan telah melakukan kesalahan yang melanggar disiplin parti. Amat di luar jangkaan cara dan kandungan surat tersebut yang datangnya dari Saifuddin Nasution. Surat tersebut ditulis dengan nada yang sangat keras, berbaur ugutan dan penuh dendam kesumat.

Kita boleh memahami sebab YB Saifuddin dikritik hebat semasa pemilihan parti 3 bulan lalu. Imejnya sebagai tokoh politik muda yang dihormati rakan serta lawan kini tercalar teruk, malahan sekarang dituduh pula sebagai arkitek penting dalam projek memahkotakan Anwar dan Azmin menjadi dewa dan dewi baru PKR. Namun begitu kritikan yang beliau terima tidak boleh dijadikan alasan untuk beliau bertindak secara beremosi atas kuasa Setiausaha Agung. Amat tidak wajar Saifuddin yang sebelum ini mencampuri keputusan-keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) kini seolah-olah menggunakan Lembaga Disiplin parti untuk melunaskan dendam kesumat beliau terhadap mana-mana pihak yang mengkritik beliau sebagai Setiausaha Agung atas kelemahan JPP dan Ibu Pejabat PKR.

Kenyataan beliau seperti yang dilaporkan portal The Malaysian Insider bahawa beliau tidak ingat samada ada menandatangani surat tunjuk sebab terhadap Mustaffa Kamil kerana beratus-ratus surat telah beliau tandatangani adalah jelas kenyataan yang mempersendakan Mustaffa Kamil Ayub. Adalah tidak masuk akal isu perlanggaran disiplin oleh Sdr. Mustaffa Kamil, calon jawatan Timbalan Presiden, bekas Naib Presiden parti dan bekas Setiausaha Agung parti tidak berada dalam perhatian Setiausaha Agung PKR. Kalau benar memang beliau tidak ingat, ini jelas menunjukkan sikap ambil mudah atau sambil lewa beliau dalam menjalankan tugas Setiausaha Agung parti. Justeru, tidak peliklah kenyataan beliau dalam Kongres Tahunan Parti bahawa semua aduan pemilihan PKR akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu tetapi sehingga sekarang, selepas tiga bulan aduan-aduan tersebut masih belum lagi selesai.

Saya terpanggil untuk mengkritik Setiausaha Agung secara ikhlas kerana saya berpandangan banyak kenyataan serta tindakan sambil lewa YB Saifuddin Nasution membawa kepada kemarahan anggota parti dan memberi peluang kepada musuh untuk menyerang parti.

Untuk berlaku adil kepada YB Saifuddin, tindakan Ketua Umum yang mengeluarkan kenyataan bahawa surat tunjuk sebab terhadap Mustaffa Kamil Ayub yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung atas saranan Lembaga Disiplin itu tidak efektif dan akan dibincangkan semula oleh Biro Politik juga wajar diambil perhatian. Tindakan Ketua Umum mengubah keputusan sewenang-wenangnya berdasarkan gerak hati beliau adalah dua kali lebih melampau. Beliau bukan sahaja merendahkan keputusan Setiausaha Agung parti, malahan beliau juga mempersendakan semua orang dengan mengeluarkan kenyataan secara sesuka hati kepada umum untuk mengubah keputusan yang telah dibuat.



ABDUL AZIZ ANON

25 January 2011

Belajar Mengaji - Mat Saman Kati

Dua hari selepas berjumpa Appu, Tok Sami Kuil Sri Muneswarar, aku memulakan pengajian Bahasa Nabi Sulaiman. I’ve no idea. Macam bahasa Sanskrit ka, bahasa Urdu ka, atau Hebrew. Tapi kalau betul-betul dapat belajar bahasa binatang, aku mungkin jadi lebih terror dari Ayah Pin. Sekurang-kurangnya, aku boleh cerita kat orang, aku diutuskan oleh Tuhan untuk menyelamatkan binatang. Kalau setakat untuk menyelamatkan rakyat Malaysia, tak payah pun tak apa. Anwar dah ada.

Sampai di rumah Appu pukul 4 petang, Appu sudah sedia menunggu aku dengan uniform kuilnya. Tak ada beza dengan orang pakai ihram. Lepas tu dia bakar setanggi. Baunya macam bau Jalang Kedah. Kemudian dia bawa satu rehal besar.

“Lu pergi basuh muka, basuh tangan dan basuh kaki dulu.” kata Appu.

Alamak!!! macam nak ambil air sembahyang pulak! “Nak baca kitab pun kena basuh kaki tangan semua ka?” aku tanya.

“Lu mau baca Quran tak payah ambil air sembahyang ka?” dia tanya balik.

Aku pergi ambil air sembahyang tak cukup syarat. Memang tak sah sebab tak baca niat dan kemudian duduk depan rehal besar. Appu datang membawa satu kitab lama. Tebal macam Yellow Pages, lebar boleh buat bungkus nasi lemak.

“Ini kitab aaa, saya dapat masa saya pi India. Banyak susah mau cari.” kata Appu.

“Lu pun pi universiti kat India ka?” aku tanya.

“Tarak. Aurobindo Ashrama, Pondicherry.” kata Appu. Sebelum buka kitab, Appu mengajak aku membaca mantra. Dia bagi buku mantra untuk aku baca. Masa kecik-kecik dulu, aku pernah belajar jampi mentera dengan Tok Bomoh. Tapi bila dah besar, ustaz-ustaz kata itu semua syirik, jadi aku lupakan. Sekarang aku belajar mantra dari Tok Sami Hindu pulak. apa hukumnya? Kalau la tanya kat Hasan Ali, dah tentu dia kata sesat. Mungkin kalau tanya kat Harussanasini, dia mungkin kata harus.

