Showing posts with label Bahasa Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Bahasa Malaysia. Show all posts

14 March 2011

Maruah reformasi tercabar - Aktivis Jalan TAR

Anwar Ibrahim sebagai seorang pemimpin Anugerah Tuhan pasti prihatin yang serangan-serangan ini bukannya setakat peribadi beliau sahaja malah ditujukan kepada seluruh gerakan Reformasi. Bukan maruah Anwar Ibrahim sahaja yang tercabar tetapi kredibiliti semua Reformis juga tergugat. Anwar Ibrahim harus mengambil langkah berani dan bijak demi keutuhan gerakan Reformasi.
oleh Aktivis Jalan TAR melalui e-mel



Saya amat kesal dengan tindakan musuh-musuh Anwar Ibrahim yang mempolitikkan kes mahkamah yang sedang berlangsung. Beberapa demonstrasi telah dianjurkan di Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Ipoh seolah-olah Anwar telah didapati bersalah oleh mahkamah. Walhal, mahkamah hanya menolak bahan-bahan bukti yang diperolehi secara tidak sah.

Sebagai seorang pendokong Reformasi tegar, saya yakin penuh Anwar ialah mangsa konspirasi politik. Pemimpin-pemimpin UMNO gentar dengan Anwar Ibrahim lalu terpaksa memfitnahkan beliau. Mereka berharap dengan menghumban Anwar ke penjara, gerakan Reformasi akan hilang taring.

Justeru itu, saya menyeru kepada Anwar untuk mengambil tindakan tegas supaya serangan-serangan musuh politik ini dapat ditangani. Anwar wajib menyerah sampel DNA untuk membuktikan beliau tidak bersalah. Saya percaya langkah tegas Anwar ini akan membuat musuh-musuh politik beliau mati akal.

Saya berkongsi kebimbangan Anwar yang bahan DNA tersebut mungkin akan dimanipulasikan. Untuk mengelakkan kemungkinan tersebut, saya mencadangkan ujian dan profiling sampel DNA itu dibuat secara profesional dan telus. Jika perlu, Majlis Peguam, Persatuan Perubatan Malaysia dan pakar-pakar genetik antarabangsa yang dilantik oleh Anwar akan menyelia proses tersebut.

Objektif memberi DNA hanya untuk mengenalpasti sama ada DNA lelaki Y yang dijumpai pada tubuh Saiful Bukhari Azlan padan dengan DNA Anwar Ibrahim. Walaupun jika ditakdirkan DNA-DNA itu padan, Anwar masih mempunyai ruang untuk mempertikai bagaimana air mani beliau diletakkan pada tubuh Saiful.

Anwar Ibrahim sebagai seorang pemimpin Anugerah Tuhan pasti prihatin yang serangan-serangan ini bukannya setakat peribadi beliau sahaja malah ditujukan kepada seluruh gerakan Reformasi. Bukan maruah Anwar Ibrahim sahaja yang tercabar tetapi kredibiliti semua Reformis juga tergugat. Anwar Ibrahim harus mengambil langkah berani dan bijak demi keutuhan gerakan Reformasi.

LAWAN TETAP LAWAN!!!



AKTIVIS JALAN TAR

Gerakan Anti-lelaki Y (GAY) - Abas Azizan

Saya bercadang untuk menubuhkan sebuah NGO, Gerakan Anti-lelaki Y atau lebih dikenali dengan nama singkat GAY, sebagai sebuah gerakan rakyat untuk melaksanakan proses eliminasi ini. Atas dasar BERANI KERANA BENAR, TAKUT KERANA SALAH, setiap lelaki Melayu diseluruh negara akan memberi sampel DNA mereka untuk disahkan sebagai bukan lelaki Y. GAY akan menyelia usaha ini.
oleh Abas Azizan melalui e-mel



Perbicaraan kes Sodomi 2 kini telah sampai ke titik yang amat getir. Bahan-bahan bukti yang dapat mengaitkan tertuduh, Anwar Ibrahim, dengan DNA yang terdapat pada tubuh pengadu, Saiful Bukhari Azlan, telah ditolak oleh mahkamah atas alasan teknikal.

Anwar bagaimanapun enggan memberi sampel DNA secara sukarela untuk penentuan. Anwar mendakwa bahawa bahan-bahan DNA tersebut akan digunakan kelak untuk menganiayai beliau. Saya amat faham sebab-sebab Anwar enggan memberi sampel DNA.

DNA lelaki Y telah disahkan sebagai DNA seorang lelaki Melayu. Keengganan Anwar untuk memberi sampel DNA telah menimbulkan satu keadaan dimana setiap lelaki Melayu yang telah baligh layak disyaki sebagai lelaki Y. Setiap lelaki Melayu adalah suspek dalam kes tersebut. Sebagai seorang lelaki Melayu tunggal ditempat kerja, saya terpaksa mengharungi jelingan serong dari pekerja-pekerja lain.

Oleh kerana Anwar enggan memberi sampel DNA, hanya proses eliminasi yang akan dapat mengatasi dilema ini. Semua lelaki Melayu perlu memberi sampel DNA mereka secara sukarela untuk ujian supaya dapat digugurkan daripada senarai suspek.

Saya bercadang untuk menubuhkan sebuah NGO, Gerakan Anti-lelaki Y atau lebih dikenali dengan nama singkat GAY, sebagai sebuah gerakan rakyat untuk melaksanakan proses eliminasi ini. Atas dasar BERANI KERANA BENAR, TAKUT KERANA SALAH, setiap lelaki Melayu diseluruh negara akan memberi sampel DNA mereka untuk disahkan sebagai bukan lelaki Y. GAY akan menyelia usaha ini.

Setelah disahkan sebagai bukan lelaki Y, GAY akan melaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk MyKad individu tersebut dikemaskini. Butir-butir peribadi seperti jantina dan bangsa di MyKad akan ditambah dengan perkataan "bukan Y".

GAY akan melaksanakan usaha ini sehingga tinggal hanya seorang lelaki Melayu terakhir yang tidak dapat mengkemaskini MyKad beliau. 

Semoga keadilan dapat ditegakkan dengan cara ini.



ABAS AZIZAN

08 March 2011

Majlis Pelancaran Buku Jingga yang Hambar-Mambar - Raja Azmi

Yang paling mencuit perhatian saya ialah penjelasan Khalid Ibrahim tentang isu kerajaan negeri Selangor membayar kos penginapan wakil-wakil PKR dari Sabah dan Sarawak semasa Kongres Kebangsaan PKR yang lepas. Menurut Khalid, pembayaran tersebut ialah sumbangan negeri Selangor kepada peningkatan proses demokrasi negara. Wakil-wakil tersebut kononnya telah didedahkan kepada proses pemilihan. Wow! Kata-kata yang sungguh indah, niat cukup murni. Tetapi hakikatnya menggunakan wang rakyat negeri Selangor untuk tujuan politik kepartian ialah satu bentuk rasuah. Tiada beza dengan budaya UMNO. Di mana perubahan yang dilaung-laungkan?
oleh Raja Azmi Raja Azman melalui e-mel



Saya telah menghadiri Majlis Pelancaran Buku Jingga di Stadium Malawati pada malam Sabtu lepas. Majlis tersebut diadakan sempena Karnival Sambutan Tiga Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang berlangsung pada 5 dan 6 Mac, 2011 di tempat yang sama.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang dijadualkan berucap di upacara tersebut ialah Anwar Ibrahim, Hadi Awang, Lim Kit Siang dan Khalid Ibrahim.

Majlis bermula pada lebih kurang 9.30 malam setelah pemimpin-pemimpin PR, ahli-ahli exco dan SUK negeri Selangor mengambil tempat masing-masing di atas pentas. Kehadiran amat mengecewakan. Hanya kira-kira 1,000 orang berada di stadium ketika majlis dimulakan. Jangkaan hadirin menjangkau 10,000 orang nyata jauh meleset. Alasan yang diberi oleh Hasan Ali, selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, ialah ramai aktivis PR terlibat dengan pilihanraya kecil Merlimau dan Kerdau.

Daripada tinjauan rambang di kalangan para hadirin, majoriti adalah ahli-ahli PAS dari bahagian Sungai Burong yang dipimpin oleh Hasan Ali. Bakinya terdiri daripada kakitangan jabatan dan agensi kerajaan negeri Selangor yang telah dikerah untuk hadir serta penghulu-penghulu mukim yang dilantik oleh PR. Nampaknya tak banyak beza antara PR dan BN dalam cara mereka meramaikan hadirin di sesuatu majlis. Juga terdapat ramai remaja belasan tahun yang ditugaskan untuk mengedar risalah-risalah dan cenderamata.

Tujuan saya menghadiri majlis tersebut ialah untuk mendapat penjelasan terperinci tentang Buku Jingga. Malangnya, hasrat saya tidak tercapai, harapan hampa berkecai. Majlis penerangan Buku Jingga bertukar menjadi majlis pemujaan kepimpinan Khalid Ibrahim. Kejayaan demi kejayaan kerajaan negeri Selangor diomong-omongkan tanpa menyentuh walau sedikit pun kelemahan dan kepincangan pentadbiran negeri. Ucapan-ucapan hanya bersifat "masuk bakul, angkat sendiri".

Yang paling mencuit perhatian saya ialah penjelasan Khalid Ibrahim tentang isu kerajaan negeri Selangor membayar kos penginapan wakil-wakil PKR dari Sabah dan Sarawak semasa Kongres Kebangsaan PKR yang lepas. Menurut Khalid, pembayaran tersebut ialah sumbangan negeri Selangor kepada peningkatan proses demokrasi negara. Wakil-wakil tersebut kononnya telah didedahkan kepada proses pemilihan. Wow! Kata-kata yang sungguh indah, niat cukup murni. Tetapi hakikatnya menggunakan wang rakyat negeri Selangor untuk tujuan politik kepartian ialah satu bentuk rasuah. Tiada beza dengan budaya UMNO. Di mana perubahan yang dilaung-laungkan?

Majlis Pelancaran Buku Jingga tersebut gagal kerana tiada kerjasama ikhlas dari PAS dan DAP dalam mendokongi kempen Buku Jingga. Bilangan orang bukan Melayu yang hadir di majlis tersebut boleh dikira dengan jari. Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim menarik diri pada saat-saat terakhir setelah dimaklumkan bahawa Presiden PAS, Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menolak jemputan ke majlis tersebut. PKR telah diwakili oleh Wan Azizah Ismail, Hasan Ali mewakili PAS dan Tan Seng Giaw mewakili DAP.

Satu petanda amat membimbangkan yang dapat dilihat dari majlis tersebut ialah kecenderungan kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR dalam membazirkan wang rakyat. Majlis pelancaran itu diadakan semata-mata kerana ada peruntukan yang dapat digunakan dari bajet negeri Selangor. Oleh kerana jumlah hadirin yang rendah, banyak nasi bungkus yang dibekalkan terpaksa dibuang begitu sahaja.

Segala kos penganjuran karnival tersebut ditanggung oleh kerajaan negeri Selangor. Jika belanja jamuan menyambut ulangtahun ke-40 Yayasan Selangor mencecah RM800,000.00, bayangkan berapa juta wang rakyat telah dibelanjakan untuk karnival yang berlangsung selama dua hari.

Pembaziran wang rakyat ialah satu manifestasi penyalahgunaan kuasa. PKR sering mengecam UMNO kerana menyalahguna kuasa. Daripada insiden pembaziran kos penganjuran karnival ini, PKR dilihat sebagai "kata dulang, paku serpih; kata orang, sendiri yang lebih". Reformasi yang dijanjikan masih tinggal sebagai janji.

Jika objektif majlis tersebut untuk meraih sokongan rakyat kepada Buku Jingga, nyata majlis yang saya hadiri telah gagal sama sekali. Majlis-majlis sedemikian sepatutnya digunakan untuk menjelas dan mengupas "Janji-janji Reformasi Dalam 100 Hari" supaya rakyat dapat menghayati semangat reformasi yang terkandung dalam Buku Jingga. Setakat in, Buku Jingga hanya wujud sebagai sebuah mitos di awang-awangan kesedaran politik rakyat.



RAJA AZMI BIN RAJA AZMAN

06 March 2011

Pilihanraya Sarawak: PKR tidak matang - Aspan Alias

Kenyataan Azmin yang memberi amaran kepada SNAP supaya tunduk kepada apa yang ditetapkan oleh PKR itu adalah satu bahasa politik yang tidak matang jika dilakukan applikasinya di Sarawak. Sudahkah PKR berunding secara khusus dengan DAP dan anggota PR yang lain sebelum meluahkan perasaan yang agak tidak cerdik itu?



Pilihanraya Sarawak merupakan pilihanraya yang akan menjadi isu tumpuan bagi banyak pihak baik di Sarawak mahu pun di Semenanjung kerana ianya kait mengait di antara satu dengan lain yang akan menentukan nasib kedua-dua belah pihak, BN dan PR.

