Showing posts with label CheGu Bard. Show all posts
Showing posts with label CheGu Bard. Show all posts

10 December 2010

Menyokong tindakan Che'GuBard tidak iktiraf pemilihan PKR - Aktivis Reformasi


Aktivis Reformasi menyokong tindakan Sdr Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai “Che'GuBard” yang telah membuat pendirian tegas untuk tidak mengiktiraf keputusan pemilihan parti dengan menuntut penjelasan bertulis daripada parti berhubung pelbagai dakwaan manipulasi, penipuan dan salahlaku JPP serta Sekretariat Ibu Pejabat di bawah pimpinan Setiausaha Agung, YB Saifuddin Nasution.

Aktivis Reformasi mendesak keras agar pimpinan parti khususnya Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah, memberi perhatian serius terhadap tuntutan yang dibuat oleh Che'GuBard. Aktivis Reformasi sangat kesal jika pucuk pimpinan meremeh-remehkan tuntutan Che'GuBard ini. Aktivis Reformasi kini juga sedar bagaimana pucuk pimpinan parti merendahkan tuntutan dari orang bawahan. Pucuk pimpinan harus ingat bahawa orang bawahan inilah yang menyokong parti dengan mengharungi gas pemedih mata, bermandi asid dan dibelasah belantan FRU, terkini dalam demonstrasi isu air Selangor minggu lepas.

Ketika golongan elit bersenang-lenang di keliling Ketua Umum, Che'GuBard memimpin massa meskipun tidak memegang sebarang jawatan tinggi parti dan ditentang polis FRU. Tiada gunanya menjadi pemimpin berjawatan tinggi jikalau tidak berani untuk tampil sebagai pejuang kental ketika semboyan menuntut kita turun di jalanan melawan kezaliman.

Aktivis Reformasi amat bersetuju bahawa politik naungan adalah satu malapetaka kepada perjuangan parti. Politik naungan kini sedang melanda PKR apabila kumpulan-kumpulan yang menjadi elitis di sisi Ketua Umum, dengan biaya kewangan mereka yang sungguh mewah, sedang membentuk barisan kepimpinan parti yang baru.

Aktivis Reformasi juga ingin menyatakan kegusaran tentang budaya politik ampu-mengampu yang selama ini menjadi darah daging UMNO, kini sedang menular, berkembang dan subur dalam PKR. Budaya seumpama ini akan membuatkan parti terpesong dari landasan perjuangan sebenar sebagai sebuah gerakan reformasi rakyat.

Parti hendaklah berwaspada dengan kelompok yang berselindung atas nama reformasi tetapi seumpama lintah darat dengan satu tujuan, iaitu mengambil kesempatan mencari projek dan peluang perniagaan. Kumpulan-kumpulan lintah darat ini sedang berada di sekeliling Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan memegang jawatan besar dalam parti. Kumpulan lintah darat ini sedang mengampu pimpinan parti dan mendapat sokongan para-para YB yang lupa diri. Kumpulan lintah darat ini juga mempunyai beberapa YB dalam lingkungannya dan mereka telah dikenalpasti mengampu pimpinan tertentu dan Ketua Umum bagi memastikan dapat bertanding pada pilihanraya umum ke-13 nanti.

Pemilihan secara ‘1 ahli 1 undi’ adalah langkah berani parti untuk menyuburkan demokrasi tetapi hanya jika pemilihan dijalankan dengan telus, adil dan bersih. Justeru itu, jika pemilihan ‘1 ahli 1 undi’ dipenuhi dengan penipuan, manipulasi undi dan amalan politik wang yang berleluasa di sana-sini, maka pemilihan parti tidak membawa apa-apa makna, malah parti akan dilihat berkompromi dengan penipuan dan membenarkan ketidakadilan berlaku dalam parti yang mahu berjuang untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.

Aktivis Reformasi mengingatkan pucuk pimpinan parti bahawa gerakan reformasi sedang meneruskan perjuangan tegasnya menuntut keadilan dan ketelusan dari SPR melalui siri Demo Bersih, tetapi dalam masa yang sama PKR sedang membenarkan barisan Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik parti dibentuk hasil daripada proses pemilihan yang penuh penipuan dan politik wang.