Ada beberapa mantra yang dia suruh baca. Mula-mula dia suruh baca mantra untuk Dewa Dattareya:

Om Guru Datta Namo Namaha ll
Om Hareem Parambraham Parmaatmane Hari Harbrahyendraya Dattatroyaye swaha ll

Dattaatreya Hare Krishna unmataananda daayaka, digambara, mune,
baala, pishaaca, jnaana saagara ll

Om namo Bhagavate Dattaatreyaaya
smarana maatra samtushtaaya ll

Mula-mula aku baca macam Alif, Ba, Ta... bila dah hafal liriknya, Appu ajar aku dengan tajwid sekali. Teringat masa kecik dulu, bila tahlil ada gear satu, gear dua, gear tiga. Bila masuk gear empat, dah boleh kira high. Tengah syok ratib... tiba-tiba Tok Imam tekan brek. Lega!!!!

Bila aku lewat belasan tahun, ada cara nak high jugak. Mula-mula slow, lepas tu naik sikit. Last-last geleng kepala kiri kanan. Sapa yang biasa pekena batang betik dengan air kelapa, diiringi dengan lagu Stairway to Heaven, dah kira khatam.

Sekarang, aku high lagi dengan mantra Dattatreya. Tapi high kali ini bukan saja-saja nak syok. Aku nak belajar tentang ilmu binatang. Omar Khayyam pun kena high dulu baru boleh tulis puisi. Budak Melayu sekarang, dah high pi merempit. Cari mati.

Bila aku dah boleh membaca dengan lancar, Appu bagi kat aku seutas tasbih. Fuiyo!! Aku ingatkan orang Islam saja pakai tasbih!!! Cuma bezanya, tasbih depa ada 108 biji. Dan aku kena baca mantra sebanyak 108 kali setiap hari, tapi tak perlu la baca sekaligus.

Lepas tu, Appu suruh aku buka kitab. Fulamak. aku tak tau sama ada tulisan tu tulisan Urdu atau Sanskrit. Macam mana aku nak baca?

“Ini kitab Veda. Dalam ini kitab, dia ada empat buku. Rig Veda, Yajur Veda, Sam Veda dan Atharva Veda. Lu sudah habis belajar ini Veda punya kitab, baru boleh masuk Pazu Veda.” Appu bagi tau aku.

“Aiyoooyoooo… ini macam satu tahun pun tak boleh habis punya!!!” aku kata.

“Don’t worry macha. Itu pasai saya kena ajar lu baca mantra. Bila sudah high, ini kitab lu boleh habis baca dalam dua minggu.” Appu balas balik. “Ada dua lagi mantra lu kena belajar”

Aku minta rest sekejap. Tak boleh tahan kalau tak pekena rokok.

Sambil pekena rokok, aku berfikir… betul ka apa yang aku buat? Tak salah ka dari segi syarak? Apakah aku akan dianggap murtad? Apakah aku akan dianggap sesat? Macam mana kalau ladang kambing aku nanti penuh tengan tempayan dan payung?

Kat mana aku nak lari kalau Pegawai Ugama datang nak tangkap aku? Aku bukan boleh naik ke langit macam Ayah Pin! Tak kan nak lari berlindung kat Kedutaan India kot?

Tapi… mungkin selepas khatam belajar Pazu Veda, aku boleh panggil tebuan, lebah dan kerengga untuk bantu aku!! Yahoooo.. aku buang puntung rokok. Semangat untuk belajar Pazu Veda semakin tinggi.

Bila kembali mengadap kitab, Appu membawa kepada aku sebuah lagi buku. “Saya ajar macam mana mau baca ini kitab. Ini buku, lu boleh baca terjemahannya.” Appu bagi kat aku terjemahan Veda dalam bahasa Inggeris. Aku tengok, buku tersebut di tulis oleh Sir William Jones. Sir William Jones merupakan seorang hakim dan pengasas Asiatic Society of Bengal. Buku tersebut dicetak pada tahun 1927.

Depan aku dah ada tiga buku. Veda, Mantra dan terjemahan Veda. “Kamasutra tarak ka, macha?” aku tanya Appu. Saja nak melawak.

“Ada!!!” kata Appu.

Wow!!!

Dei MSK… apa sudah jadi? - Mat Saman Kati

Setiap kali nak buat ceramah PKR, setiap kali itulah aku jual seekor untuk derma nak cari modal ceramah. Tak mengapa... perjuangan. Bila nak pilihanraya, lingkup habis semua kena jual nak tampung kempen pilihanraya. Tak mengapa... perjuangan. Tapi sekarang semua dah lingkup. PKR tak memerlukan lagi penternak kambing macam aku. Depa dah kaya. Kontrak juta-juta. Nak cari sponsor untuk bertanding, boleh cari Gapurna. Aku menjadi liabiliti kepada parti kerana tidak dapat lagi “berkorban”.



Kalau dikira dari tarikh terakhir aku menulis, dah lebih 50 hari aku tak menulis. Kalau perempuan beranak, dah habis pantang. Kalau semasa 44 hari dalam pantang, setiap hari makan manjakani dan kacip fatimah, sekarang dah kembali macam malam pertama. Cuma bezanya, sekarang sang bapa terpaksa berebut tetek dengan anak kecil.