Pakatan Rakyat, khususnya PKR sedang menghadapi sedikit kekeliruan dengan SNAP dan belum lagi berjumpa dengan formula terbaik untuk berkerjasama dan mengadakan kesepakatan untuk menghadapi BN yang akan bermatian-matian untuk mempertahankan kekuasaan di Sarawak.

Pembangkang di Sarawak akan menghadapi kerugian yang amat besar jika tidak berjaya bergerak seiringan kerana BN Sarawak adalah di dalam keadaan yang paling lemah jika dibandingkan dengan keadaan pada masa-masa yang lalu.

Dalam PR di Sarawak hanya DAP sahaja yang tidak berhadapan kerana parti itu hanya menumpukan kepada 20 kerusi DUN di kawasan bandar dan tidak bercita-cita besar seperti PKR yang mahukan 52 kerusi dari 71 kerusi di dalam DUN Sarawak. Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR nampaknya begitu keras mahukan kerusi yang begitu banyak tanpa memikirkan perasaan pengundi tempatan yang jauh berbeza dari pemikiran pengundi di Semenanjung.

Bagi setengah pendapat jika PKR sensitive kepada keadaan tempatan, parti itu sepatutnya memberikan kelebihan kepada SNAP kerana SNAP merupakan parti yang begitu lama wujud di Sarawak dan pernah mendapat tempat di hati rakyat Sarawak yang mewakili Iban dan Dayak yang merupakan pengundi yang ‘substantial’ di bumi kenyalang itu. SNAP telah terkeluar dari BN di sebabkan pergolakan politik Sarawak hampir dua dekad dahulu.

Apa yang boleh dilakukan di Semenanjung tidak semestinya boleh dilakukan di Sarawak. UMNO tidak dapat menjejakan kaki di Sarawak kerana rakyat Sarawak tidak bersetuju dengan kehadiran UMNO, walaupun UMNO merupakan tunjang kepada BN. Tidak ganjil rasanya jika PKR hanya mengambil kerusi dengan jumlah yang agak munasabah bagi rakyat Sarawak.

Kenyataan Azmin yang memberi amaran kepada SNAP supaya tunduk kepada apa yang ditetapkan oleh PKR itu adalah satu bahasa politik yang tidak matang jika dilakukan applikasinya di Sarawak. Sudahkah PKR berunding secara khusus dengan DAP dan anggota PR yang lain sebelum meluahkan perasaan yang agak tidak cerdik itu?

Bagi Sarawak kaedah yang paling baik untuk menghadapi BN ialah dengan memberikan kelebihan kepada parti-parti tempatan yang lebih lama dan memahami keadaan di negeri itu, terutamanya SNAP. Dalam pada itu PKR mesti faham bahawa SNAP juga sedang menjalini hubungan dengan MCLM yang juga merupakan satu kumpulan yang inginkan representasi di Sarawak di dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Sesungguhnya usia SNAP lebih lama dari usia PKR dan memebrikan kelebihan kepada parti-parti tempatan merupakan satu kompromi yang berkesan untuk menghadapi BN yang sangat besar kekuasaan kewangan dan kemudahan yang lain.

Jika ada kompromi yang baik dan mempunyai matlamat yang satu maka tumpuan kepada 30 kerusi Dayak dan Iban yang pernah mewakili mereka di dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak dan pernah menjadi komponen yang besar di dalam BN Sarawak dan di wakili di dalam kabinet Sarawak. Disinilah lebihnya UMNO kerana sanggup berkorban dengan rakan-rakan komponen dan bersetuju tidak diwakili didalam legislative persekutuan dan negeri dari Sarawak.

Pemimpin PKR sepatutnya menumpukan usaha memberikan sokongan kepada komponennya di Sarawak jika SNAP bersetuju untuk menjadi komponen kepada PR. Jika titik pertemuan tidak tercapai maka akan ada perentapan di antara SNAP dengan PKR di kawasan-kawasan Iban dan Dayak yang akan memberikan kemenangan mudah kepada BN di dalam mana-mana pertandingan 3 penjuru di Sarawak.

Kali ini kita lihat samada PKR mempunyai kematangan dalam mengendalikan ‘coalition’ yang lebih besar.

05 March 2011

Pemilihan PKR: Siasatan JPP selesai? - Fazy Sahir

Kedua-dua pengadu, Mustaffa Kamil dan Chegubard menafikan menerima jawapan balas daripada JPP dan menyifatkan kenyataan itu sebagai satu “penipuan.” Malah menurut CheguBard, surat terakhir beliau bertarikh 10 Februari lalu kepada Biro Politik juga tidak dijawab.



Siasatan terhadap aduan yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) membabitkan salah laku sepanjang pemilihan PKR pada November lalu telah selesai.

Menurut sumber dalaman JPP, bagi aduan yang melibatkan sebarang pergaduhan, perkara itu telah dibawa kepada perhatian Biro Disiplin parti.

Manakala bagi aduan-aduan yang melibatkan pemimpin seperti Pengarah Latihan, Mustaffa Kamil Ayub dan Badrul Hisham Shaharin (CheguBard) perkara itu dianggap selesai.

Sepanjang pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dijalankan sebanyak 18 aduan telah dikemukakan kepada JPP manakala bagi pemilihan cabang pula sebanyak 289 aduan.

Sumber itu berkata, JPP memandang serius setiap aduan yang dikemukakan dan inkuiri telah dibuat dan kemudian akan diserahkan kepada MPP.

JPP bersidang setiap minggu

“Semua aduan yang kami terima telah disiasat dan sudah selesai. Kes-kes atau aduan yang melibatkan pergaduhan kami telah bawa kepada Biro Disiplin dan tindakan yang sepatutnya telah diambil. Boleh dikatakan setiap minggu JPP bersidang dan membuat inkuiri bagi aduan tersebut.

“Aduan-aduan itu akan melalui proses penilaian dan keputusan. Pertama, kita akan bawa dalam mesyuarat MPP. Kemudian Biro Disiplin dan akhir sekali kepada Biro Politik. Jika aduan serta kes itu serius maka anggota berkenaan akan disyorkan dipecat daripada parti.

“Tentang aduan CheguBard, jawapan balas secara rasmi sudah dihantar kepada beliau minggu lepas. Manakala aduan Mustaffa Kamil juga telah dijawab oleh JPP,” kata sumber itu kepada FMT.

Menurut sumber terbabit, kini parti dalam persiapan untuk mengadakan pemilihan semula membabitkan cabang-cabang seperti Kapar, Subang, Klang, Jerai dan Kuala Langat tetapi pada tarikh yang berbeza.

Pemilihan semula bagi cabang Kapar, Subang dan Klang ditetapkan pada 13 Mac manakala cabang Jerai (26 Mac) dan Kuala Langat (27 Mac). Hanya cabang Batu Sapi sahaja yang belum menetapkan tarikh.

Ini bermakna cabang-cabang berkenaan akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) sekali lagi, berikutan masalah kelemahan logistik, teknikal, mahupun berlaku pergaduhan.

JPP didakwa menipu

FMT menghubungi kedua-dua pengadu, Mustaffa Kamil dan Chegubard dan mereka menafikan menerima jawapan balas daripada JPP dan menyifatkan kenyataan itu sebagai satu “penipuan.”

Malah menurut CheguBard, surat terakhir beliau bertarikh 10 Februari lalu kepada Biro Politik juga tidak dijawab.

“Saya tidak terima sebarang jawapan balas daripada JPP. Maknanya JPP menipu. Saya dah tulis surat pada 10 Februari lepas dan itu adalah kemuncak penggunaan saluran dalaman untuk menjawab semua aduan-aduan saya,” katanya yang dihubungi FMT.

Sementara itu, Mustaffa berkata beliau akan berbincang dengan jawatankuasa berhubung aduannya dan bercadang untuk mengadakan perbincangan semula dengan JPP dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

“Saya ada menerima berita perkembangan daripada Pengerusi JPP Dr Molly Cheah tapi setakat ini tiada sebarang jawapan yang mereka maksudkan itu,” katanya.

Mustaffa pada November tahun lalu membuat aduan sebanyak 162 salah laku kepada JPP.

01 March 2011

Buku Jingga: Hanya Cakap-Cakap Sahaja? - Raja Azmi

Walau apa pun sebab-sebab pembatalan majlis tersebut, yang membuat saya amat terkilan ialah tiada pemberitahuan tentang pembatalan telah dikeluarkan. Saya telah membuang wang dan masa untuk pergi ke Kuala Lumpur. PKR tidak prihatin dengan aktivis bawahan seperti saya.
oleh Raja Azmi Raja Azman melalui e-mel



Mengikut petikan berita dari HarakahDaily, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan akan melancarkan Buku Jingga pada 8.00 malam, 26 Februari 2011 di Kelab Sultan Sulaiman, Kg. Bharu, Kuala Lumpur.

Pada petang Sabtu lepas, saya telah bertolak dari Sg. Ramal, Kajang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis tersebut.

Sebagai seorang aktivis Pakatan Rakyat, saya amat berminat untuk mendalami Buku Jingga. Walaupun telah mentelaah Buku Jingga di internet, saya berharap agar penjelasan secara terus daripada pemimpin-pemimpin tertinggi PR akan lebih berkesan. Buku Jingga dicanangkan sebagai satu platform penting PR untuk PRU-13 akan datang. Dengan pengetahuan meluas mengenai Buku Jingga, saya berharap dapat mentarbiyahkan orang lain tentang zat-zat Buku Jingga.

Malangnya, apabila sampai di Kelab Sultan Sulaiman saya telah diberitahu oleh seorang pelayan restoran di kelab tersebut yang majlis telah dibatalkan. Saya merasa amat sedih kerana tiada notis pembatalan dikeluarkan. Saya yang bersusah payah datang dari Kajang terasa macam kena kencing.

Dalam kehampaan, berbagai-bagai persoalan timbul di kepala tentang sebab-sebab majlis tersebut dibatalkan.

Mungkin benar desas-desus yang mengatakan jentera PKR telah lumpuh akibat kepimpinan pusat yang tidak berkeruan. Badan negeri dan cabang PKR tidak berupaya menganjurkan sebarang majlis atau aktiviti. Sejak kebelakangan ini, Anwar Ibrahim terpaksa bertenggek di atas platform PAS untuk berceramah.

Mungkin Buku Jingga tidak mendapat respons yang diharapkan daripada rakyat. Rakyat tidak yakin PR dapat menunaikan janji-janji yang disaji dalam Buku Jingga. Rakyat membuat kesimpulan sedemikian berdasarkan prestasi buruk kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh PKR.

Mungkin PAS dan DAP tidak berapa komited dengan Buku Jingga. Sokongan yang diberi oleh PAS dan DAP setakat ini hanya melepaskan batuk di tangga. PAS dan DAP tidak memberi kerjasama untuk menyertai majlis-majlis penerangan Buku Jingga, hanya PKR yang hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

Walau apa pun sebab-sebab pembatalan majlis tersebut, yang membuat saya amat terkilan ialah tiada pemberitahuan tentang pembatalan telah dikeluarkan. Saya telah membuang wang dan masa untuk pergi ke Kuala Lumpur. PKR tidak prihatin dengan aktivis bawahan seperti saya.

Cara lewa PKR menganjur dan membatalkan majlis tersebut mencerminkan cara lewa PKR kepada janji-janji yang terkandung dalam Buku Jingga.



RAJA AZMI BIN RAJA AZMAN

25 February 2011

Perdana Menteri Bayangan yang Tidak Ada Kabinet Bayangan - Malcolm Puthucherry

Bagi para pengundi, apa yang mereka tidak mahu berlaku adalah satu kerajaan baru di Putrajaya yang awal-awal lagi akan mula bergaduh sengit dan bertelingkah sesama sendiri tentang siapakah yang akan diamanahkan untuk memimpin mana satu kementerian. Sekiranya terdapat satu kabinet bayangan, itu sedikit sebanyak akan memberi satu jaminan kepada rakyat bahawa pertelingkahan sedemikian rupa tidak akan berlaku. Itulah kelebihannya sekiranya terdapat kabinet bayangan.
oleh Dr. Malcolm Puthucherry melalui e-mel



Akhirnya kebenaran terbongkar juga – untuk sesiapa yang sudi melihatnya.

Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pakatan Rakyat (PR) tidak memerlukan kabinet bayangan tidak lain dan tidak bukan adalah satu pengakuan bahawa gandingan tiga parti yang diketuainya adalah satu permuafakatan yang lemah, tidak utuh dan tidak mantap.

Beliau memberi alasan jawatankuasa parlimen PR yang ada sekarang berfungsi sebagai kabinet bayangan dan sudah memadai. Oleh demikian, ujar beliau, tidak perlu ada kabinet bayangan.

Jelas itu satu alasan yang amat lemah untuk menutup sebab sebenarnya. Tidak ada siapa yang tahu apakah jawatankuasa parlimen PR yang wujud dan siapakah ahli-ahlinya. Begitulah keadaannya dua tahun selepas jawatankuasa-jawatankuasa itu dibentuk dan itulah tandanya jawatankuasa tersebut tidak berfungsi dengan baik sebagai kabinet bayangan.