Aktivis Reformasi berjanji akan terus memelihara prinsip-prinsip keluhuran Gerakan Reformasi sebagai sebuah Gerakan Rakyat seperti yang dinyatakan dalam Deklarasi Permatang Pauh, satu gerakan yang diangkat oleh rakyat sebagai agen perubahan pada tanggal 12 September, 1998.

Akhir sekali, Aktivis Reformasi ingin menekankan bahawa perjuangan reformasi adalah perjuangan rakyat dan bukan perjuangan untuk individu tertentu, samada Anwar Ibrahim atau anak-anak emasnya.

Salam reformasi.



AKTIVIS REFORMASI

26 November 2010

Menuntut Keadilan akan dianggap perbuatan penderhaka - Abdul Aziz Anon

Mengkritik atau mempunyai perasaan tidak puas hati terhadap perjalanan pemilihan PKR, atau mendakwa JPP dan Sekretariat Ibu Pejabat Parti tidak adil dalam pengendalian pemilihan ‘1 ahli 1 undi’ dengan memberi bukti salahlaku JPP dan Sekretariat Ibu Pejabat, adalah sama hukumnya dengan mengkritik Anwar Ibrahim dan Azmin Ali. Oleh itu, sesiapa yang bertindak demikian akan dianggap pengkhianat.

Menuntut keadilan, memperjuangkan kebenaran dan mencadangkan penambahbaikan kepada organisasi parti akan dianggap durhaka. Mustaffa Kamil Ayub, Zaid Ibrahim, CheGu Bard, Jonson Chong, Dr Suraya, Animah Ferrar adalah antara kumpulan pemimpin yang dianggap pendurhaka atau pengkhianat parti.

Begitu juga dengan ahli parti. Kita diminta untuk menjadi ahli yang paling setia. Ahli yang disayangi Anwar Ibrahim dan Azmin Ali dengan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada kedua pemimpin itu walau dalam apa keadaan sekalipun, meskipun menutup sebelah (atau kedua-dua) mata, bertoleransi dengan salah laku, asalkan tidak menyusahkan Anwar Ibrahim dan Azmin Ali atau sebaliknya.

Apakah sudah menjadi satu kesalahan besar apabila ahli menuntut keadilan daripada Parti Keadilan?

Menuntut keadilan tidak lagi terpakai dalam parti. Ianya hanya terpakai kepada kerajaan UMNO/BN. Ramai ahli parti telah tampil mengemukakan bukti yang nyata lagi jelas mendakwa salah laku JPP dalam mengendalikan pemilihan PKR baru-baru ini tetapi langsung tidak mendapat layanan sewajarnya oleh pucuk pimpinan.

Saya sedih tetapi tetap menaruh harapan bahawa parti wajib digerakkan dengan menjunjung prinsip-prinsip keadilan dan kebenaran. Walaupun kadangkala ianya memberi gambaran negatif kepada parti, tetapi keadilan dan kebenaran akan sentiasa adil dan sentiasa benar dalam apa keadaan sekalipun. Dalam mempromosikan politik nilai sebagai budaya politik PKR, tindakan pimpinan parti akan sentiasa menjadi teladan kepada ahli-ahli biasa.

Ingatan saya kepada pimpinan parti bahawa setiap tindakan ada tindakbalasnya. Jangan terkejut jika ahli parti mula meninggalkan parti kerana hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan. Ini kerana pimpinan parti tidak mahu melayan ahli parti dengan menghormati hakikat bahawa setiap ahli mampu berfikir secara rasional dan mempunyai maklumat yang cukup (maklumlah zaman internet ini) untuk membezakan apa yang betul dan apa yang salah.

Kita marah sebab UMNO/BN sedang membonsaikan pemikiran rakyat. Akan tetapi apa bezanya dengan tindakan pimpinan parti yang juga bertindak seperti UMNO/BN mahu membonsaikan pemikiran ahli parti supaya menjadi ahli yang setia biarpun membuta tuli.

Jikalau kita tidak mampu untuk memberi keadilan kepada ahli sendiri, bagaimana kita mahu meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kita mampu memberi keadilan kepada mereka?



ABDUL AZIZ ANON