Kalau tanam sayur, dah dua kali dapat hasil. Kalau bela kambing, dah dapat anak. Kalau bela lembu dah dah dapat susu. Cuma sapa yang duduk dalam PKR masih tertunggu-tunggu hasil penyiasatan penyelewengan Pemilihan 2010.

Aku bukan jenis orang yang wala’ macam Mustaffa Kamil Ayub, yang sanggup terima apa saja yang Anwar cakap. Aku juga bukan jenis macam Mat Nor Manuty yang sanggup terima jawatan melalui pintu belakang. Cukup la sampai di sini. Dari dulu pun aku dah cakap... kalau PKR pun jadi macam Umno... aku tak kan ikut. Full stop.

Mungkin sudah takdir aku jadi penternak kambing. Dan aku seronok menternak kambing sebab kambing tak pandai menipu. Kambing tak pernah berjanji apa-apa kat aku. Cukup usia, dia mendatangkan hasil kepada aku. Malah dia rela dirinya dikorbankan asalkan aku senang. Bukan meminta aku berkorban asalkan dia senang.

Dua minggu sebelum Hari Natal bulan lepas, aku pergi ke Kuil Sri Muneswarar Kuala Kangsar. Bukan nak sembahyang, tapi menghadiri perkahwinan anak kawan aku, Ramesh dan Prema.

Bila aku pakai kurta, ramai yang tak dapat membezakan sama ada aku Melayu atau India. Memang betul kata Wan Larut, kalau aku masuk KIMMA pun orang percaya. Sebabnya, kena berjemur tengah panas, menebas kebun yang dah jadi hutan. Masa mula-mula aku bela kambing dulu, kandang kambing aku jadi tumpuan. Setiap kali nak buat ceramah PKR, setiap kali itulah aku jual seekor untuk derma nak cari modal ceramah. Tak mengapa... perjuangan.

Bila nak pilihanraya, lingkup habis semua kena jual nak tampung kempen pilihanraya. Tak mengapa... perjuangan.

Tapi sekarang semua dah lingkup. PKR tak memerlukan lagi penternak kambing macam aku. Depa dah kaya. Kontrak juta-juta. Nak cari sponsor untuk bertanding, boleh cari Gapurna. Aku menjadi liabiliti kepada parti kerana tidak dapat lagi “berkorban”. Ptuih!!

Dari kandang kambing aku datang, ke kandang kambing aku kembali.

Satu perkara menarik berlaku semasa menghadiri perkahwinan anak kawan aku di Kuil Sri Muneswarar. Semasa menjalankan upacara akad nikah pasangan, aku rasa macam kenal Tok Sami yang menjalankan upacara. Aku tengok dia, dia tengok aku. Aku tak tegur, takut silap orang. Sebab orang yang aku kenal tak mungkin jadi Sami. Orang yang aku kenal dulu sama-sama curi rambutan, terjun sungai, minum todi. Tak mungkin dia jadi Sami.

Selesai upacara perkahwinan, aku pergi makan nasi daun pisang di pekarangan kuil. Tiba-tiba Tok Sami datang dan menepuk bahu aku. “Dei Macha!! lu hidup lagi ka?”

Cilaka Tok Sami ni! Podah pulti! Tersembur perkataan yang biasa kami sebut masa kecik dulu. Orang lain semua tengok aku. Kurang ajar punya Melayu... mencarut kat Tok Sami depa.

"Apa sudah jadi sama lu, macha?" Tok Sami tanya aku.

"Apa sudah jadi sama lu, Appu?" aku tanya dia. Kami sama-sama gelak. Dia peluk aku. Orang lain heran.

“Mari saya punya rumah, macha.” Dia pelawa aku. “Sudah lebih 25 tahun kita tarak jumpa.”

Petang tu aku pi rumah dia, dekat Klinik Uma, di Jalan Dato Sagor. Fuiyo! Rumah banglo! Tapi bila pergi belakang rumah dia, ada kandang kambing. Tak banyak, cuma ada 7 ekor.

“Ini kambing aaa... semua sembahyang punya.” Appu bagi tau aku.

“Ha ha... kambing pun sembahyang!” aku senyum perli. Appu nampak macam terasa.

“Pundek lu! Dulu betul la, kita suka tipu sama orang. Sekarang lain, macha. Kita sudah tua... lagi mau tipu orang bikin apa?” Kata Appu. Aku tak tau, sama ada dia cakap dengan ikhlas atau perli aku.

“Itu hari, masa pilihanraya, saya ada nampak sama lu bikin ceramah. Tapi itu jam lu mana ada nampak sama saya. Lu janji macam-macam... cakap banyak bagus... tapi sudah habis pilihanraya, lu punya muka pun tarak nampak.” Peergh!!

Aku senyum pahit. Tak berani nak cakap lebih-lebih sebab apa yang dia cakap memang betul. Bila pemimpin berjanji, aku tukang sampaikan. Bila pemimpin tak tunai janji atau tipu, aku pun terlibat.

“Apa lu bikin sekarang?” Appu tanya aku.

“Tarak kerja.”

“Pooorrrahh! Kucing duduk rumah pun ada kerja tangkap tikus! Anjing pun ada kerja jaga rumah. Habis... sapa kasi lu makan?” Appu tanya lagi.

“Saya punya perempuan ada kerja. Saya duduk rumah.” aku jawab.