Apa yang enggan dinyatakan oleh Anwar kepada umum dan sebab sebenar kenapa tidak ada kabinet bayangan adalah PR tidak mempunyai keutuhan dan visi bersama yang diperlukan demi mencapai persetujuan tentang pembahagian kementerian-kementerian antara tiga parti tersebut. Mereka juga tiada keberanian atau keyakinan untuk mengumumkan secara terbuka apa-apa persetujuan tentang pembahagian kabinet bayangan.

Bagi para pengundi, apa yang mereka tidak mahu berlaku adalah satu kerajaan baru di Putrajaya yang awal-awal lagi akan mula bergaduh sengit dan bertelingkah sesama sendiri tentang siapakah yang akan diamanahkan untuk memimpin mana satu kementerian. Sekiranya terdapat satu kabinet bayangan, itu sedikit sebanyak akan memberi satu jaminan kepada rakyat bahawa pertelingkahan sedemikian rupa tidak akan berlaku. Itulah kelebihannya sekiranya terdapat kabinet bayangan.

Masalah besar yang dihadapi oleh PR adalah sekiranya langkah diambil sekarang untuk membentuk kabinet bayangan, pergaduhan besar sesama sendiri itu berkemungkinan tinggi akan meletus. Ini seterusnya akan memalapkan apa-apa peluang untuk dipilih sebagai kerajaan baru dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Jadi dilemanya adalah: tidak ada kabinet bayangan sekarang, pengundi tidak akan memberi undi sebab khuatir akan bergaduh kemudian nanti; tetapi jika dibuat kabinet bayangan sekarang, pergaduhan akan berlaku sekarang dan ini mungkin mengakibatkan pengundi tidak tertarik untuk memberi undi. Seperti lazimnya, Anwar menyelesaikan masalah dengan menyapukannya ke bawah tikar dan berharap orang lain tidak perasan. Begitulah cara beliau menangani isu ini.

Selepas menjanjikan beberapa perubahan yang akan mereka buat dalan satu jangka waktu yang tetap sekiranya menang pilihanraya umum, ketiga-tiga parti pembangkang tersebut gagal pula untuk menjangka satu soalan lanjut yang lojik ditanya oleh para pengundi. Siapakah di antara kamu yang akan memikul amanah untuk menjayakan mana satu perubahan yang dijanji? Itu satu soalan yang munasabah oleh kerana kejayaan langkah perubahan itu banyak bergantung kepada siapakah yang memikul tanggungjawab langsung untuk menjayakannya. Itulah sebabnya satu kabinet bayangan merupakan satu keperluan demi memberi keyakinan kepada janji-janji semasa berkempen. Para pemimpin parti pembangkang, bagaimanapun, seolah selesa membuat kerja separuh jalan.

Sudah sekian lama, PKR, PAS dan DAP menjaja kata janji, "Berikanlah kami hak membentuk kerajaan, akan kami selesaikan segalanya, semuanya akan menjadi OK". Laungan itu kian kurang meyakinkan dan kurang menarik. Ketiga-tiga parti tersebut nampak gayanya tidak berkemampuan untuk menawarkan sesuatu yang lebih dari itu, dan tidak berupaya untuk menjadi satu gabungan padu dan mantap yang bersedia untuk memerintah negara. Mungkin kelebihan yang boleh mereka tawarkan cuma satu: mereka bukan BN. Itu sahaja. Itu bukanlah satu situasi yang sangat menyelerakan bagi para pengundi.

Bagi Anwar pula, keberanian beliau dalam menonjolkan dirinya sebagai perdana menteri bayangan tidak pula ditandingi oleh keberanian yang serupa dalam apa-apa usaha rumit untuk membentuk kabinet bayangan. Keganjilan situasi di mana perdana menteri bayangan tidak didokongi oleh kabinet bayangan tidak pula merunsingkan beliau. Begitulah membaranya cita-cita peribadi seseorang itu. Janji beliau kepada negara sekarang ini kemungkinan tidak berubah banyak dari masa beliau di dalam UMNO dan menjawat Timbalan Perdana Menteri iaitu "Jadikan saya perdana menteri, akan saya selesaikan segalanya, semuanya akan menjadi OK".



DR MALCOLM PUTHUCHERRY

(Diterjemah dari artikel asal dalam Bahasa Inggeris)

24 February 2011

Perbicaraan Liwat: Dahulu dan Sekarang - Kulop Miko

Ini satu hal lagi. Dahulu, Mahathir dibenci ramai sebab dia dikata bapak konspirasi. Sekarang ni siapa bapak konspirasinya? Kes bermula semasa Abdullah Badawi masih PM. Diakah kepalanya? Sekarang dia bukan PM lagi, Najib yang PM. Bolehkah konspirasi dipass-pass seperti bolasepak daripada satu PM ke satu PM? Mungkinkah apa yang berlaku sekarang bukan konspirasi? Heeeeesh... tak tahulah teman.
oleh Kulop Miko melalui e-mel



Perbicaraan mahkamah kes liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sedang lancar berlangsung sekarang. Setiap hari teman baca di internet lapurannya. Suratkhabar tak main dah. Teman tak sentuh pun suratkhabar sebab tak boleh harap langsung. Berat sebelah bebenor, bak kata orang
Perak.

Masa kes liwat DSAI yang pertama dulu, rajin juga teman pergi ke mahkamah. Memang susah nak dapat masuk ke bilik mahkamah. Kalau tak datang awal, jawabnya tak dapat masuklah sebab barisan orang yang menunggu nak masuk dah panjang dan ruang terhad. Ada kawan-kawan teman sanggup tidur di perkarangan mahkamah untuk masuk keesokan harinya. Jadi teman lebih kerap habiskan masa berlegar-legar di kawasan Masjid Jamek, tunggu DSAI masuk dan keluar bilik mahkamah sebab nak lambai dan jerit 'Reformasi' kat dia. Itulah sokongan moral namanya. Memang ramai orang masa itu. Boleh dikatakan setiap hari macam itu. Tujuannya tak lain dari nak beri sokongan moral kepada seorang insan yang pada pandangan kami sedang dizalimi.

Jadi teman hairan jugak baca semasa perbicaraan kes liwat 2 DSAI, tidak ramai orang yang hadir. Nampak gayanya tidak lagi seperti dulu. Lapuran portal berita pun sering menyatakan galeri awam tidak dipenuhi penuntun. Kenapa boleh jadi begitu? Orang tak mahu beri sokongan moral lagikah? Teman pun termenung: apa yang berbeza, apa yang sama antara liwat 1 dan liwat 2?

Dahulu DSAI di dalam penjara, tidak dibenarkan ikat jamin bagi satu pertuduhan yang lazimnya diberi ikat jamin. Sebab itu, ketara sungguh kezaliman yang dilakukan ke atas DSAI. Dan siapakah kepala konspirasi zalim itu? Rata-rata dikatakan Mahathirlah dalangnya. Jadi teman pun selain dari nak beri sokongan moral kepada DSAI, ada insentif tambahan untuk berkumpul di luar mahkamah: untuk memberi isyarat biadap dan kurang sopan kepada Mahathir sebab ada khabar yang mengatakan lagi ramai orang berkumpul luar mahkamah, lagi Mahathir sakit hati. Haaa... biar dia sakit hati banyak-banyak!

Sekarang DSAI tidak dalam penjara. Dia Ketua Pembangkang di Parlimen, bebas bergerak di mana-mana. Mungkin sebab itu ramai orang rasa tak perlu hadir atau berkumpul di mahkamah untuk beri sokongan moral. Lagipun, kalau orang ramai atau sedikit di mahkamah, jadi halkah kepada Najib? Rasa-rasanya dia tak ambil kisah pun orang berkumpul atau tidak untuk memberi sokongan moral kepada Anwar.

Ini satu hal lagi. Dahulu, Mahathir dibenci ramai sebab dia dikata bapak konspirasi. Sekarang ni siapa bapak konspirasinya? Kes bermula semasa Abdullah Badawi masih PM. Diakah kepalanya? Sekarang dia bukan PM lagi, Najib yang PM. Bolehkah konspirasi dipass-pass seperti bolasepak daripada satu PM ke satu PM? Mungkinkah apa yang berlaku sekarang bukan konspirasi? Heeeeesh... tak tahulah teman. Yang nyata perasaan meluat orang ramai kepada Mahathir tidak ada pula kepada perdana menteri yang ada sekarang. Mungkin juga itu salah satu sebab tak ramai orang di mahkamah.

Satu perkara lagi yang teman bingung dan hairan pasal kes liwat 2 ni: kenapalah Anwar biarkan jantan-jantan muda tinggi handsome ni berkeliaran di sekitarnya? Kalau dulu dah jadi mangsa fitnah hubungan intim dengan orang-orang sedemikian, bukankah lebih baik berwaspada dan elakkan dari orang macam itu menjadi pembantu pejabat lah, personal assistant lah, pembancuh kopi lah. Ini tidak. Dilantik orang macam si Saiful tu pula jadi staf pejabat. Bukan tu saja – dibawa pula ke hulu hilir luar negeri. Tak serik-serik kah Anwar ni? Haaa... tengok. Sekarang apa dah jadi?

Satu lagi pasal perbicaraan sekarang ni yang buat teman tercengang: ada pula sesi soaljawab dengan saksi yang tertutup. 'In camera' bak kata orang putih. Maksudnya, tidak boleh dilapurkan oleh media atau dituntuni oleh orang awam. Haaa... sahlah ini satu konspirasi, teman pikirkan. Banyak perkara yang pihak pendakwa tak mahu orang ramai tahu dan mahu disorokkan.

Alangkah terkejut beruknya teman bila dapat tahu yang minta sesi 'in camera' adalah ketua pihak pembelaan, Karpal Singh, the Tiger of Jelutong himself! Sungguh aneh dan mengecewakan. Apa pula yang hendak ditutup atau disorok oleh pihak pembelaan? Apatah lagi sesi yang tidak dibenarkan dilapur adalah soaljawab saksi utama pihak pendakwa iaitu Saiful sendiri. Kenapa Karpal bertindak sedemikian? Cukup lama teman dan ramai lagi tertunggu-tunggu untuk dia menyoal Saiful di hadapan mata dunia melalui soalan-soalannya untuk memburaikan rahsia busuk Saiful bahawa tuduhan dia terhadap Anwar adalah rekaan semata-mata. Itu semua tinggal fantasi.... sungguh malang.

Dan juga menghampakan. Oleh sebab sesi 'in camera' itu, banyak fakta-fakta kes yang dibongkar berkenaan apa yang telah berlaku tidak diketahui umum. Teman baca keterangan dari doktor-doktor, pakar DNA dan kimia dan sebagainya dan tak tahu hujung pangkal jawapan yang mereka beri. OK lah, banyak benda teknikal yang mereka sentuh. Tapi tergaru-garu kepala jugak teman bila terbaca sampel DNA diambil dari dada Saiful. Haaa...kalau dah liwat macam mana boleh sampai DNA ke dada kawan tu pulak? Hairan... cukup hairan.

Pernah teman bertanyakan seorang doktor kenalan teman: macam mana pula kes ini boleh dibawa ke peringkat pendakwaan sekiranya lapuran doktor dah mengatakan "tidak ada tanda konklusif penetrasi telah berlaku"? Bukankah itu bermakna liwat telah tidak berlaku?

Jawab doktor itu: jangan terlalu gopoh membuat kesimpulan sedemikian. "Tidak ada tanda konklusif penetrasi telah berlaku" tidak bermakna "Ada tanda konklusif penetrasi tidak berlaku". Terus beliau, "Sekiranya sebutir gelas tidak ada tanda jari, pakar yang memeriksa paling lebih akan lapurkan tidak ada tanda konklusif gelas telah disentuh. Adakah itu bermakna sah bahawa gelas tidak disentuh? Sudah tentu tidak sebab ia boleh disentuh dengan cara yang tidak meninggalkan tanda jari seperti memakai sarung tangan atau menggunakan pengepit dan lain-lain alat. Itu hanya boleh dimaklumkan oleh pakar sekiranya disoal dengan lebih lanjut dalam mahkamah, misalannya. Setakat lapuran awal, etika professional membenarkan dia menulis sesuatu yang tidak akan mempengaruhi siasatan, iaitu sesuatu yang neutral seperti "tidak ada tanda konklusif gelas telah disentuh".

Oh begitu, jawab teman. Tawar hati teman nak pergi ke mahkamah sekarang.



KULOP MIKO

22 February 2011

Saranan kepada Pakatan Rakyat untuk PRK Merlimau dan Kerdau - Syed Ahmad

PAS dijangka akan meletakkan calon di kedua-dua PRK tersebut. Keupayaan PAS akan teruji untuk menjalankan dua kempen pilihanraya serentak. Jentera dan dana yang terhad terpaksa diagihkan kepada dua kawasan. Sebaliknya, UMNO/BN yang mempunyai sumber kewangan tanpa had dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi kerajaan untuk dikerah sebagai jentera pilihanrayanya tidak akan terjejas dengan keputusan SPR tersebut.
oleh Syed Ahmad Syed Ibrahim melalui e-mel



Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan pilihan raya kecil serentak bagi DUN Merlimau di Melaka dan DUN Kerdau di Pahang boleh ditafsirkan sebagai satu langkah untuk memberi kelebihan kepada UMNO/BN.

PAS dijangka akan meletakkan calon di kedua-dua PRK tersebut. Keupayaan PAS akan teruji untuk menjalankan dua kempen pilihanraya serentak. Jentera dan dana yang terhad terpaksa diagihkan kepada dua kawasan. Sebaliknya, UMNO/BN yang mempunyai sumber kewangan tanpa had dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi kerajaan untuk dikerah sebagai jentera pilihanrayanya tidak akan terjejas dengan keputusan SPR tersebut.

Pucuk pimpinan Pakatan Rakyat wajib menggubal satu tindakan untuk mematahkan kelebihan BN yang diraih melalui keputusan SPR itu. Cadangan untuk mengagihkan calon antara PAS dan PKR untuk kedua-dua PRK tersebut harus diberi pertimbangan yang wajar.

DUN Merlimau ditakrifkan sebagai kawasan bercampur, di mana terdapat peratusan pengundi-pengundi bukan Melayu yang signifikan iaitu 35% (Cina 21%, India 14%). Jika diikut kelaziman, PKR mewakili PR di kawasan bercampur. Cabang PKR Jasin berupaya untuk menggerakkan satu kempen pilihanraya yang berkesan. Tambahan pula, PKR mempunyai Shamsul Iskandar Akin, seorang anak tempatan, yang berpotensi untuk menjadi seorang calon yang berwibawa.

Sumber dan kekuatan PKR akan dapat ditumpukan kepada satu kawasan sahaja. Peluang PKR untuk memenangi PRK Merlimau adalah lebih cerah berbanding dengan PAS.

DUN Kerdau pula ditakrif sebagai kawasan majoriti Melayu oleh sebab 89% pengundi adalah orang Melayu. Sekali lagi jika diikut kelaziman, PAS mewakili PR di kawasan majoriti Melayu. Pada PRU 12 yang lepas PAS mewakili PR untuk kerusi tersebut. UPU Kuala Krau dan UPU-UPU bersekitaran di Termerloh, Mentakab dan Jerantut berupaya untuk membina satu jentera pilihanraya yang mantap dan berkesan. PAS juga mempunyai bank undi (vote bank) di empat rancangan FELDA di kawasan tersebut.

Jentera dan dana PAS akan dapat ditumpukan kepada PRK Kerdau sahaja. Berdasarkan sentimen politik tanah air sekarang, PAS dijangka akan menang dengan mudah, Insya-Allah.

Meletakkan calon PKR di Merlimau dan calon PAS di Kerdau merupakan tindakan strategik yang bijak oleh Pakatan Rakyat bagi memenangi kedua-dua PRK tersebut. Pengorbanan PAS untuk memberi peluang kepada calon PKR di Merlimau akan meningkatkan semangat setiakawan antara parti-parti komponen PR.



SYED AHMAD SYED IBRAHIM

Sokongan Orang Melayu Kepada PAS Menurun? - Nik Adha

Kesangsian terhadap persefahaman antara PAS dan DAP bukan faktor utama yang mendorong kemerosotan sokongan orang Melayu kepada PR. Ramai orang Melayu telah menerima realiti tentang perlunya kerjasama dengan DAP untuk menamatkan hegemoni UMNO/BN. Pengundi-pengundi Melayu terutama yang di atas pagar mula beralih dari menyokong PR kerana bosan dengan permasalahan demi permasalahan yang melanda PKR. Malah ramai penyokong-penyokong tegar PR mula mempersoalkan keberkesanan PKR dalam memimpin pakatan tersebut.
oleh Nik Adha Nik Kamil melalui e-mel



Berdasarkan kepada keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang, Manek Urai, Galas dan Tenang, banyak pihak telah membuat kesimpulan bahawa sokongan pengundi Melayu kepada PAS telah menurun. Faktor utama yang dikaitkan dengan kehilangan sokongan ini ialah ramai orang Melayu tidak senang dengan pakatan antara PAS dan DAP. PAS dilihat sebagai parti yang telah banyak berkorban demi pakatan tersebut.

Tanggapan ini telah merunsingkan PAS sehingga terpaksa menganjurkan sebuah konvensyen nasional pada Sabtu lepas di Shah Alam, untuk menangkis tanggapan tersebut. PAS seolah-olah menerima kenyataan bahawa sokongan orang Melayu telah menurun. Respon PAS kepada isu tersebut berkisar kepada manipulasi media arus perdana milik UMNO/BN. Media arus perdana dituduh sebagai pencacai untuk melemahkan persafahaman antara PAS dan DAP.

Benarkah sokongan orang Melayu kepada PAS telah menurun?

Daripada kajian terperinci keputusan-keputusan PRK kebelakangan ini dan jika dibandingkan dengan keputusan PRU-12 sebagai kayu ukuran, nyata sokongan orang Melayu kepada PAS tidak berubah. Yang ketara ialah sokongan orang Melayu kepada Pakatan Rakyat telah merudum. Pengundi-pengundi Melayu yang memilih PAS pada PRU-12 masih mengundi PAS pada PRK-PRK tersebut. Akan tetapi ramai pengundi Melayu, terutama pengundi 'atas pagar', yang telah mengundi PR pada PRU-12 telah memberi undi mereka kepada UMNO/BN lantas membawa kepada kekalahan calon-calon PAS di PRK-PRK tersebut.

Jadi, mengapa orang Melayu kian menolak PR?

Kesangsian terhadap persefahaman antara PAS dan DAP bukan faktor utama yang mendorong kemerosotan sokongan orang Melayu kepada PR. Ramai orang Melayu telah menerima realiti tentang perlunya kerjasama dengan DAP untuk menamatkan hegemoni UMNO/BN.

Pengundi-pengundi Melayu terutama yang di atas pagar mula beralih dari menyokong PR kerana bosan dengan permasalahan demi permasalahan yang melanda PKR. Malah ramai penyokong-penyokong tegar PR mula mempersoalkan keberkesanan PKR dalam memimpin pakatan tersebut.

Kredibiliti PKR kian terhakis. PKR dilihat seperti UMNO yang berbaju baru. Insiden seperti wakil-wakil rakyat PKR keluar parti, proses pemilihan parti yang pincang dan kes liwat Anwar Ibrahim telah menyebabkan PKR hilang fokus dalam meneruskan momentum tsunami 2008. Kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh PKR juga gagal menyerlah sebagai kerajaan yang berwibawa. Faktor-faktor ini telah membuat rakyat mempersoalkan Anwar yang telah banyak menabur janji tetapi tidak ditunaikan.

PAS, sebaliknya, telah bergiat lebih mantap dan berkesan sejak kejayaan besar pada PRU-12. Aktiviti-aktiviti politik seperti ceramah, forum, konvensyen dan perhimpunan bertambah sejak 2008. Perhimpunan Pemuda PAS di Kedah pada Sabtu lepas berjaya melibatkan 30,000 orang ahli. Kempen-kempen anjuran PAS seperti Kempen Anti Saman Ekor boleh dijadikan sebuah gerakan rakyat. PAS lebih prihatin dengan peranan media baru dan sedang menggembelingkan semua saluran-saluran di dunia siber seperti internet, facebook, twitter dan seumpamanya untuk kegiatan politik. Semua usaha-usaha ini telah meningkatkan sokongan orang Melayu kepada PAS. Hasilnya akan dapat dilihat pada PRU-13 akan datang.

Kejayaan PAS pada PRU-13, walau bagaimanapun, bergantung kepada rakan-rakan dalam PR. Faktor PKR yang telah hilang populariti harus diambilkira. PAS dan DAP terpaksa menggalas bebanan PKR yang bermasalah. Justeru, dalam usaha PR untuk menyaingi BN, PAS dan DAP mesti mengorak langkah untuk mewujudkan lanskap politik nasional yang berpaksikan Pakatan Rakyat yang benar-benar berwibawa.

Secara praktikalnya kita berterima kasih atas sumbangan Anwar dan PKR dalam mengemudi PR, tetapi sudah sampai masanya PAS mengambil alih kepimpinan dari PKR untuk memimpin PR dengan lebih berkesan. PKR harus menerima realiti dan secara berlapang dada untuk berundur demi kesinambungan perjuangan PR.



NIK ADHA NIK KAMIL

18 February 2011

Azmin, Jangan Biadap. - Wan Nasuha

Rasa sedih pula oleh kerana Azmin telah memilih untuk mengutarakan satu isu sensitif secara terbuka melalui media, bukan dalam mesyuarat pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat. Seolah-olah dengan jawatan Timbalan Presiden yang baru dimenangi, beliau berhak mengeluarkan arahan kepada pucuk pimpinan PR.
oleh Wan Nasuha Wan Hassan melalui e-mel



Rasa terharu apabila membaca kenyataan Azmin Ali mengenai peruntukan kerusi dalam Pakatan Rakyat. Rasa lucu pun ada. Rasa sedih pun ada. Menurut Azmin, formula PAS akan bertanding di kawasan majoriti Melayu, DAP di kawasan majoriti Cina dan PKR di kawasan bercampur tidak boleh digunapakai lagi kerana PAS dikatakan mahu bertanding di kawasan bercampur.

Rasa terharu oleh kerana sebenarnya kumpulan sasaran Azmin bukan ahli-ahli PAS atau DAP tetapi ahli-ahli PKR. Azmin cuba menggunakan isu peruntukan kerusi, suatu persefahaman asas di antara para pemimpin PR, untuk menonjolkan dirinya sebagai Timbalan Presiden. 'Grandstanding' bak kata orang putih. Jawatan yang disandang beliau adalah hasil daripada proses pemilihan yang pincang dan beliau dipilih oleh hanya 9% daripada jumlah ahli-ahli PKR. Beliau sedar yang beliau hanya seorang Timbalan Presiden 'itik tempang' (lame-duck). Untuk menutup 'inferiority complex' ini, terpaksalah bercakap mengenai satu isu besar seperti isu peruntukan kerusi.

Rasa lucu oleh kerana Azmin masih dalam sindrom penafian. Hakikatnya, sejak 2008 telah ramai wakil rakyat PKR meninggalkan parti tetapi tiada seorang pun wakil rakyat PAS yang berbuat demikian. Alasan yang diberi oleh Anwar Ibrahim ialah ramai calon PKR pada PRU 12 adalah bidan terjun yang ditangkap muat. Kalau dah sebegitu ketandusan calon, kenapa masih gelojoh mahu bertanding di kawasan bercampur? Berilah peluang kepada PAS yang mempunyai proses pemilihan calon yang lebih teliti dan rapi.

Rasa sedih pula oleh kerana Azmin telah memilih untuk mengutarakan satu isu sensitif secara terbuka melalui media, bukan dalam mesyuarat pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat. Seolah-olah dengan jawatan Timbalan Presiden yang baru dimenangi, beliau berhak mengeluarkan arahan kepada pucuk pimpinan PR. Bayangkan jika Anwar dipenjarakan atau lari ke luar negara, mampukah Azmin memainkan peranan seperti yang dimainkan oleh Anwar dalam PR sekarang? Wajarkah dia berbuat sedemikian? Sanggupkah PAS dan DAP mengikut telunjuk seorang pemimpin 'itek tempang'?

Sudah tiba masanya untuk PAS dan DAP mengkaji satu pakatan tanpa PKR. Realitinya, sokongan orang bukan Melayu kepada PAS kian bertambah, begitu juga ramai orang Melayu telah menerima DAP. Kawasan-kawasan bercampur boleh diagih antara PAS dan DAP. Hanya dengan strategi sedemikian dapat PR memenangi PRU 13.

Sekian. Wasallam.



WAN NASUHA BT. WAN HASSAN

16 February 2011

Pergolakan di Mesir: Persamaan, Perbezaan dengan Malaysia dan Opportunisme Politik - Syed Ahmad

Perkara paling ketara yang dapat diperhatikan sepanjang revolusi yang bermula pada 25 Januari 2011 di Mesir adalah kebijaksanaan dan disiplin golongan penentang rejim Mubarak, terutamanya Ikhwan Muslimin, dalam keengganan mereka untuk menjadi opportunis politik dan menggunakan gerakan protes rakyat tersebut sebagai satu cara atau vehicle untuk merebut kuasa politik. Ini adalah disebabkan kesedaran dan pegangan di kalangan mereka bahawa perubahan atau reformasi adalah lebih penting dari kuasa atau jawatan politik semata-mata.
oleh Syed Ahmad bin Syed Ibrahim melalui e-mel



Apabila terjadinya kebangkitan rakyat menentang Hosni Mubarak secara besar-besaran di Mesir, di Malaysia pula kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang pastinya sama ada secara senyap-senyap atau terang-terang membuat perbandingan dan bertanya terdapatkah apa-apa persamaan ataupun perbezaan di antara kedua-dua negara. Soalan pokok yang mahu dicari jawapan: bolehkah apa yang terjadi di Mesir berlaku di Malaysia?