“Cittt... pundek kalde. Lu punya standard lagi teruk dari binatang la, macha!!” Cilaka sungguh Tok Sami ni. Kutuk aku kaw-kaw. Apa punya ugama, asyik kutuk orang saja.

“Ini macam la, macha. Lu pergi repair lu punya kandang, saya kasi lu satu ekor ini kambing. Saya kasi sama lu, itu bagus punya bapak kambing.” Appu offer kat aku.

“Porrrah!! Lu kasi satu ekor mau bikin apa? kasi la sepasang.” aku jawab.

“Ni amma kudhi... saya sudah kasi bagus punya bapak... satu ekor betina pun lu tak boleh cari ka?” Appu mencarut kat aku.

Ok la. Dari bawah pokok rambutan, Appu menjerit. “Ganesh!!! wai ngge”

Aku ingatkan anak dia yang datang, tapi seekor kambing jantan keluar dari kandang dan datang ke arah kami. Nak katakan Jamnapari, janggut dia pendek macam janggut Anwar. Nak kata Boer, badan dia tak gempal macam Shamsul Iskandar. Nak kata Saanen, badan dia macam Gobala.

Appu berkata sesuatu kepada bapak kambing tersebut. Aku tak faham sebab bukan bahasa Tamil yang selalu aku dengar.

“Dia paham lu punya cakap ka, Appu?” aku tanya dia.

“Only humans talk. Animals communicate.” Appu jawab dalam English slang Ramasamy Estate. Kalau sesiapa yang pernah duduk di Tapah tahun 60-70an, mesti tau Ramasamy Estate di Jalan Pahang. Sekarang sudah jadi kem askar.

“Ini kambing aaa, bukan saja boleh dengar dan faham apa kita cakap, dia juga boleh cakap sama kita.” Appu bagi tau aku.

“Apa bahasa dia pakai?” aku tanya Appu.

“Bahasa Nabi Sulaiman.” jawab Appu.

‘Porraahh... kita orang baca Quran, tarak jumpa pun bahasa Nabi Sulaiman. Lu ugama Hindu boleh percaya Nabi Sulaiman ka?” Aku cakap kat Appu.

“Pundek lu. Lu ada baca Veda? Upanishad? Purana? Brahmana Granth?” Appu tanya aku.

Aku terkebil-kebil. Mana aku ada baca semua tu. Lagi pun kalau aku baca, takut nanti terpesong akidah pulak.

“Saya punya rumah ada satu kitab. Pazu Veda. Lu mau belajar bahasa binatang, lu boleh duduk saya punya rumah. Satu bulan punya kursus, lu boleh khatam.” kata Appu.

Olrait!!! ini sesuatu yang menarik. Aku setuju.

“Tapi, sebelum belajar, lu kena sembahyang dulu.” kata Appu.

Aiyooooo... macam nak belajar Bharata Natyam pulak. Tapi aku tak kisah. Jangan ada pegawai ugama datang hambat aku macam depa hambat Bakaq Penarik Beca dah la. Kalau Bakaq pun depa kata sesat, ini kan pulak aku yang nak belajar Pazu Veda.

12 January 2011

Memorandum Perlantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Perak

TARIKH: 6 JANUARI 2011

Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat
A-1-09, Merchant Square
No. 1, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya


MEMORANDUM PERLANTIKAN PENGERUSI MAJLIS PIMPINAN NEGERI PERAK


PREMIS

1. "Hai orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu..."

2. "Katakanlah: "lnilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutikau mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata "

3. Makna kepada kehidupan manusia adalah mereka yang benar-benar hidup menghayati peraturan, undang-undang dan nilai-nilai hidup yang luhur yang ditetapkan Allah. Tanpa berperaturan manusia akan terus meraba-raba dalam kegelapan/kesamaran untuk mencari kebenaran yang hakiki.

4. Kejayaan Rasulullah s.a.w adalah ketika mana Baginda Menjadikan Islam Sebagai Peraturan Yang Sempurna Yang Mentadbir Hidup Manusia – menyusun masyarakat, mengatur perhubungan di antara manusia dan menentukan nilai-nilai manusia dan benda. Sesungguhnya Islam itu adalah suatu ‘aqidah yang melahirkan syariat dan terbina di atas syariat itu suatu sistem atau peraturan.

5. Sebagai sebuah parti politik yang berjuang membentuk sebuah masyarakat yang adil dan negara yang demokratik dan progresif sudah pasti menghayati suatu sistem atau peraturan sebagai asas perjuangan. Sistem atau peraturan dalam parti berasaskan kepada perlembagaan parti yang dipersetujui bersama dalam Kongres Khas menerima perlembagaan baru dengan semangat muafakat pimpinan dan anggota parti

6. Para pimpinan dan anggota parti dituntut untuk mewujudkan budaya dan prinsip demokrasi yang didasarkan pada konsep (rule of law), antara lain menyatakan “ Tidak adanya kekuasaan yang sewenang-wenang “.

7. Dalam konteks pemilihan pengerusi MPN, fasal 16.6 dalam perlembagaan parti diguna pakai sebagai asas mewujudkan budaya Rule of Law dengan semangat berperaturan. Justeru kehadiran Dr Mansor Osman Naib Presiden , diarah oleh Biro Politik bertemu 24 Ketua-ketua Cabang di Perak pada 16 Disember 2010 adalah bagi melaksanakan fasal 16.6 melalui pendekatan undian. Proses ini berjaya dilakukan dengan baik dan meyakinkan.