Secara pandangan mata kasar, beberapa persamaan memang ada.

Pertama, persamaan paling jelas adalah kedua-dua negara mempunyai penduduk majoriti Islam. Bagaimanapun kalau berdasarkan laporan media yang tidak sering putus, faktor agama semata-mata bukanlah yang paling penting dalam mencetus kebangkitan rakyat Mesir. Para penunjuk perasaan terdiri dari orang Islam dan juga Kristian Koptik. Oleh itu, persamaan dari segi agama ini mungkin boleh dianggap sebagai tidak begitu relevan dalam usaha untuk menjawab soalan pokok yang dinyatakan di atas.

Kedua, tempoh pemerintahan rejim yang menjadi sasaran protes. Di sini ada persamaan dan juga perbezaan. Di Mesir, usia rejim Mubarak telah menjangkau tiga dekad sementara di Malaysia pula tampuk pemerintahan negara telah dipegang selama lebih lima dekad oleh Barisan Nasional/Perikatan, yakni sejak negara merdeka. Sekiranya dipandang dari segi ini, memanglah ada persamaannya. Bagaimanapun, di Malaysia orang yang memegang jawatan ketua eksekutif, iaitu perdana menteri, telah bertukar sebanyak lima kali dan tidak seperti Mubarak di Mesir. Perdana menteri sekarang, Najib Tun Razak, baru dua tahun memegang jawatan. Ini adalah satu perbezaan. Kemarahan dan kemuakan rakyat Mesir dapat ditumpukan kepada keperibadian Mubarak kerana dialah yang telah begitu lama memerintah negara dan boleh dianggap punca segala kelemahan dan kesusahan masyarakat Mesir. Adalah menjadi 'open question' ataupun soalan tiada berjawapan buat masa ini sama ada perkara yang sama boleh dikatakan terhadap Najib.

Ketiga, kepincangan masyarakat yang menjadi bahan dan sebab musabab protes. Di dalam hal ini, terdapat banyak persamaan di antara Mesir dan Malaysia.

Korupsi dan penyelewengan kuasa adalah isu yang mendapat perhatian dan menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat, baik di Mesir, baik di negara ini. Dan ianya bukanlah perkara baru dalam mencetus kemarahan rakyat. Amalan korupsi memang terdapat di kedua-dua negara. Janji pemerintah untuk membasmi korupsi secara serius jika dilihat tidak dikotakan pasti akan menambahkan kebencian rakyat. Apatah lagi sekiranya yang mengamal rasuah dan kronisma adalah pemerintah itu sendiri.

Di Mesir, institusi-institusi negara telah disalahgunakan untuk menjadi alat politik bagi memperkuatkan cengkaman kuasa rejim Mubarak. Badan-badan kerajaan seperti polis dan pasukan risikan dan keselamatan dalam negeri digunakan untuk menekan dan menindas mana-mana golongan dan anasir yang berani bersuara menentang rejim. Media massa di bawah kuasa rasmi rejim dan juga swasta dikawal untuk membendung suara dan mesej pihak yang membangkang kerajaan. Di dalam aspek ini, sudah pasti di Malaysia, persepsi umumnya adalah tiada bezanya antara Mesir dan Malaysia. Ini berdasarkan apa yang rakyat telah saksikan berlaku sejak pentadbiran perdana menteri ke-empat, Mahathir Mohamad.

Kadar pengangguran lepasan universiti yang tinggi juga telah dikatakan sebagai salah satu faktor penting dalam memulakan kebangkitan rakyat Mesir. Ini adalah kerana anak-anak muda merupakan golongan utama dan awal dalam menganggotai protes jalanan yang telah berlaku. Ekonomi negara itu yang tidak berkembang dengan kadar yang membolehkan peluang pekerjaan bertambah dan mencukupi bagi para lepasan universiti telah menjadi asas bagi 'unfulfilled expectations' atau harapan yang tidak dipenuhi di kalangan anak muda lepasan universiti. Ada pemerhati yang menganggap faktor ini lebih penting dari kemiskinan rakyat dalam mencetus revolusi jalanan di Mesir. 'Unfulfilled expectations' di kalangan generasi muda terpelajar ini memberikan kesimpulan kepada mereka bahawa sekiranya perubahan atau reformasi masyarakat hendak dihidupkan, syarat utama yang perlu dipenuhi adalah perubahan rejim atau 'regime change'.

Adakah mirip-miripnya juga di Malaysia? Pengangguran lepasan universiti memang ada dan kebelakangan ini dikatakan seramai lebih 60,000 siswazah telah tidak mendapat pekerjaan, satu angka yang boleh juga dianggap tinggi. Bagaimanapun, adakah ini satu angka yang sudah mencecah tahap kritikal yang mana 'unfulfilled expectations' akan menjadi bahan untuk satu kebangkitan rakyat sama seperti apa yang telah dilihat di Mesir? Setakat ini, tiada tanda-tanda yang mengiyakan.

Selepas berbicara tentang persamaan yang mungkin ada di antara Mesir dan Malaysia, apa pula perbezaan yang dapat dikenalpasti?

Di Mesir, pilihanraya yang telah dijalankan rata-rata dipersoal dan dicurigai kredibilitinya, terutama sekali yang terkini diadakan pada November dan Disember 2010. Di dalam pilihanraya itu, Mubarak telah diumumkan mendapat 97% undi sokongan dari para pengundi Mesir, satu keputusan yang tidak dipercayai oleh rakyat Mesir sendiri. Oleh sebab proses pilihanraya kerajaan dianggap tidak boleh dipakai sebagai mewakili sentimen dan kehendak rakyat, maka pilihan yang tinggal adalah demonstrasi jalanan.

Di Malaysia, pilihanraya secara umumnya masih boleh dianggap sebagai bebas (free), walaupun terdapat beberapa tandatanya sama ada ia boleh dianggap adil (fair). Perkara-perkara seperti undi pos dan daftar pengundi yang kurang kemas serta penguatkuasaan peraturan pilihanraya yang tidak konsisten menjadi asas kritikan bahawa proses pilihanraya di Malaysia adalah kurang adil.

Bagaimanapun, berdasarkan pilihanraya 2008, yang mana parti pemerintah telah kalah di banyak kerusi dan negeri, pilihanraya di Malaysia boleh dikira masih bebas dan mempunyai potensi sebagai cara untuk rakyat menukar kerajaan. Jadi, di dalam aspek ini, perbezaan ini berbanding Mesir mungkin akan mengurangkan kebarangkalian protes jalanan besar-besaran berlaku di Malaysia sebagai salah satu kaedah untuk 'regime change'.

Sekiranya terjadi atau meletusnya kebangkitan rakyat Malaysia, seperti yang terjadi di Mesir, apa pula faktor yang boleh membawa kepada kejayaan aspirasi rakyat ataupun sebaliknya, yakni kegagalan?

Perkara paling ketara yang dapat diperhatikan sepanjang revolusi yang bermula pada 25 Januari 2011 di Mesir adalah kebijaksanaan dan disiplin golongan penentang rejim Mubarak, terutamanya Ikhwan Muslimin, dalam keengganan mereka untuk menjadi opportunis politik dan menggunakan gerakan protes rakyat tersebut sebagai satu cara atau vehicle untuk merebut kuasa politik. Ini adalah disebabkan kesedaran dan pegangan di kalangan mereka bahawa perubahan atau reformasi adalah lebih penting dari kuasa atau jawatan politik semata-mata.

Di samping itu mereka sedar bahawa gerakan protes besar-besaran itu telah timbul secara spontan dan dianjur atau disusun oleh golongan muda yang tidak mempunyai apa-apa pertalian kepada mana-mana parti politik. Revolusi yang tercetus itu adalah bagaikan anak kecil yang mesti dibenarkan untuk membesar sendiri. Sekiranya Ikhwan atau mana-mana pertubuhan politik tergesa-gesa atau terlalu gopoh untuk mendakap anak kecil itu dan mendakwa anak kecil itu dia yang punya, sudah pastinya musuh-musuh revolusi akan membunuh anak kecil itu. Di situlah terletaknya kelebihan parti-parti pembangkang di Mesir. Mereka tidak membenarkan cita-cita peribadi dan keinginan untuk kuasa politik mempengaruhi tindak tanduk mereka. Yang paling penting, reformasi atau revolusi dalam masyarakat mereka mesti terdahulunya diberi ruang dan peluang untuk wujud. Sekiranya dunia kagum atas keberanian dan kecekalan rakyat Mesir dalam berdemonstrasi beramai-ramai menumbangkan Mubarak, wajar juga dunia menyanjung kewarasan dan kebijaksanaan pertubuhan pembangkang Mesir dalam menangani pergolakan yang melanda negara mereka.

Persoalannya sekarang adakah terdapat barisan pembangkang yang sedemikian rupa di negara kita?

Mungkin untuk mencari jawapannya, perlu kita amati tindak-tanduk ketua pembangkang di Parlimen Malaysia yang juga pemimpin parti pembangkang, yakni Dato' Seri Anwar Ibrahim, sepanjang karier politik beliau.

Beliau telah muncul sebagai seorang pemimpin pelajar ketika menjadi mahasiswa di Universiti Malaya. Jawatan yang dipegang olehnya sebagai presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya telah memberi beliau peluang untuk menganjur dan mengerah tenaga pelajar secara besar-besaran untuk berdemonstrasi pada tahun 1971 semasa lawatan Thanom Kittikachorn, perdana menteri Thailand, ke Kuala Lumpur. Punca demonstrasi adalah penindasan rejim Kittikachorn ke atas orang Islam Patani yang menyemarakkan perjuangan pemisah di wilayah itu. Demonstrasi pelajar yang berlaku adalah antara yang terbesar pernah diadakan di kota Kuala Lumpur. Selepas demonstrasi itu, Anwar menjadi terkenal sebagai seorang pemimpin dan aktivis pelajar yang hebat.

Reputasi dan pengaruh beliau terus menyerlah apabila tunjuk perasaan mahasiswa besar-besaran berlaku lagi pada tahun 1974 untuk membantah dasar kerajaan terhadap golongan miskin. Punca demonstrasi adalah kebuluran yang dikatakan telah berlaku di daerah Baling, Kedah. Anwar telah dikenali sebagai ketua demonstrasi tersebut dan ditangkap di bawah ISA.

Selepas dibebaskan dari tahanan ISA, Anwar menggunakan kemasyhuran beliau sebagai seorang pemimpin pelajar dan aktivis Islam untuk menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Dengan itu juga, reputasi beliau sebagai seorang pejuang Islam menyerlah dan ABIM muncul sebagai sebuah pressure group atau kumpulan desakan untuk terus mendapat perhatian kerajaan dan masyarakat umum.

Pada tahun 1982, Mahathir Mohamad, perdana menteri ketika itu, dalam usahanya untuk menarik sokongan pergerakan Islam yang kini kuat pengaruhnya, telah memujuk Anwar untuk menyertai parti pemerintah iaitu Umno. Anwar bersetuju dan akhirnya pada 1993 berjaya menjadi timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri negara.

Apabila diamati babak-babak di atas, Anwar adalah seorang yang bijak menggunakan peluang untuk memajukan karier politiknya. Sentimen dan pergolakan semasa digunakan oleh beliau untuk menonjolkan kepimpinannya. Teras perjuangan juga tidak dikecualikan dan berubah-ubah demi menguatkan reputasi dan mengembang pengaruh serta jawatan – dari pejuang Bahasa Melayu yang kuat bau idealogi nasionalisnya, kepada aktivis Islam anti-nasionalisma, dan balik kepada nasionalis semasa di dalam Umno.

Pada tahun 1998 ketika ekonomi negara dilanda krisis matawang, Anwar telah tercium peluang untuk menambah kuasa berasaskan ketidakpuasan umum terhadap pemerintahan Mahathir. Pada tahun yang sama, gelombang reformasi dan kebangkitan rakyat Indonesia menentang rejim Suharto telah berjaya menumbangkan Suharto sebagai presiden republik itu. Isu 'Korupsi, Kronisme, Nepotisme' adalah bahan gelombang Reformasi di Indonesia dalam menamatkan pemerintahan Suharto. Anwar telah mengeksploitasi sentimen yang serupa dalam cubaan beliau untuk mengetepikan Mahathir. Bagaimanapun percaturan Mahathir lebih pantas dan Mahathir telah membuang Anwar dari jawatan dan parti.

Krisis politik yang menyusul juga telah digunakan oleh Anwar untuk menonjolkan diri beliau sebagai seorang pejuang reformasi yang berani menentang Mahathir yang kian dibenci ramai. Beliau menjadi ikon gerakan reformasi apabila dipenjarakan oleh Mahathir pada September 1998.