8. Hasil daripada proses ini, Dr Mansor Osman mengumumkan bahawa 2 orang calon untuk Pengerusi MPN dicapai seperti berikut :-

  • Sdr Mustaffa Kamil Ayub mendapat undian 13 undi
  • Dr Muhammad Nur Manuty mendapat undian 10 undi
  • Sementara seorang Ketua Cabang berkecuali

9. Adalah menjadi tandatanya kenapa kehadiran Puan Fuziah Salleh, Naib Presiden pada 23 Disember 2010 yang diarah oleh Ketua Umum dan Presiden untuk bertemu 5 orang pimpinan kanan cabang dengan misi mendapat konsensus bagi perlantikan Pengerusi MPN. Ini bertentangan dengan fasal 16.6 yang termaktub dalam perlembagaan. Bukan itu sahaja, situasi dan kondisi ini menimbulkan keraguan dan konflik pada pimpinan cabang dalam konteks mewujudkan budaya Rule of Law dalam parti.

10. Dalam saat parti yang sedang tercemar imejnya, berikutan manipulasi dalam pemilihan MPP, hubungan sesama ahli-ahli yang masih belum dipulihkan, tiada indikator yang serius untuk menyelesaikan bantahan yang dikemukakan oleh cabang-cabang yang terlibat. Kini timbul satu lagi keadaan yang memualkan khususnya di Perak yang mengundang bencana kepada parti dalam menghadapi PRU13 yang sangat hampir.

11. Sesungguhnya kami :-
  1. Md Nasib Rahin, Ketua Cabang Bagan Serai,
  2. Mohd Yunus Hashim, Ketua Cabang Lenggong,
  3. Tun Ali Tun Hamzah, Ketua Cabang Kuala Kangsar,
  4. Mohamad Aun Yob Abas, Ketua Cabang Sungai Siput,
  5. Zulkifly Ibrahim, Ketua Cabang Tambun,
  6. M.A. Tinagaran , Ketua Cabang Ipoh Barat,
  7. Kapt ( B ) Usaili Alias, Ketua Cabang Parit,
  8. Vijayanathan , Ketua Cabang Beruas,
  9. MP Shanmugam, Ketua Cabang Lumut,
  10. Ridzuan Bani, Ketua Cabang Tapah,
  11. Mohamad Hashim, Ketua Cabang Teluk Intan,
  12. Mejar (B) Kamal Badri, Ketua Cabang Tanjung Malim,
  13. Alias Zenon, Ketua Cabang Padang Rengas, dan
  14. Madhi Hj Hasan, Ketua Cabang Bagan Datok

merayu serta meminta Y. Bhg Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat mempertimbangkan butiran berikut:-
a. Menghormati fasal 16.6 dalam perlembagaan parti;

b. Melaksanakan keputusan undian yang dinyatakan dalam perenggan no. 8 dalam Memorandum ini.

12. Bersama-sama Memorandum ini dilampirkan tulisan bertajuk Pendapat Perundangan Mengenai Perlantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Perak untuk perhatian Dato’ Seri agar keputusan yang tepat dapat diambil.


PENDAPAT PERUNDANGAN MENGENAI PERLANTIKAN PENGERUSI MAJLIS PIMPINAN NEGERI PERAK

1. Jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (PMPN) adalah salah satu daripada jawatan lantikan Presiden yang dinyatakan dalam Fasal 16.5 Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat.

2. Fasal 16.6 pula adalah fasal baru yang dimasukkan setelah pindaan Perlembagaan Parti pada tahun 2009 yang memberi hak perundingan (consultative right) kepada Ketua-ketua Cabang dalam negeri berkenaan dalam hal perlantikan PMPN.

3. Fasal 16.6 berbunyi:

“Pengerusi Majlis Pimpinan setiap Negeri dan Wilayah Persekutuan hendaklah dilantik oleh Presiden setelah berunding dengan Ketua-ketua Cabang di Negeri-negeri berkaitan dan Wilayah Persekutuan. Perundingan tersebut perlu dibuat di dalam suatu mesyuarat setelah notis diberi kepada semua Ketua Cabang Dalam Negeri berkaitan dan Wilayah Persekutuan.”

4. Empat elemen penting dalam fasal tersebut adalah:

(i) Kewajipan mengadakan perundingan
(ii) Hak eksklusif ketua-ketua cabang untuk dirundingi
(iii) Keperluan memanggil suatu mesyuarat dengan ketua-ketua cabang
(iv) Notis kepada ketua-ketua cabang

5. Secara ringkas, fasal 16.6 menekankan tentang ‘perundingan dengan ketua-ketua cabang’ walaupun tidak memperincikan bagaimana proses perundingan dan pembuatan keputusan itu dilakukan. Oleh itu, kaedah mengendalikan perundingan itu adalah bergantung kepada budi bicara Presiden.

6. Fasal 16.6 juga memberikan peruntukan khusus tentang siapa yang perlu dirundingi (iaitu ketua-ketua cabang sahaja), keperluan mengadakan satu sidang mesyuarat khas Presiden dengan ketua-ketua cabang dan pemberian notis secukupnya untuk memelihara hak ketua-ketua cabang untuk hadir dan terlibat dalam menjalankan agenda tersebut.

7. Tujuan Perlembagaan Parti memberikan hak perundingan kepada ketua-ketua cabang adalah kerana dalam struktur organisasi KEADILAN, entiti yang berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan adalah parti induk dan cabang-cabang sahaja.

8. MPN tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, maka kewujudannya adalah atas legitimasi yang diperolehi daripada cabang-cabang yang berdaftar. Fungsi asal MPN pada asasnya hanyalah sebagai badan penyelaras bagi cabang-cabang dalam negeri berkenaan.

9. Fasal 16.6 tidak pula menyebut perkataan “konsensus”. Namun, tidak dinafikan dalam apa-apa organisasi pun, tanggungjawab pemimpin atau pengerusi mesyuarat sememangnya adalah seboleh-bolehnya untuk membentuk dan mendapat konsensus.

10. Dalam konteks fasal 16.6, satu-satunya konsensus yang perlu didapatkan oleh Presiden adalah konsensus ketua-ketua cabang dalam satu mesyuarat yang khas dan bernotis.

11. Sepertimana yang dinyatakan sebelum ini, kaedah penjalanan proses perundingan dengan ketua-ketua cabang dan pembuatan keputusan adalah terbuka kepada budi bicara dan kebijaksanaan Presiden. Sekiranya mesyuarat itu gagal mendapat suatu keputusan yang disepakati semua ketua cabang, maka Presiden boleh memanggil satu undian dari ketua-ketua cabang.

12. Konvensyen yang diterima dalam amalan ‘representative democracy’ (demokrasi perwakilan) adalah apabila Pengerusi atau Presiden membuat keputusan agar sesuatu keputusan itu diputuskan melalui pengundian maka keputusan pengundian oleh perwakilan-perwakilan itu mestilah dihormati. Dalam konteks MPN, ketua cabang mempunyai peranan perwakilan sebagai ahli Parlimen atau ADUN iaitu mereka telah dipilih oleh majoriti ahli-ahli dalam konstituensi iaitu cabang masing-masing. Oleh itu, melalui konsep “majority shall rule” maka suara majoriti dalam undian perwakilan-perwakilan mestilah diterima.

13. Sebarang penyimpangan dari konsep ini amatlah tidak wajar. Pemahaman mengenainya telah terbentuk sejak di bangku sekolah rendah lagi apabila guru kelas membuka undian untuk memilih ketua kelas. Apabila undian dibuka, maka guru kelas telah mengenepikan kuasanya untuk membuat lantikan terus. Guru kelas mesti menghormati keputusan majoriti anak-anak murid, jika tidak maka proses itu adalah satu ‘mockery’.

14. Hak eksklusif ketua-ketua cabang dalam perihal MPN bukan sahaja dinyatakan di dalam fasal 16.6. Dalam fasal 22.6 dan 22.7, dinyatakan bahawa mana-mana ahli MPP, ahli Parlimen dan ADUN yang menghadiri mesyuarat MPN tidak boleh mengundi. Dalam kes pemilihan PMPN, ahli-ahli MPN pada masa tersebut hanyalah ketua-ketua cabang kerana jawatan-jawatan lantikan belum diisi. Oleh itu, hanya ketua-ketua cabang boleh mengundi dalam hal ehwal pemilihan PMPN.

15. Penglibatan atau undian daripada pihak-pihak lain seperti ketua-ketua AMK Cabang, ketua-ketua Wanita cabang, Ahli Parlimen atau ADUN adalah tidak wajar dan tidak sah. Wilayah dan batasan kuasa antara MPN, Majlis Pimpinan AMK Negeri dan Majlis Pimpinan Wanita Negeri adalah jelas. Sebarang masalah yang ingin disampaikan oleh ketua-ketua Wanita atau ketua-ketua AMK cabang boleh dibawa oleh Ketua AMK Negeri dan Ketua Wanita Negeri dalam mesyuarat MPN kelak.

16. Dalam kes rampasan kuasa Negeri Perak tahun 2009, isu yang utama ialah tiadanya usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dalam sidang DUN yang sah. Walaupun isu itu nampaknya bersifat prosedural, tetapi ia membawa kepada satu krisis perlembagaan kerana berlaku penafian kepada peranan institusi DUN dan hak wakil-wakil rakyat di bawah konsep ‘representative democracy’.

17. Dalam kes MPN, institusi cabang dan hak eksklusif ketua cabang dalam undian dan perundingan tidak boleh dinafikan. Ini kerana ketua-ketua cabanglah yang secara automatik akan menganggotai, menyumbang dan bertanggungjawab kepada MPN, bukannya pihak-pihak lain. Sekiranya pertanggungjawaban daripada mereka diperlukan, maka hak mereka sebagai perwakilan mestilah dihormati. Ini berdasarkan kepada kaedah “no taxation without representation”.

18. Perlembagaan Parti tidak menetapkan pemilihan PMPN melalui undi popular secara terus. Pendekatan ini ada hikmahnya kerana MPN itu sendiri pada asasnya adalah badan penyelaras. Dalam tradisi Islam, syura oleh ‘ahlul halli wal aqdi’ ternyata berkesan kerana tidak semua isu-isu dalaman dan sulit boleh dihadam dan dibincangkan oleh semua orang. Mereka yang tidak mempunyai kelayakan untuk ikut serta dalam memutuskan satu perkara yang sulit dengan mudah boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

19. Dalam pengalaman demokrasi moden, parti-parti seperti Parti Konservatif di Britain memberikan hak eksklusif memilih “the Leader of the Conservative Party” kepada kelompok Ahli-ahli Parlimen mereka sahaja. Perkara yang sama juga diamalkan dalam Parti Buruh Britain sehingga tahun 1983. Di negara barat sendiri, pendekatan pemilihan pemimpin utama yang hanya melibatkan kelompok terpilih masih diamalkan dalam kebanyakan parti-parti politik.