Selepas dibebaskan dari penjara pada tahun 2004, Anwar terus dianggap sebagai pemimpin reformasi dan selepas pilihanraya 2008 dilihat sebagai pemimpin pembangkang yang telah berjaya membawa kemenangan besar kepada parti-parti pembangkang. Teras perjuangan beliau kali ini adalah politik kepelbagaian kaum di samping dikenali di peringkat antarabangsa sebagai seorang demokrat Islam.

Terkini, setelah melihat revolusi spontan yang berlaku di Tunisia dan Mesir, adalah jelas kelihatan Anwar sedang giat mengekspoloitasi peristiwa-peristiwa tersebut untuk membentuk satu mindset di kalangan rakyat Malaysia bahawa pemerintahan negara sekarang ini adalah sama dengan rejim-rejim yang telah tumbang di negara-negara tersebut, dan beliau adalah pemimpin barisan pembangkang yang senada dan sehati dengan rakyat jelata yang mengambil bahagian dalam protes jalanan di Mesir dan Tunisia.

Setelah diamati karier politik Anwar Ibrahim, jawapan kini boleh diperolehi bagi soalan yang dikemukakan di atas: adakah tokoh politik pembangkang di Malaysia mempunyai cukup kebijaksanaan dan disiplin politik untuk tidak mengalah kepada nafsu gilakan kuasa dan political opportunism sekiranya tercetusnya kebangkitan rakyat secara spontan menentang kezaliman pemerintah?

Jawapannya adalah tidak. Rekod tindak-tanduk Anwar sepanjang karier politiknya menunjukkan beliau akan tidak teragak-agak untuk mengambil peluang dari kebangkitan rakyat untuk menghadapankan cita-cita peribadi beliau, tidak seperti Ikhwan di Mesir. Pendek kata sekiranya beliau adalah pemimpin pembangkang di Mesir pada 25 Januari 2011, revolusi rakyat akan berakhir dengan kekalahan dan kehampaan akibat sikap political opportunism beliau.



SYED AHMAD BIN SYED IBRAHIM

15 February 2011

Camno nak handel Mallot? - Mohd. Ariff Sabri

Ada orang kata, kita tak perlu layan Mallot sebab dia bukan taraf itu dan ini. Adakah ini bermaksud, hanya bila kita ada taraf dan kedudukan, maka kita ada hak untuk beri komen? Kalau macam saya ADUN pencen, dikira takde taraf, tak boleh beri pandangan ke atas buah fikiran bangang Pak Menteri, ADUN atau MP?



Saya tak tahu apa nak cakap. Apo nak den kato?

Kita ada menteri yang tak mampu berdebat, maka saranannya ialah mengenakan arahan tidak boleh masuk ke negara ini. Jadi kalau caliber menteri kita hanya berdaya menggunakan kuasa fiat dan undang undang, orang akan mentertawakan kemampuan minda bangsa 1 Malaysia. John Mallot bekas duta USA telah menulis suatu artikel. Artikel tersebut di katakan agak keras mengecam pemerintahan DS Najib.

Kita bebas menyatakan kita tidak setuju. Kita validatelah bangkangan kita dengan penghujjahan. Kita lawan minda dengan minda.

Saya sendiri telah menulis dua artikel sendiri (sini dan sini) menyatakan tidak bersetuju dengan pandangan Mallot. Sebelum itu saya telah muat-turun satu artikel oleh Umar Mukhtar. Saya pun kena hentam dalam artikel yang pertama. Dalam artikel kedua bila saya mengupas point by point, kita dapati penghujjahannya melarat kepada perkara lain.

Kepada saya itu petanda bahawa apa yang Mallot katakan bukanlah definitive. Maka kalau ianya bukan definitive, apa pasal kita hilang akal sebentar dan mahu kenakan travel ban?

Sepatutnya, kita jemput Mallot datang untuk memberi pandangannya. Dan jika Nazri terror, dia boleh berdebat dengan Mallot. Kita akan sokong kalau dia menunjukkan kejantanannya dalam gelanggang.

Kalau menteri UMNO bersikap tongong macam ini, susahlah kita hendak mempertahankan kredibiliti kepimpinan UMNO. Ada orang kata, kita tak perlu layan Mallot sebab dia bukan taraf itu dan ini. Adakah ini bermaksud, hanya bila kita ada taraf dan kedudukan, maka kita ada hak untuk beri komen? Kalau macam saya ADUN pencen, dikira takde taraf, tak boleh beri pandangan ke atas buah fikiran bangang Pak Menteri, ADUN atau MP?

Ada menteri kata pandangan Mallot ketinggalan zaman. Kalau ketinggalan zaman, ekau tunjukkan di mano jang. Jika main beri kenyataan yang umum, tidaklah ekau terer eh jang.

Kalau kita nak ban orang sebab dia beri pandangan yang tidak menyenangkan kita, ini namanya macam kebudak-budakan.

Yang paling saya meluat ialah kita memperkecilkan pandangan Mallot sebab dia dikatakan berkawan dengan Anwar Ibrahim. Siapa dia nak berkawan sepatutnya tidak mendatangkan masalah kepada kita. Anwar Ibrahim ini dahulukan Timbalan Perdana Menteri kita dan Timbalan Presiden UMNO. Suatu ketika, semua mereka yang sekarang ini dok hentam Anwar cium tangan Pak Sheikh. Kita harus membezakan antara penyakit peribadi dan ingatan tulus ikhlas.

Wallahu'alam bissawab.

Selamat Jalan PKR - Mat Saman Kati

Sebelum menang, macam-macam janji. Macam-macam harapan yang ditaburkan. Selepas menang, janji entah kemana, harapan entah kemana...



PKR pasca 2008, tak sama dengan PKR pra-2008. PKR sebelum menang, tak sama dengan PKR selepas menang.

Sebelum menang, macam-macam janji. Macam-macam harapan yang ditaburkan. Selepas menang, janji entah kemana, harapan entah kemana.

Aku dah baca banyak komen. Aku dah dengar banyak alasan. Aku dah tengok banyak contoh. Dan aku dah rasa banyak pengalaman.

Cukup lah sampai disini. Aku tak mau lagi bersubahat dengan mereka yang mungkir janji. Sebab mungkir janji itu adalah sifat munafik.

Aku tak mau dengar alasan lagi. Sebab alasan hanyalah helah untuk menutup kelemahan.

Aku tak mau kutuk lagi, sebab itu bukan contoh yang baik.

Dengan itu, aku mengambil sikap untuk berundur dari PKR. Aku bukan keluar PKR, sebab aku masih lagi memegang prinsip yang diperjuangkan. Tetapi aku tak sanggup lagi berada dalam PKR yang ada hari ini kerana ianya tidak lagi memegang prinsip yang diperjuangkan.

Maka dengan ini, aku mengisytiharkan, bahawa aku bukan lagi ahli PKR, bukan lagi penyokong PKR dan tidak ada kena mengena dengan PKR. Tetapi bukan bermakna aku memusuhi semua kerabat PKR. Masih ramai mereka yang didalam PKR yang aku hormati. Tetapi oleh kerana ianya dipimpin oleh mereka yang tidak lagi aku hormati, maka aku tidak lagi mahu bersubahat dengan mereka.

Selamat jalan PKR.

04 February 2011

Ulasan Keputusan Pilihan Raya Kecil Tenang - Mazlan Mutallib

Kelemahan yang terdapat di dalam PR dan kurang mantapnya pakatan itu sebagai satu gabungan politik pada dasarnya adalah berpunca dari kelemahan pimpinan di dalam PKR. Pucuk pimpinan parti itulah yang yang sering disebut-sebut sebagai faktor penggandingan kesefahaman dan halatuju di antara parti-parti lain yakni PAS dan DAP yang menganggotai pakatan tersebut. Pimpinan PKR yang lemah dan telah tidak menjalankan tanggungjawabnya untuk menangani permasalahan dan percanggahan yang telah timbul dan mungkin akan terus timbul di dalam permuafakatan politik itu memberi kesan negatif kepada PR. Juga masalah dalaman PKR dan dalam negeri Selangor yang diperintahnya memberi gambaran negatif kepada umum. Para pengundi mungkin telah melihat akan kelemahan ini dan di Tenang, PASlah yang telah menerima penangan dan tempiasnya.
oleh Mazlan Mutallib melalui e-mel



Calon BN untuk pilihanraya kecil Tenang, Azahar Ibrahim
dijulang penyokong setelah keputusan diumumkan.
Calon BN ini menang dengan majoriti 3,707 undi.
Pilihanraya kecil kawasan DUN Tenang pada 30 Januari telah berakhir dengan kemenangan calon BN ke atas calon PAS, seperti yang telah dijangkakan oleh banyak pihak.

Ini adalah berasaskan hakikat bahawa kawasan tersebut memang telah sebegitu lama asyik memilih wakil dari Umno/BN ke DUN Johor dan juga terdapat tiga penempatan FELDA yang merupakan kubu kuat Umno di dalam kawasan tersebut.

Bagaimanapun, memandangkan penurunan mendadak majoriti kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-12 (PRU 12) pada Mac 2008, iaitu lebih kurang 2,500 undi daripada lebih 5,000 semasa pilihan raya 2004, maka Pakatan Rakyat (PR), yang diwakili oleh calon dari PAS, beranggapan bahawa terdapat peluang untuk membuat kejutan.

Ini pula berdasarkan faktor terdapatnya peratusan pengundi bukan Melayu yang tinggi iaitu 52%, berbanding pengundi Melayu sebanyak 48%. Walaupun kawasan tersebut secara tradisinya mempunyai ahli parlimen MCA dan mempunyai reputasi sebagai kubu MCA, PRU 12 telah melihat ramai pengundi Cina dan India memberi undi kepada calon PAS. Peratusan pengundi Cina yang berbuat demikian adalah 64% manakala bagi pengundi India peratusan mengundi PAS adalah 50%.

Faktor tambahan yang menambahkan harapan PAS untuk menang adalah calon parti itu seorang anak tempatan yang pernah bekerja sebagai guru di kawasan tersebut dan sudah dikenali dan disenangi ramai.

Walau tidak menang sekalipun, adalah juga harapan PAS dan PR untuk sekurang-kurangnya terus menguncupkan lagi majoriti kemenangan BN dari 2,500 undi yang diraih semasa PRU 12.

Keputusan pilihan raya kecil Tenang setelah diumumkan secara rasmi amat mengecewakan bagi PAS.

Undi PAS telah mendadak turun dari 2,992 berbanding 3,875 yang didapati dalam PRU 12. Ini adalah penurunan 883 undi atau sebanyak 23% dari pilihan raya sebelumnya.

Peralihan sokongan besar-besaran pengundi Cina dari BN ke PAS telah tidak menjadi kenyataan. Peralihan inilah yang diharap-harapkan sangat oleh PAS dan PR bagi menembus kubu BN tersebut. Peratusan pengundi Cina yang mengundi PAS adalah dianggar 64%, sama seperti yang berlaku semasa PRU 12.

Manakala bagi pengundi Melayu, peratusan yang memberi sokongan kepada BN naik sebanyak 4% kepada 83.3% berbanding PRU 12. Pengundi India juga naik peratusannya yang mengundi BN iaitu lebih 80% berbanding hanya 50% semasa PRU 12.

Penurunan sokongan kepada PAS secara drastik ini tidak diramal langsung sebelum pilihan raya kecil ini.

Satu-satunya kesimpulan yang mungkin boleh dibuat berdasarkan keputusan pilihan raya kecil Tenang ini ialah sokongan kepada pembangkang sebelum ini bukanlah bersifat tegar.

Berpunca dari ketidakpuasan hati dan marah yang amat sangat di kalangan para pengundi terhadap kerajaan BN yang diterajui oleh Abdullah Badawi, 'tsunami' PRU 12 telah berlaku di mana ramai calon parti pembangkang telah meraih banyak undi dari orang yang sebelum itu tidak pernah mengundi parti pembangkang. Ini juga telah terjadi di Tenang pada Mac 2008, walaupun calon pembangkang tidak menang.

Pada pilihan raya kecil Tenang kali ini, pengundi mungkin telah melihat dan sedar bahawa Pakatan Rakyat yang disertai oleh PAS adalah satu pakatan politik yang serba lemah dan kurang mantap. Statistik kawasan peti undi menunjukkan 11 dari 12 kawasan peti undi telah dimenangi oleh BN berbanding hanya 9 dari 12 semasa PRU 12. Pengundi yang dahulunya mengundi PAS memilih untuk tidak memberi sokongan kepada parti itu lagi.

Kelemahan yang terdapat di dalam PR dan kurang mantapnya pakatan itu sebagai satu gabungan politik pada dasarnya adalah berpunca dari kelemahan pimpinan di dalam PKR. Pucuk pimpinan parti itulah yang yang sering disebut-sebut sebagai faktor penggandingan kesefahaman dan halatuju di antara parti-parti lain yakni PAS dan DAP yang menganggotai pakatan tersebut. Pimpinan PKR yang lemah dan telah tidak menjalankan tanggungjawabnya untuk menangani permasalahan dan percanggahan yang telah timbul dan mungkin akan terus timbul di dalam permuafakatan politik itu memberi kesan negatif kepada PR. Juga masalah dalaman PKR dan dalam negeri Selangor yang diperintahnya memberi gambaran negatif kepada umum. Para pengundi mungkin telah melihat akan kelemahan ini dan di Tenang, PASlah yang telah menerima penangan dan tempiasnya.