KES PENGERUSI MPN PERAK

20. Dalam kes pemilihan MPN Perak, Presiden telah menurunkan kuasanya kepada Naib Presiden untuk memenuhi kehendak Fasal 16.6. Dalam mesyuarat pertama, Naib Presiden Dato’ Mansor Othman telah menjalankan mesyuarat. Kehadiran dalam mesyuarat tersebut boleh dipertikaikan kerana ianya turut dihadiri oleh mereka yang bukan ketua cabang termasuk bekas pegawai parti, bekas ahli MPN lantikan, bekas Ketua Wanita Negeri dan lain-lain. Satu salinan memorandum yang ditandatangani oleh 16 Ketua Cabang yang menyokong Sdr Mustaffa Kamil Ayub telah disampaikan. Di samping itu, ada cadangan juga untuk Dr Mohd Nur Manuty dan Dr Lee Boon Chye dilantik. Naib Presiden akan membawa cadangan-cadangan tersebut kepada Presiden.

21. Presiden memutuskan untuk menyerahkan mandat untuk memutuskan keputusan dengan secara undian. Mesyuarat kedua diatur oleh Dato’ Mansor dengan notis secukupnya kepada ketua-ketua cabang sahaja. Daripada 24 ketua cabang, Sdr Mustaffa Kamil mendapat 13 undi, Dr Mohd Nur 10 undi dan satu undi berkecuali. Dr Lee Boon Chye telah menarik diri sebelum pengundian. Ketua-ketua cabang mengundi dengan keyakinan bahawa mereka telah menjalankan hak demokratik yang mereka miliki dan keputusan melalui suara majoriti adalah penentu yang muktamad.

22. Tanpa diduga, mesyuarat ketiga dipanggil oleh Naib Presiden yang lain iaitu Puan Fuziah Salleh yang melibatkan 5 orang dari setiap cabang untuk membincangkan perkara yang disangkakan sudah muktamad. Tindakan ini adalah bercanggah dengan Fasal 16.6 kerana ia menafikan “consultative and representative rights” yang dimiliki oleh ketua-ketua cabang yang dipilih oleh ahli-ahli. Perkataan “konsensus” telah dijadikan alasan untuk mengikut sertakan pihak-pihak yang bukan ketua cabang dalam proses pemilihan PMPN. Pemulangan semula mandat penuh kepada Presiden sepertimana yang kononnya diputuskan dalam mesyuarat tersebut adalah tidak sah. Hanya ketua-ketua cabang melalui persetujuan majoriti di kalangan mereka boleh memulangkan mandat tersebut dan membatalkan keputusan undian dalam mesyuarat yang lalu.

23. Kesimpulannya, perlantikan mana-mana pihak selain daripada yang diputuskan oleh suara majoriti ketua-ketua cabang adalah bercanggah dengan Perlembagaan Parti, konvensyen yang diamalkan dalam tatacara mesyuarat parti-parti siasah dan prinsip demokrasi yang adil dan bebas. Ini kerana Presiden telah memberi hak mengundi kepada ketua-ketua cabang sebagai kaedah pemutus dalam satu sidang yang sah dan teratur. Oleh itu, keputusan tersebut mestilah dilaksanakan bagi mengelakkan pertikaian dan keraguan terhadap integriti parti dan pimpinannya.



Tarikh: 6 Januari 2011

26 November 2010

Menuntut Keadilan akan dianggap perbuatan penderhaka - Abdul Aziz Anon

Mengkritik atau mempunyai perasaan tidak puas hati terhadap perjalanan pemilihan PKR, atau mendakwa JPP dan Sekretariat Ibu Pejabat Parti tidak adil dalam pengendalian pemilihan ‘1 ahli 1 undi’ dengan memberi bukti salahlaku JPP dan Sekretariat Ibu Pejabat, adalah sama hukumnya dengan mengkritik Anwar Ibrahim dan Azmin Ali. Oleh itu, sesiapa yang bertindak demikian akan dianggap pengkhianat.

Menuntut keadilan, memperjuangkan kebenaran dan mencadangkan penambahbaikan kepada organisasi parti akan dianggap durhaka. Mustaffa Kamil Ayub, Zaid Ibrahim, CheGu Bard, Jonson Chong, Dr Suraya, Animah Ferrar adalah antara kumpulan pemimpin yang dianggap pendurhaka atau pengkhianat parti.

Begitu juga dengan ahli parti. Kita diminta untuk menjadi ahli yang paling setia. Ahli yang disayangi Anwar Ibrahim dan Azmin Ali dengan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada kedua pemimpin itu walau dalam apa keadaan sekalipun, meskipun menutup sebelah (atau kedua-dua) mata, bertoleransi dengan salah laku, asalkan tidak menyusahkan Anwar Ibrahim dan Azmin Ali atau sebaliknya.

Apakah sudah menjadi satu kesalahan besar apabila ahli menuntut keadilan daripada Parti Keadilan?

Menuntut keadilan tidak lagi terpakai dalam parti. Ianya hanya terpakai kepada kerajaan UMNO/BN. Ramai ahli parti telah tampil mengemukakan bukti yang nyata lagi jelas mendakwa salah laku JPP dalam mengendalikan pemilihan PKR baru-baru ini tetapi langsung tidak mendapat layanan sewajarnya oleh pucuk pimpinan.