Sekiranya dilihat 'trend' di kalangan pengundi muda pula, penunjuk dari Tenang juga pasti tidak menggembirakan PAS dan PR.

Pengundi muda kerap dilaung-laungkan sebagai segmen pengundi yang lazimnya menerima dan menyokong mesej perubahan yang dibawa oleh PR. Bagaimanapun, di Tenang, analisa saluran undi di kawasan-kawasan peti undi menunjukkan sokongan terhadap PR di kalangan pengundi muda telah jatuh mendadak dan bertambah pula untuk BN. Ini adalah sesuatu yang PAS dan PR perlu beri perhatian serius oleh sebab perubahan selera pengundi muda ini adalah tidak dijangka dan mungkin diulangi di kawasan-kawasan dan negeri-negeri lain.

Majoriti kemenangan BN sebanyak 3,707 undi, 63% darinya telah didapati dari tiga kawasan Felda iaitu Felda Tenang, Felda Chempelak dan Felda Chempelak Barat yang rata-rata adalah kawasan pengundi Melayu. Mengambilkira keseluruhan 83.3% undi Melayu yang diraih BN, satu-satunya kesimpulan yang boleh dibuat adalah pengundi Melayu tidak ada ataupun telah hilang kepercayaan  dan keyakinan terhadap PR dan kepimpinannya yang diterajui oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Mereka tidak menganggap PR sebagai satu alternatif yang mantap dan berupaya untuk memerintah negara oleh sebab kelemahan kepimpinannya dan ketiadaan kesungguhan di kalangan pemimpinnya untuk memantapkan pakatan itu untuk menjadi satu gabungan politik yang tulin dalam erti katanya yang sepenuhnya.

Satu gabungan politik yang benar sekurang-kurangnya akan mempunyai satu formula atau jalan penyelesaian yang boleh diterima sesama sendiri untuk menetapkan calon parti manakah yang wajar bertanding di sesuatu kawasan bagi memaksimumkan peluang untuk gabungan itu menang. Sama-samalah kita saksikan sama ada di Merlimau, di mana pilihan raya kecil seterusnya akan diadakan, PAS dan PKR akan mencapai satu persetujuan calon siapakah yang wajar bertanding berdasarkan sebab-sebab yang rasional dan munasabah dan yang boleh mencerahkan harapan untuk Merlimau dirampas dari BN.



MAZLAN MUTALLIB

27 January 2011

Tindakan Anwar Merendah-Rendahkan Saifuddin Dikesali - Abdul Aziz Anon

Tindakan Ketua Umum mengubah keputusan sewenang-wenangnya berdasarkan gerak hati beliau adalah dua kali lebih melampau. Beliau bukan sahaja merendahkan keputusan Setiausaha Agung parti, malahan beliau juga mempersendakan semua orang dengan mengeluarkan kenyataan secara sesuka hati kepada umum untuk mengubah keputusan yang telah dibuat.
oleh Abdul Aziz Anon melalui e-mel



Krisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergolak lagi. Ketika PAS sedang berjuang dan berperang di kubu terkuat Umno, PKR menyajikan isu-isu negatif kepada kepada umum. Ketika DAP kelihatan berjaya membawa sokongan orang Cina kepada Pakatan Rakyat (PR), PKR terus dilanda krisis buruk yang menjejaskan rentak kecemerlangan PR.

Banyak sekali teman-teman sudah mula menerbitkan kegusaran terhadap situasi PKR. Krisis demi krisis yang belum lagi berkesudahan sejak pemilihan Parti merakamkan sejarah insiden pergaduhan dan penipuan undi. Akibatnya, sungguh mahal harga yang perlu dibayar oleh semua anggota Parti dan pendokong Reformasi kesan dari sikap ambil mudah pemimpin parti dalam membuat keputusan dan menentukan halatuju terbaik perjuangan politik parti.

Saya terpanggil untuk memberi pandangan terhadap tindakan Setiausaha Agung parti, YB Saifuddin Nasution yang menghantar surat tunjuk sebab terhadap Mustaffa Kamil Ayub atas dakwaan telah melakukan kesalahan yang melanggar disiplin parti. Amat di luar jangkaan cara dan kandungan surat tersebut yang datangnya dari Saifuddin Nasution. Surat tersebut ditulis dengan nada yang sangat keras, berbaur ugutan dan penuh dendam kesumat.

Kita boleh memahami sebab YB Saifuddin dikritik hebat semasa pemilihan parti 3 bulan lalu. Imejnya sebagai tokoh politik muda yang dihormati rakan serta lawan kini tercalar teruk, malahan sekarang dituduh pula sebagai arkitek penting dalam projek memahkotakan Anwar dan Azmin menjadi dewa dan dewi baru PKR. Namun begitu kritikan yang beliau terima tidak boleh dijadikan alasan untuk beliau bertindak secara beremosi atas kuasa Setiausaha Agung. Amat tidak wajar Saifuddin yang sebelum ini mencampuri keputusan-keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) kini seolah-olah menggunakan Lembaga Disiplin parti untuk melunaskan dendam kesumat beliau terhadap mana-mana pihak yang mengkritik beliau sebagai Setiausaha Agung atas kelemahan JPP dan Ibu Pejabat PKR.

Kenyataan beliau seperti yang dilaporkan portal The Malaysian Insider bahawa beliau tidak ingat samada ada menandatangani surat tunjuk sebab terhadap Mustaffa Kamil kerana beratus-ratus surat telah beliau tandatangani adalah jelas kenyataan yang mempersendakan Mustaffa Kamil Ayub. Adalah tidak masuk akal isu perlanggaran disiplin oleh Sdr. Mustaffa Kamil, calon jawatan Timbalan Presiden, bekas Naib Presiden parti dan bekas Setiausaha Agung parti tidak berada dalam perhatian Setiausaha Agung PKR. Kalau benar memang beliau tidak ingat, ini jelas menunjukkan sikap ambil mudah atau sambil lewa beliau dalam menjalankan tugas Setiausaha Agung parti. Justeru, tidak peliklah kenyataan beliau dalam Kongres Tahunan Parti bahawa semua aduan pemilihan PKR akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu tetapi sehingga sekarang, selepas tiga bulan aduan-aduan tersebut masih belum lagi selesai.

Saya terpanggil untuk mengkritik Setiausaha Agung secara ikhlas kerana saya berpandangan banyak kenyataan serta tindakan sambil lewa YB Saifuddin Nasution membawa kepada kemarahan anggota parti dan memberi peluang kepada musuh untuk menyerang parti.

Untuk berlaku adil kepada YB Saifuddin, tindakan Ketua Umum yang mengeluarkan kenyataan bahawa surat tunjuk sebab terhadap Mustaffa Kamil Ayub yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung atas saranan Lembaga Disiplin itu tidak efektif dan akan dibincangkan semula oleh Biro Politik juga wajar diambil perhatian. Tindakan Ketua Umum mengubah keputusan sewenang-wenangnya berdasarkan gerak hati beliau adalah dua kali lebih melampau. Beliau bukan sahaja merendahkan keputusan Setiausaha Agung parti, malahan beliau juga mempersendakan semua orang dengan mengeluarkan kenyataan secara sesuka hati kepada umum untuk mengubah keputusan yang telah dibuat.



ABDUL AZIZ ANON

26 January 2011

Hak PAS untuk Bertanding di PRK Merlimau - Wan Nasuha

Umum juga tahu yang Shamsul Iskandar menyandang jawatan Ketua AMK kerana pengundian untuk jawatan tersebut di Sabah dan Sarawak telah disusun oleh Anwar Ibrahim. Di Semenanjung, CheGu Bard telah mengalahkan Shamsul Iskandar dengan teruk.
oleh Wan Nasuha Wan Hassan melalui e-mel



Hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil DUN Merlimau dijangka diadakan pada 19 Februari dan pengundian diadakan pada 27 Februari. PRK ini diadakan setelah kematian ADUN BN Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari yang lepas.

Ada 10,471 pengundi di DUN Merlimau dengan 64% pengundi Melayu, 21% pengundi Cina dan 14% pengundi India.

Pada PRU 12 2008, Hidhir telah mengalahkan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi. Pada PRU 11 2004, Hidhir telah menewaskan calon PKR S. Jayantas dengan majoriti 5,087 undi.

Berikutan ura-ura yang PKR akan meletakkan calon mereka, Shamsul Iskandar Amin, Ketua AMK untuk pilihan raya kecil tersebut, Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin bin Hassan at-Tantawi telah mengeluarkan kenyataan bahawa hak PAS untuk bertanding dikekalkan dan dihormati rakan dalam Pakatan Rakyat.

Saya menyokong penuh pendirian Ustaz Nasrudin. Peluang calon PAS untuk memenangi pilihan raya kecil ini adalah jauh lebih baik dari calon PKR.

Hujah yang menyatakan bahawa ini giliran untuk PKR bertanding adalah amat dangkal sekali. PAS hanya mengekalkan hak mereka untuk bertanding pada PRU 12. PRK ini adalah berikutan kematian ADUN yang dipilih pada PRU 12.

Peluang PKR untuk menang pilihan raya kecil ini amat tipis sekali. Kredibiliti Anwar Ibrahim telah merudum di kalangan pengundi Melayu. Tambah lagi, PKR dianggap sebagai sebuah parti politik yang penuh dengan carca-marba.

Umum juga tahu yang Shamsul Iskandar menyandang jawatan Ketua AMK kerana pengundian untuk jawatan tersebut di Sabah dan Sarawak telah disusun oleh Anwar Ibrahim. Di Semenanjung, CheGu Bard telah mengalahkan Shamsul Iskandar dengan teruk.

Diharap dengan kemenangan calon PAS di pilihan raya kecil DUN Tenang, Insya Allah, akan mendorong pengundi-pengundi di DUN Merlimau untuk memilih calon PAS.

Sekian. Wasallam.



WAN NASUHA BT. WAN HASSAN

25 January 2011

Belajar Mengaji - Mat Saman Kati

Dua hari selepas berjumpa Appu, Tok Sami Kuil Sri Muneswarar, aku memulakan pengajian Bahasa Nabi Sulaiman. I’ve no idea. Macam bahasa Sanskrit ka, bahasa Urdu ka, atau Hebrew. Tapi kalau betul-betul dapat belajar bahasa binatang, aku mungkin jadi lebih terror dari Ayah Pin. Sekurang-kurangnya, aku boleh cerita kat orang, aku diutuskan oleh Tuhan untuk menyelamatkan binatang. Kalau setakat untuk menyelamatkan rakyat Malaysia, tak payah pun tak apa. Anwar dah ada.

Sampai di rumah Appu pukul 4 petang, Appu sudah sedia menunggu aku dengan uniform kuilnya. Tak ada beza dengan orang pakai ihram. Lepas tu dia bakar setanggi. Baunya macam bau Jalang Kedah. Kemudian dia bawa satu rehal besar.

“Lu pergi basuh muka, basuh tangan dan basuh kaki dulu.” kata Appu.

Alamak!!! macam nak ambil air sembahyang pulak! “Nak baca kitab pun kena basuh kaki tangan semua ka?” aku tanya.

“Lu mau baca Quran tak payah ambil air sembahyang ka?” dia tanya balik.

Aku pergi ambil air sembahyang tak cukup syarat. Memang tak sah sebab tak baca niat dan kemudian duduk depan rehal besar. Appu datang membawa satu kitab lama. Tebal macam Yellow Pages, lebar boleh buat bungkus nasi lemak.

“Ini kitab aaa, saya dapat masa saya pi India. Banyak susah mau cari.” kata Appu.

“Lu pun pi universiti kat India ka?” aku tanya.

“Tarak. Aurobindo Ashrama, Pondicherry.” kata Appu. Sebelum buka kitab, Appu mengajak aku membaca mantra. Dia bagi buku mantra untuk aku baca. Masa kecik-kecik dulu, aku pernah belajar jampi mentera dengan Tok Bomoh. Tapi bila dah besar, ustaz-ustaz kata itu semua syirik, jadi aku lupakan. Sekarang aku belajar mantra dari Tok Sami Hindu pulak. apa hukumnya? Kalau la tanya kat Hasan Ali, dah tentu dia kata sesat. Mungkin kalau tanya kat Harussanasini, dia mungkin kata harus.