Saya sedih tetapi tetap menaruh harapan bahawa parti wajib digerakkan dengan menjunjung prinsip-prinsip keadilan dan kebenaran. Walaupun kadangkala ianya memberi gambaran negatif kepada parti, tetapi keadilan dan kebenaran akan sentiasa adil dan sentiasa benar dalam apa keadaan sekalipun. Dalam mempromosikan politik nilai sebagai budaya politik PKR, tindakan pimpinan parti akan sentiasa menjadi teladan kepada ahli-ahli biasa.

Ingatan saya kepada pimpinan parti bahawa setiap tindakan ada tindakbalasnya. Jangan terkejut jika ahli parti mula meninggalkan parti kerana hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan. Ini kerana pimpinan parti tidak mahu melayan ahli parti dengan menghormati hakikat bahawa setiap ahli mampu berfikir secara rasional dan mempunyai maklumat yang cukup (maklumlah zaman internet ini) untuk membezakan apa yang betul dan apa yang salah.

Kita marah sebab UMNO/BN sedang membonsaikan pemikiran rakyat. Akan tetapi apa bezanya dengan tindakan pimpinan parti yang juga bertindak seperti UMNO/BN mahu membonsaikan pemikiran ahli parti supaya menjadi ahli yang setia biarpun membuta tuli.

Jikalau kita tidak mampu untuk memberi keadilan kepada ahli sendiri, bagaimana kita mahu meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kita mampu memberi keadilan kepada mereka?



ABDUL AZIZ ANON

12 November 2010

Sahabat seperjuangan Mustaffa Kamil Ayub lahirkan rasa kesal - Abdul Aziz Anon

Sebenarnya memang sudah jangkaan saya bahawa Sdr. Mustaffa Kamil Ayub, calon Timbalan Presiden PKR, tidak akan menarik diri, tetapi sebaliknya hanya akan terus melakukan protes dari dalam amat tepat. Saya amat kesal dengan sandiwara politik beliau.

Saya merujuk kepada memorandum yang dihantar oleh Saudara Mus kepada Presiden parti dan Pengerusi JPP pada 9 November 2010:

“Kami mendesak supaya JPP mengisytiharkan pemberhentian Pemilihan 2010 dalam tempoh 48 jam dari masa penerimaan memorandum ini. Sekiranya tindakan pemberhentian Pemilihan tidak dilakukan dalam tempoh tersebut, kami akan mengambil tindakan yang lebih tegas demi mempertahankan prinsip keadilan.”


Apakah yang dimaksudkan dengan “tindakan tegas”? Apakah pula yang dimaksudkan dengan “bertanding dalam protes?” Sahabatku, pilihannya hanya samada kita merestui proses pemilihan dan mengambil bahagian, atau kita menolak proses pemilihan dan mengundur diri.

Saya hanya dapat menafsirkan tindakan ini sebagai tidak lebih daripada sandiwara lakonan pentas politik dengan perkiraan bahawa rakyat adalah bodoh dan boleh ditipu sedemikian rupa.

Gesaan saya tempoh hari adalah meminta Sdr Mustaffa Kamil Ayub menarik diri demi menjaga integriti peribadi. Dengan apa yang dikatakan oleh beliau sebagai “tindakan tegas” tempohari, dan dengan apa yang dinyatakan beliau dalam sidang medianya hari ini, saya beranggapan bahawa Sdr Mus telah hilang peluang keemasan untuk bertindak meletakkan proses pemilihan parti kepada landasan yang betul. Mengapa harus terus berjoget jika alunan gendangnya sumbang? Mengapa harus terus menyanyi jika tidak seirama dan tidak senada?

Dalam memoradum beliau, Sdr. Mustaffa Kamil Ayub telah menyatakan terdapat banyak penyelewengan dan kepincangan dalam proses pemilihan parti dan beliau menuntut pemberhentian pemilihan parti dibuat atau JPP harus bersedia menghadapi tindakan yang lebih tegas.

Saya amat hairan dan sangat tidak jelas apakah yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan parti untuk memperbaiki keadaan sejak penyerahan memo pada 9 November sehingga menyebabkan Sdr. telah menukar pendirian?

Hanya satu rumusan yang adil untuk disimpulkan: saudara gelojoh pangkat dan kuasa. Saudara meletakkan kepentingan masa depan politik peribadi. ‘Ketakutan’ Saudara kepada Anwar Ibrahim dan Azmin melebihi kepentingan untuk mempertahankan prinsip dan nama baik parti. Membenarkan pemilihan parti diteruskan dan mengambil bahagian dalam pertandingan yang didakwa ada penyelewengan dan kepincangan adalah pelacuran prinsip politik. Saudara bukan lagi seorang pemimpin, dan Saudara sama sekali tidak layak menganggap diri Saudara sebagai seorang pemimpin.

Saya sedar Saudara telah ditawarkan jawatan Naib Presiden yang dilantik terus oleh Presiden jika kalah dalam pemilihan ini. Jika Saudara menarik diri maka akan terkubur karier politik dalam keADILan. Saya ulangi, ini adalah satu pelacuran prinsip politik. Dimanakah al-qudwah? Di mana al-amanah?

Saya ketawa dalam tangisan tatkala mengenangkan kehadiran Saudara pada sidang media Datuk Zaid Ibrahim pada hari Isnin lepas. Jelas Saudara hanya seorang haiwan politik yang, bak kata pepatah, pergi bagaikan panglima, balik bagaikan pondan.



ABDUL AZIZ ANON