Ada beberapa mantra yang dia suruh baca. Mula-mula dia suruh baca mantra untuk Dewa Dattareya:

Om Guru Datta Namo Namaha ll
Om Hareem Parambraham Parmaatmane Hari Harbrahyendraya Dattatroyaye swaha ll

Dattaatreya Hare Krishna unmataananda daayaka, digambara, mune,
baala, pishaaca, jnaana saagara ll

Om namo Bhagavate Dattaatreyaaya
smarana maatra samtushtaaya ll

Mula-mula aku baca macam Alif, Ba, Ta... bila dah hafal liriknya, Appu ajar aku dengan tajwid sekali. Teringat masa kecik dulu, bila tahlil ada gear satu, gear dua, gear tiga. Bila masuk gear empat, dah boleh kira high. Tengah syok ratib... tiba-tiba Tok Imam tekan brek. Lega!!!!

Bila aku lewat belasan tahun, ada cara nak high jugak. Mula-mula slow, lepas tu naik sikit. Last-last geleng kepala kiri kanan. Sapa yang biasa pekena batang betik dengan air kelapa, diiringi dengan lagu Stairway to Heaven, dah kira khatam.

Sekarang, aku high lagi dengan mantra Dattatreya. Tapi high kali ini bukan saja-saja nak syok. Aku nak belajar tentang ilmu binatang. Omar Khayyam pun kena high dulu baru boleh tulis puisi. Budak Melayu sekarang, dah high pi merempit. Cari mati.

Bila aku dah boleh membaca dengan lancar, Appu bagi kat aku seutas tasbih. Fuiyo!! Aku ingatkan orang Islam saja pakai tasbih!!! Cuma bezanya, tasbih depa ada 108 biji. Dan aku kena baca mantra sebanyak 108 kali setiap hari, tapi tak perlu la baca sekaligus.

Lepas tu, Appu suruh aku buka kitab. Fulamak. aku tak tau sama ada tulisan tu tulisan Urdu atau Sanskrit. Macam mana aku nak baca?

“Ini kitab Veda. Dalam ini kitab, dia ada empat buku. Rig Veda, Yajur Veda, Sam Veda dan Atharva Veda. Lu sudah habis belajar ini Veda punya kitab, baru boleh masuk Pazu Veda.” Appu bagi tau aku.

“Aiyoooyoooo… ini macam satu tahun pun tak boleh habis punya!!!” aku kata.

“Don’t worry macha. Itu pasai saya kena ajar lu baca mantra. Bila sudah high, ini kitab lu boleh habis baca dalam dua minggu.” Appu balas balik. “Ada dua lagi mantra lu kena belajar”

Aku minta rest sekejap. Tak boleh tahan kalau tak pekena rokok.

Sambil pekena rokok, aku berfikir… betul ka apa yang aku buat? Tak salah ka dari segi syarak? Apakah aku akan dianggap murtad? Apakah aku akan dianggap sesat? Macam mana kalau ladang kambing aku nanti penuh tengan tempayan dan payung?

Kat mana aku nak lari kalau Pegawai Ugama datang nak tangkap aku? Aku bukan boleh naik ke langit macam Ayah Pin! Tak kan nak lari berlindung kat Kedutaan India kot?

Tapi… mungkin selepas khatam belajar Pazu Veda, aku boleh panggil tebuan, lebah dan kerengga untuk bantu aku!! Yahoooo.. aku buang puntung rokok. Semangat untuk belajar Pazu Veda semakin tinggi.

Bila kembali mengadap kitab, Appu membawa kepada aku sebuah lagi buku. “Saya ajar macam mana mau baca ini kitab. Ini buku, lu boleh baca terjemahannya.” Appu bagi kat aku terjemahan Veda dalam bahasa Inggeris. Aku tengok, buku tersebut di tulis oleh Sir William Jones. Sir William Jones merupakan seorang hakim dan pengasas Asiatic Society of Bengal. Buku tersebut dicetak pada tahun 1927.

Depan aku dah ada tiga buku. Veda, Mantra dan terjemahan Veda. “Kamasutra tarak ka, macha?” aku tanya Appu. Saja nak melawak.

“Ada!!!” kata Appu.

Wow!!!

Dei MSK… apa sudah jadi? - Mat Saman Kati

Setiap kali nak buat ceramah PKR, setiap kali itulah aku jual seekor untuk derma nak cari modal ceramah. Tak mengapa... perjuangan. Bila nak pilihanraya, lingkup habis semua kena jual nak tampung kempen pilihanraya. Tak mengapa... perjuangan. Tapi sekarang semua dah lingkup. PKR tak memerlukan lagi penternak kambing macam aku. Depa dah kaya. Kontrak juta-juta. Nak cari sponsor untuk bertanding, boleh cari Gapurna. Aku menjadi liabiliti kepada parti kerana tidak dapat lagi “berkorban”.



Kalau dikira dari tarikh terakhir aku menulis, dah lebih 50 hari aku tak menulis. Kalau perempuan beranak, dah habis pantang. Kalau semasa 44 hari dalam pantang, setiap hari makan manjakani dan kacip fatimah, sekarang dah kembali macam malam pertama. Cuma bezanya, sekarang sang bapa terpaksa berebut tetek dengan anak kecil.

Kalau tanam sayur, dah dua kali dapat hasil. Kalau bela kambing, dah dapat anak. Kalau bela lembu dah dah dapat susu. Cuma sapa yang duduk dalam PKR masih tertunggu-tunggu hasil penyiasatan penyelewengan Pemilihan 2010.

Aku bukan jenis orang yang wala’ macam Mustaffa Kamil Ayub, yang sanggup terima apa saja yang Anwar cakap. Aku juga bukan jenis macam Mat Nor Manuty yang sanggup terima jawatan melalui pintu belakang. Cukup la sampai di sini. Dari dulu pun aku dah cakap... kalau PKR pun jadi macam Umno... aku tak kan ikut. Full stop.

Mungkin sudah takdir aku jadi penternak kambing. Dan aku seronok menternak kambing sebab kambing tak pandai menipu. Kambing tak pernah berjanji apa-apa kat aku. Cukup usia, dia mendatangkan hasil kepada aku. Malah dia rela dirinya dikorbankan asalkan aku senang. Bukan meminta aku berkorban asalkan dia senang.

Dua minggu sebelum Hari Natal bulan lepas, aku pergi ke Kuil Sri Muneswarar Kuala Kangsar. Bukan nak sembahyang, tapi menghadiri perkahwinan anak kawan aku, Ramesh dan Prema.

Bila aku pakai kurta, ramai yang tak dapat membezakan sama ada aku Melayu atau India. Memang betul kata Wan Larut, kalau aku masuk KIMMA pun orang percaya. Sebabnya, kena berjemur tengah panas, menebas kebun yang dah jadi hutan. Masa mula-mula aku bela kambing dulu, kandang kambing aku jadi tumpuan. Setiap kali nak buat ceramah PKR, setiap kali itulah aku jual seekor untuk derma nak cari modal ceramah. Tak mengapa... perjuangan.

Bila nak pilihanraya, lingkup habis semua kena jual nak tampung kempen pilihanraya. Tak mengapa... perjuangan.

Tapi sekarang semua dah lingkup. PKR tak memerlukan lagi penternak kambing macam aku. Depa dah kaya. Kontrak juta-juta. Nak cari sponsor untuk bertanding, boleh cari Gapurna. Aku menjadi liabiliti kepada parti kerana tidak dapat lagi “berkorban”. Ptuih!!

Dari kandang kambing aku datang, ke kandang kambing aku kembali.

Satu perkara menarik berlaku semasa menghadiri perkahwinan anak kawan aku di Kuil Sri Muneswarar. Semasa menjalankan upacara akad nikah pasangan, aku rasa macam kenal Tok Sami yang menjalankan upacara. Aku tengok dia, dia tengok aku. Aku tak tegur, takut silap orang. Sebab orang yang aku kenal tak mungkin jadi Sami. Orang yang aku kenal dulu sama-sama curi rambutan, terjun sungai, minum todi. Tak mungkin dia jadi Sami.

Selesai upacara perkahwinan, aku pergi makan nasi daun pisang di pekarangan kuil. Tiba-tiba Tok Sami datang dan menepuk bahu aku. “Dei Macha!! lu hidup lagi ka?”

Cilaka Tok Sami ni! Podah pulti! Tersembur perkataan yang biasa kami sebut masa kecik dulu. Orang lain semua tengok aku. Kurang ajar punya Melayu... mencarut kat Tok Sami depa.

"Apa sudah jadi sama lu, macha?" Tok Sami tanya aku.

"Apa sudah jadi sama lu, Appu?" aku tanya dia. Kami sama-sama gelak. Dia peluk aku. Orang lain heran.

“Mari saya punya rumah, macha.” Dia pelawa aku. “Sudah lebih 25 tahun kita tarak jumpa.”

Petang tu aku pi rumah dia, dekat Klinik Uma, di Jalan Dato Sagor. Fuiyo! Rumah banglo! Tapi bila pergi belakang rumah dia, ada kandang kambing. Tak banyak, cuma ada 7 ekor.

“Ini kambing aaa... semua sembahyang punya.” Appu bagi tau aku.

“Ha ha... kambing pun sembahyang!” aku senyum perli. Appu nampak macam terasa.

“Pundek lu! Dulu betul la, kita suka tipu sama orang. Sekarang lain, macha. Kita sudah tua... lagi mau tipu orang bikin apa?” Kata Appu. Aku tak tau, sama ada dia cakap dengan ikhlas atau perli aku.

“Itu hari, masa pilihanraya, saya ada nampak sama lu bikin ceramah. Tapi itu jam lu mana ada nampak sama saya. Lu janji macam-macam... cakap banyak bagus... tapi sudah habis pilihanraya, lu punya muka pun tarak nampak.” Peergh!!

Aku senyum pahit. Tak berani nak cakap lebih-lebih sebab apa yang dia cakap memang betul. Bila pemimpin berjanji, aku tukang sampaikan. Bila pemimpin tak tunai janji atau tipu, aku pun terlibat.

“Apa lu bikin sekarang?” Appu tanya aku.

“Tarak kerja.”

“Pooorrrahh! Kucing duduk rumah pun ada kerja tangkap tikus! Anjing pun ada kerja jaga rumah. Habis... sapa kasi lu makan?” Appu tanya lagi.

“Saya punya perempuan ada kerja. Saya duduk rumah.” aku jawab.

“Cittt... pundek kalde. Lu punya standard lagi teruk dari binatang la, macha!!” Cilaka sungguh Tok Sami ni. Kutuk aku kaw-kaw. Apa punya ugama, asyik kutuk orang saja.

“Ini macam la, macha. Lu pergi repair lu punya kandang, saya kasi lu satu ekor ini kambing. Saya kasi sama lu, itu bagus punya bapak kambing.” Appu offer kat aku.

“Porrrah!! Lu kasi satu ekor mau bikin apa? kasi la sepasang.” aku jawab.

“Ni amma kudhi... saya sudah kasi bagus punya bapak... satu ekor betina pun lu tak boleh cari ka?” Appu mencarut kat aku.

Ok la. Dari bawah pokok rambutan, Appu menjerit. “Ganesh!!! wai ngge”

Aku ingatkan anak dia yang datang, tapi seekor kambing jantan keluar dari kandang dan datang ke arah kami. Nak katakan Jamnapari, janggut dia pendek macam janggut Anwar. Nak kata Boer, badan dia tak gempal macam Shamsul Iskandar. Nak kata Saanen, badan dia macam Gobala.

Appu berkata sesuatu kepada bapak kambing tersebut. Aku tak faham sebab bukan bahasa Tamil yang selalu aku dengar.

“Dia paham lu punya cakap ka, Appu?” aku tanya dia.

“Only humans talk. Animals communicate.” Appu jawab dalam English slang Ramasamy Estate. Kalau sesiapa yang pernah duduk di Tapah tahun 60-70an, mesti tau Ramasamy Estate di Jalan Pahang. Sekarang sudah jadi kem askar.

“Ini kambing aaa, bukan saja boleh dengar dan faham apa kita cakap, dia juga boleh cakap sama kita.” Appu bagi tau aku.

“Apa bahasa dia pakai?” aku tanya Appu.

“Bahasa Nabi Sulaiman.” jawab Appu.

‘Porraahh... kita orang baca Quran, tarak jumpa pun bahasa Nabi Sulaiman. Lu ugama Hindu boleh percaya Nabi Sulaiman ka?” Aku cakap kat Appu.

“Pundek lu. Lu ada baca Veda? Upanishad? Purana? Brahmana Granth?” Appu tanya aku.

Aku terkebil-kebil. Mana aku ada baca semua tu. Lagi pun kalau aku baca, takut nanti terpesong akidah pulak.

“Saya punya rumah ada satu kitab. Pazu Veda. Lu mau belajar bahasa binatang, lu boleh duduk saya punya rumah. Satu bulan punya kursus, lu boleh khatam.” kata Appu.

Olrait!!! ini sesuatu yang menarik. Aku setuju.

“Tapi, sebelum belajar, lu kena sembahyang dulu.” kata Appu.

Aiyooooo... macam nak belajar Bharata Natyam pulak. Tapi aku tak kisah. Jangan ada pegawai ugama datang hambat aku macam depa hambat Bakaq Penarik Beca dah la. Kalau Bakaq pun depa kata sesat, ini kan pulak aku yang nak belajar Pazu Veda.